Friday, December 28, 2012

Akhir Sebuah Tahun


tiada yang terlalu istimewa tentang disember. bagai deru angin sekali lalu, aku membiarkan ia pergi. selamat tinggal dua ribu dua belas. jujurnya, aku sangat merindui julai. dan aku masih di sini, menghabiskan sisa hujung minggu di jalanan. belajar menjadi manusia. kerana hidup adalah tentang berkongsi rasa.

Wednesday, December 19, 2012

Konsekuensi


aku adalah  lelaki jalang yang melacurkan nasib 
pada lorong-lorong takdir yang tak tertempuhkan 
mana mungkin aku lenyapkan semuanya
sedangkan melawan sepi aku hampir mati

atau yang harus lenyap itu aku?




Friday, November 23, 2012

Momen



"usia tua adalah yang paling tak terduga dari semua hal yang terjadi kepada seorang lelaki." ujar trotsky lantas merenungku yang ketika itu memakai baju kaos bertemakan anti-perang. sorotan matanya seolah-olah telah menembusi ke beberapa lapisan dimensi lain, batinku. 

kunyalakan sebatang sigaret kemudian menyeluruhi wajahnya. "aku mencari cinta dalam setiap pemberontakan jiwa mudaku. apakah ada yang pernah merasa jemu dengan usia mudanya?" revolusioner tua yang juga seorang teoretikus dari rusia itu memicingkan mata dan berdehem perlahan. 

kuhulurkan sebatang sigaret padanya. usai menyalakan api pada sigaret yang tersisip di bibirnya, ia menahan sebuah teksi lalu berangkat pergi. aku cuma memerhatikan saja teksi itu bergerak sehingga ia makin mengecil dan hilang dari pandangan.


Friday, November 16, 2012

Punk Cinta Damai



Punk Rock. Entah apa yang berlegar dalam kepala setiap orang apabila mendengar perkataan atau ‘terma’ ini. Aku tidak tahu apa yang mereka fikirkan tentang punk rock dan agak sukar bagi aku untuk menjelaskan kepada semua apa itu punk rock mengikut kefahaman aku. Bagi aku, punk rock itu sendiri terlalu abstrak. Terlahir ia dari suatu sudut yang paling jauh dalam ruang hati manusia. Aku anggap, setiap manusia yang ada rasa cinta dan menolak segala jenis diskriminasi serta menentang ketidakadilan, dia bisa jadi punk rock. Aku sendiri tidak mahu meletakan suatu label khusus terhadap diri sendiri bahawa aku adalah punk rocker atau apa. Punk rock itu tidak bersifat eksklusif, ia milik semua. Yang pastinya, ia bukan sekadar muzik atau fesyen semata. Dan aku sangat menyintai punk rock.

Setiap orang ada sejarah dan kisah percintaan masing-masing. Begitu juga aku, bagaimana aku jatuh cinta dengan punk rock itu, ada kisahnya. Sejak kecil, sewaktu zaman sekolah rendah lagi aku sudah terdedah dengan musik. Sekitar 90’an waktu itu, musik rock kapak terngiang-ngiang di telingaku. Ia datang dari bilik seorang sepupu lelaki sepuluh tahun lebih tua dari aku yang gilakan lagu-lagu dari kumpulan Sofea, Sweet Charity, Lefthanded, Search, Wings (sekadar menyebut beberapa nama).  Aku belum tahu apa-apa tentang musik ketika itu. Aku cuma mengagumi alunan gitar karan, ketukan drum dan vokal yang lantang penuh semangat. Bagi aku, ini sangat rock! Melihat poster-poster di bilik sepupu aku ketika itu sudah cukup buat aku melopong. Rock bukan main.

Selepas itu, aku mula didedahkan dengan kumpulan musik dari luar seperti Iron Maiden, Dio, ACDC, Led Zepplin, Gun ‘N’ Roses, Scorpian (sekadar menyebut beberapa nama). Ini sangat hebat, aku rasa. Hinggalah pada suatu hari, aku terdengar dia memasang lagu yang rentaknya agak laju dan keras berbanding biasa. Alunan gitar yang lebih berat manakala ketukan drum pula lebih pantas. Vokal juga kasar dan keras. Aku lihat kaver dalam kotak kaset yang dia pasang itu tertera tulisan ‘Kreator’.  Ah, ini band apa pula? Sepupu aku cakap, band Kreator main musik thrash metal. Aku cuma mengiakan saja, kerana aku tidak tahu apa-apa. Bagi aku, waktu itu semuanya rock. Rock bukan main.

Menjejak kaki ke sekolah menengah membuatkan aku bertemu dengan lebih ramai rakan yang punya sama minat iaitu ; musik. Ketika ini, aku mengenal musik alternative. Aku mula mendengar irama grunge. Kebanyakan budak sekolah menengah waktu itu ‘bermazhabkan’ Nirvana, sebuah band lagenda grunge yang boleh dianggap mainstream. Lama-kelamaan, aku mula sedar yang Nirvana bukanlah ‘dewa’ tetapi ia cuma salah satu serpihan dari berpuluh-puluh atau beratus-ratus atau mungkin beribu-ribu band grunge yang lain. Ok, tidak perlu bercerita panjang lebar tentang ini rasanya, kerana perjalanan cerita ini masih panjang. Cukup untuk mengetahui bahawa, grunge itu suatu musik yang kotor dan penuh dengan luahan hati terhadap dunia yang tidak selalunya indah.

Aku juga mula terdedah dengan musik metal. Sekitar tahun 2000, isu black metal telah hangat diperkatakan di media massa. Aku tidak ketinggalan untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Dan pada akhirnya, aku sedar bahawa tivi serta akhbar di Malaysia terlalu banyak berfiksyen dalam menyampaikan berita. Cerita orang membakar dan memijak Quran itu dongeng semata. Dari apa yang aku lihat, budak-budak yang mengaku diri mereka sebagai budak metal atau black metal ini sebenarnya sama saja dengan ‘manusia biasa’. Cuma pakaian serba hitam itu sudah menjadi trend dan kebiasaan. Tidak perlu menghukum orang dengan hanya memandang pada pakaian dan tidak perlu menyamakan keaadaan di barat dengan situasi di sini. Aku rasa, ‘gereja syaitan’ tidak wujud di sini (betulkan aku jika aku salah). Oh ya, dan aku kurang mengerti mengapa ada yang menganggap band Silkhannaz itu black metal? Bagi aku, mereka adalah band metal yang kreatif dan sentiasa bereksperimentasi dalam bermusik kerana kebanyakan lagu-lagu mereka selalu sahaja berubah dari segi konsep dan rentak. Maafkan aku jika aku salah, kerana aku kurang arif dalam scene dan perihal metal ini.

Hubungan aku dengan scene underground kian berputik dan semakin hari semakin mekar. Aku mula mengenal apa itu zine. Sejenis bahan bacaan yang dibuat sendiri-sendiri, difotokopi, dijual dengan harga yang sangat murah, atau diedarkan secara percuma. Aku cuma menumpang baca zine-zine kepunyaan rakan. Ada zine bertemakan grunge, metal, skinhead dan punk/hardcore. Aku mula tahu  tentang apa itu sub-budaya, apa tujuan bermusik dan kenapa terhasilnya sub-budaya ini. Ketika itu, aku sedar bahawa musik bukan untuk dilacurkan. Aku mula tertarik dengan idea-idea punk/hardcore yang tegas, berani dan lantang menyuarakan ketidakpuasan hati serta menolak segala jenis diskriminasi. Aku sudah lupa apakah zine yang aku mula-mula baca. Namun, ia seakan memberi suatu nafas baru dalam hidup aku. Aku terus meneroka tentang band-band underground dan D.I.Y (do it youself) tempatan dan sekali-sekala hadir ke gig. Aku juga sudah mula berjinak-jinak dengan skateboard. Bagi aku, papan selaju dan punk rock itu tidak dapat dipisahkan. Entah kenapa, tapi bagi aku bermain papan selaju dan mendengar musik laju adalah sangat ‘ngam’. Memang ada suatu perkaitan yang sangat istimewa di situ. Sayangnya, kebolehan aku dalam bermain papan selaju tidaklah begitu menyerlah. Mungkin kerana aku terlalu awal berhenti setelah tamat zaman persekolahan.

Walaubagaimanapun, hubungan antara aku dan punk rock semakin hari semakin erat. Semasa di IPTA, aku berjumpa dan bergaul dengan lebih ramai rakan yang punya sama minat walaupun kadang-kadang berbeza idologi. Namun kebanyakannya memperjuangkan idea-idea berani dan bebas dari segala bentuk diskriminasi. Jujurnya, jaringan internet juga banyak membantu aku dalam berhubung dan berkongsi idea dengan rakan-rakan lain secara dua hala. Kalau dengan membaca zine, ia cuma memberi info secara satu hala. Dengan kemudahan internet yang ada, aku kenal dengan rakan-rakan dari kalangan penulis dan editor zine, pemilik distro dan juga mereka-mereka yang punya band sendiri. Idea dan pendapat yang dikongsi bersama semakin luas. Aku sudah ada minat baru iaitu mengumpul zine dan stuff D.I.Y punk/hardcore yang terdiri daripada kaset, CD mahupun piring hitam. Bukan sekadar mengumpul tapi membaca, mendengar dan mengambil pakai idea-idea yang berguna daripadanya. Kebanyakan band-band punk/hardcore mengambil berat tentang lirik dan mesej yang hendak disampaikan, bukan sekadar bermain musik bising. Setiap rilisan akan disertakan lirik dan penerangan. Aku suka membaca lirik dan penerangan itu, pelbagai idea dan isu diketengahkan.

Antara distro atau label rekod yang aku sering dan masih berhubung hingga ke hari ini adalah ; Bullwhip Records, Bebal Mailoder, Green Peace Distro, Pissart Records, Nervous Records, Cactus Records (sekadar menyebut beberapa nama). Segala urusan memesan stuff kebanyakannya melalui pos. Jarang ada masalah sepanjang berurusan kerana dalam punk/hardcore, kami memegang prinsip ‘jujur’ dan mengamalkan semangat setiakawan yang tinggi. Tidak dinafikan, masih ada isu ‘rip-off’ yang timbul dalam scene punk/hardcore ini. Kita semua manusia biasa yang punya sifat mazmumah serta tidak dapat mengelak dari melakukan kesilapan. Tetapi yang punya kesedaran, belajar dan berubah. Antara zine-zine yang aku baca dan menjadi koleksi peribadi pula adalah seperti Mosh Zine, Bebal Zine, Masked Reader Zine, Nothing Else Zine, Altar! zine, TSAB, Adaptation, Small Man, Shock And Awe! zine (sekadar menyebut beberapa nama). Ada juga zine-zine dari luar negara yang dibawa masuk. Aku mengenali zine berasaskan sastera juga adalah melalui punk rock. Kesimpulannya; punk rock menjadikan aku seorang yang suka membaca.

Gig, sebuah acara yang dikelola secara D.I.Y tanpa kebergantungan terhadap penganjur yang berkiblatkan kapitalisma adalah suatu acara yang mengumpulkan sejumlah band tempatan atau band dari luar untuk membuat persembahan ; merupakan medium utama dalam menyampaikan idea-idea punk rock secara terus dari muka ke muka. Ia juga menjadi tempat untuk komrad bertemu empat mata atau lebih, berbincang dan beramah mesra. Selain untuk menonton band-band yang terdiri daripada pelbagai jenis genre beraksi, aku kerap ke acara ini untuk membeli stuff dan bertemu rakan-rakan lama ataupun baru. Hubungan yang terhasil dirasakan sangat bermakna tambahan pula baru pertama kali bertemu dengan rakan yang sudah bertahun-tahun kenal melalui telefon atau alamaya tetapi belum pernah bersua muka. Bagi aku, gig adalah suatu medium yang boleh mengeratkan silaturahim tanpa mengira idologi, fahaman agama mahupun bangsa. Dan sikap yang paling penting ketika di gig adalah menolak diskriminasi genre. Walaupun aku lebih cenderung ke arah musik grindcore, tetapi aku beranggapan bahawa; genre itu cuma membezakan ‘bunyi’ musik dan idea yang dibawa pula adalah menjadi tunjang utama. Aku dengar segala jenis musik selagi ia bebas dari unsur-unsur diskriminasi. Ya, musik bukan untuk dilacurkan.

Punk rock banyak mengajar aku erti hidup. Ia adalah suatu budaya yang mendisplinkan diri seseorang. Maksud aku, apabila kau sudah menerima dan mempraktikan idea-idea punk rock maka kau akan cuba seboleh-bolehnya untuk tidak menjadi hipokrit. Hipokrit adalah apabila, kau lantang berkata yang rasis itu bangang tapi dalam masa yang sama kau memandang rendah dan menafikan hak bangsa lain. Atau pun menjadi punk tetapi homofobik. Ini cuma beberapa contoh. Punk rock boleh diumpamakan sebagai suatu nilai murni jika kita betul-betul memahaminya. Bagi aku, punk rock itu releven untuk seorang muslim atau apa saja anutan agamanya. Punk rock tidak pernah membezakan sesiapa. Dan hal agama pula adalah menjadi tanggungjawab individu itu sendiri untuk menjaganya.

Dengan punk rock, aku mengenal erti kasih sayang. Kasih sayang yang lebih luas konsepnya. Punk rock mengajar aku untuk melayan manusia tanpa rasa prejudis  dan tidak mengira jantina. Punk rock menyarankan hak kesamarataan gender. Lelaki atau perempuan, kita semua manusia. Dan kita semua tahu, perempuan secara lahiriahnya lebih lemah berbanding lelaki maka kaum lelaki seharusnya lebih peka dan bertanggungjawab dalam membela nasib perempuan, bukannya menghina atau menindas mereka. Lelaki yang menindas perempuan adalah dayus dan keji. Begitu juga dengan perempuan, haruslah bertolak ansur kerana kita tahu setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Selain manusia, kita juga perlu menyayangi binatang dan alam sekitar. Semua yang berada di atas muka bumi ini sebenarnya saling bergantungan. Buang segala rasa prejudis dan hidupilah kehidupan dengan rasa aman.

Boleh saja aku katakan, punk rock itu sendiri adalah tentang kasih sayang. Peperangan adalah sia-sia. Pemerintah fasis dan zalim harus ditentang. Korupsi harus dihapuskan. Yang pastinya, semua ini berakarkan sistem kapitalis. Seharusnya, seluruh dunia perlu menolak kapitalisma. Memang diakui, dunia kini sudah dirantai oleh sistem kapitalis. Yang berkuasa makin bertambah kaya dan yang lemah ditindas dan makin melarat. Hidup kita seharian tidak bisa lepas dari bayang-bayang kapitalis, namun sekurang-kurangnya kita boleh meminimakan kebergantungan terhadap sistem ini. Mencintai punk rock sebenarnya menjadikan seseorang itu pencinta. Cinta yang lebih luas definisinya.

Cinta aku terhadap punk rock tidak pernah luput atau berkurang. Cara berpakaian mungkin akan berubah. Umur pula akan semakin tua namun idea dan prinsipnya akan terus mekar di dalam hati. Kepada bakal isteri, janganlah kamu risau tentang cinta yang akan aku berikan. Andai kata ada cinta lain di hati aku selain kamu, ia hanyalah punk rock. Punk cinta damai.




























*Artikal ini adalah ringkasan tentang bagaimana penulis jatuh cinta dengan musik dan into scene punk/hardcore. Ditulis secara santai sambil mengimbau kenangan lalu. Memori minda manusia kadang terbatas, andai terdapat kesalahan fakta dan percanggahan pendapat adalah tidak disengajakan. Selain itu, tulisan ini juga berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi penulis. Jangan terlalu mempercayainya, percayalah pada diri dan jadi diri sendiri.

Monday, November 5, 2012

Esakan Langit dan Bumi



saat homosapien lain sibuk berbicara tentang november, hujan dan kesejukan; aku sedang berenang di dalam lopak air. tiada pula aku tahu bahawa ia air hujan atau air mata entah siapa-siapa yang bertakung. ada kelodak perasaan yang mengalir dalam keruh air itu. 

waktu itu aku sedar; di setiap penjuru dunia yang terpuruk, ada insan-insan sedang berduka besama hati yang luka. mata basah ketika langit sedang menangis. ada esakan di langit dan juga bumi. apa bezanya air mata dan air hujan?

dan aku yang masih berenang di dalam lopak air, perlahan-lahan tenggelam.

Thursday, November 1, 2012

Bulan Kematian


i.
ada jiwa-jiwa terkorban 
dalam kenderaan yang ketabrakan
kelajuan jadi senjata membunuh

ii.
seorang wanita tua sayu wajahnya
yang dahulu selalu memimpin tangan kecilku
kini terlantar lemah dimamah usia
dan akhirnya dijemput sakaratul maut

iii.
kediamanku yang sebelumya sunyi
turut terjebak dengan ritual kematian 
orang tionghoa beragama budha
ada keluarga sedang berkabung dalam
rumah yang bertentangan

iv.
oktober ini aku menyaksikan
perkuburan di kariah kelahiranku
kerap dikunjungi penghuni baru

v.
dalam kelabu asap segaret
aku terfikir ; apakah aku masih
berdiri di sini menghembus asap sigaret
pada oktober yang akan datang?


selamat tinggal oktober, semoga ketemu lagi

Saturday, October 20, 2012

Dua Puluh Oktober




























Bagi memperingati hari bersejarah rakyat Malaya bersatu-padu dalam perjuangan menuntut demokrasi dan pembebasan dari penjajahan kolonial, tarikh 20 Oktober perlu diiktiraf sebagai hari penting dalam sejarah perjuangan rakyat dan diabadikan sebagai "HARI HARTAL" - Hari Perjuangan Demokrasi Rakyat.

Monday, October 15, 2012

Dosa


andai jatuh cinta itu suatu dosa, 
seorang nabi juga bisa masuk neraka

Thursday, October 11, 2012

Warna


rasa rindu menjalar buat aku jadi lupa bagaimana warna darah yang menitis dari tubuh-tubuh siapa entah tatkala seluruh iblis di langit dan bumi berkumpul di tanah ini merusuh, merobekan jiwa-jiwa manusia yang mula meminggirkan surga...sungguh aku lupa warna itu.

Thursday, October 4, 2012

Inception (mimpi sepi)


semalam aku bermimpi lagi. dalam mimpiku ada aku yang terlentang tidur dan aku sedang bermimpi. mimpi itu aneh. maksudku, mimpi yang kedua. mimpi yang tak punya dimensi, tak punya sebarang bentuk, cuma kosong dan sepi. sehinggalah pada suatu detik, telingaku menangkap suatu bisikan merdu. bisikan dari suara yang pernah aku kenal. ia betul-betul hampir namun tidak kelihatan. dalam resah itu aku tercampak dalam suatu rasa yang indah. bisikan yang tidak bisa ditafsir akan kata-kata. yang kutahu ianya suatu keindahan bukan buatan. ada rindu yang menyesak dada seolah-olah rasa itu telah lahir lebih awal sebelum iblis memberontak di surga. namun ia tidak kekal lantas terhidu bau-bau pengakhiran. dan pada akhirnya , bisikan itu lenyap membuatkan aku kembali terpuruk dalam sebuah ruang tanpa dimensi. sunyi  sepi. aku perlu bangun dari tidur yang kedua sebelum aku benar-benar terjaga dari mimpi dalam tidur yang pertama. perlahan-lahan aku mula sedar bahawa aku sedang berinvasi, menceroboh minda sendiri. eksistensi diri terasa goyah. dalam dingin malam serta nafas yang tercungap, perasaanku kuat mengatakan bahawa ia tidak hilang dan aku perlu mencari keindahan itu kembali.

Wednesday, September 26, 2012

Rasa Itu


lewat ini siangku jadi panjang sekali
dan malam-malam terasa singkat
kerana tidurku tidak lagi aman
seperti sebelumnya

aku andaikan bahawa;
tidur tidak lagi sunyi
dihujani mimpi
tentang kau
hingga aku tak lagi punya alasan
untuk mengabur darimu

saat terjaga keseorangan
aku cuma berharap
agar malam-malammu
jadi kelam
tak punya rembulan
tak punya bintang

hanya angin yang dingin
hanya sepi yang mati
tanpa aku

kutadah tangan berdoa
agar kau juga merasai
rasa itu
rindu, seperti aku


26 September, 2012
1:30 AM

Tuesday, September 4, 2012

Separuh Duniaku Sedang Kiamat


awan mendung itu meresahkan

lalu angin kencang meniup pergi

segala gembira yang mulai berbunga

lalu berserak kuntum-kelopak

bertaburan atas aspal yang kusam

sang alam tiada berdosa

mungkin sial itu jiwa

yang tidak layak disapa bahagia

ketika malam makin kelam

ada bintang mulai gugur

menghentam kepala membebankan pundak

saat ini aku sedar;
separuh duniaku sedang kiamat perlahan-lahan



bandar darulaman
3 september, 2012




Thursday, August 9, 2012

Setem?

aku tak tahu macam mana aku boleh sukakan dia.kau tahu bukan, rasa begitu memang misteri. bukan misteri nusantara saja yang misteri. sesungguhnya soal hati itu lebih misteri berbanding hal-hal yang lain. contohnya, kau sangat suka mengumpul setem dan  kau jadikannya sebagai hobi utama kau. kau kumpul pelbagai jenis setem, kau simpan banyak album setem. tanpa kau sedar, orang lain fikir kau ini pelik sebab suka pada secebis kertas kecil bergambar dengan nilai-nilai tertentu tertera di atasnya. jilat, lekat dan pos sudah lah, buat apa mahu simpan. tapi orang tak faham, rasa suka itu lahir dari hati sanubari kau. kau menyukainya dengan cara kau sendiri, bukan perasaan yang dibuat-buat. itulah misteri hati yang sukar difahami. kalau dah suka, tiada apa lagi yang perlu dipertikaikan. begitu juga aku.

dia mungkin sukakan aku, tapi dia cakap dia takut untuk meraikan kebahagiaan itu. katanya, kebahagiaan dan cinta bersifat sementara. aku setuju. tapi aku cakap, dalam hidup ini memang tiada apa yang kekal kecuali tuhan. sedangkan hidup juga sementara maka tidak adillah jika kita takut untuk hidup. saat tuhan tiupkan roh ke dalam jasad kita, bermakna kita sudah bersedia menghadapi apa jua risiko untuk melangkah dalam hidup. bagi aku, merai rasa bahagia itu perlu selagi kita punya peluang untuk merasakannya. apa yang terjadi di hadapan itu kerja tuhan. rayakan hidup seadanya asalkan kita tidak lupa diri. aku ini bukanlah seorang pujangga agung yang handal bermain kata, apa yang tersurat sama saja dengan yang tersirat walaupun yang tersirat itu kadang-kadang agak sukar difahami.

makanya, hadap saja kehidupan ini seperti kita menarik nafas. selagi jantung berdenyut, bernafaslah dengan cara apa pun. soal udara yang tercemar itu salah manusia sendiri. tarik nafas dalam-dalam, buka mata dan senyum. redah saja apa yang ada di hadapan. masa depan itu sesuatu yang belum jelas, biarkan tuhan dengan kerjanya. sekarang aku mahu bakar sebatang nikotin.

“ kita semua adalah punk rock.”

Tuesday, July 31, 2012

Julai : bulan yang menggaulkan segala rasa

hari ini adalah hari yang ke tiga puluh satu
hari yang terakhir dalam bulan julai
bulan yang diwakili angka tujuh
juga mewakili angka kegemaranku
kurasakan bulan ini suatu bulan yang panjang
penuh dengan mozaik yang saling bercantum
di atas setiap satunya punya memori yang tertancap
penuh momen di dalamnya
julai buat aku mengingati tuhan
serta kenal diri sendiri
julai mempertemukan aku dengan persahabatan
serta menyuburkan lagi erti setiakawan
julai yang berselirat dengan kasih sayang

ada cinta di dalam julai
julai telah menggaulkan segala rasa yang ada
sebati di dalam suatu bekas kehidupan


aku hirup perlahan-lahan aromanya hingga penuh ruang dadaku

Monday, July 30, 2012

Erti Bahagia

dua hari satu malam di ipoh gua rasakan penuh makna. dikelilingi kawan-kawan memang buat kita rasa bahagia. berbuka puasa sama-sama, makan kek di rumah tok ketua, merewang di gerbang malam, penjaga kunci bilik yang buat magik lesapkan kunci lepas tu ada semula, usyar kupu-kupu malam, jari tengah dari mat rempit, bermuzakarah sambil makan satay di padang polo, main bunga api, bersahur di mekdi, janji ke loken yang tidak dapat dipenuhi gara-gara dipukau oleh penjaga kaunter hotel yang tak puas hati dengan hal kunci, pertama kali menjejak kaki ke ipoh parade, membeli buku murah di novel hut hinggalah dihantar ke stesen bas medan gopeng; semuanya terakam sebagai momen-momen yang indah. 

sedih juga mahu berpisah di stesen bas, tapi memandangkan gua memang rock sejak kecil lagi maka tak ada lah drama-drama yang mengalirkan air mata terjadi. namun jauh di sudut hati sanubari rocker gua, ada secalit rasa terharu dan sedih mahu meninggalkan kawan-kawan. gua tarik nafas dalam-dalam saja, nak tarik asap rokok tak boleh, tengah berpuasa di bulan ramadhan.

kalau orang tanya apa yang gua dapat dua hari di ipoh maka dengan konfiden gua akan jawab; "kebahagiaan dan juga plywood."

Wednesday, July 11, 2012

Aku Makhluk Kecil

5:45 pagi ini aku berdiri, di kaki lima
Puduraya yang telah banyak berubah kini.

Ramai manusia lalu lalang,
melintas umpama angin subuh pagi itu.

Aku yang terpacak di depan Anuja,
menghayati subuh kota lumpur yang mulai digasak karbon monoksida.

Dalam ramai itu aku rasakan diriku bukan
siapa-siapa, kerdil dan terasing ; aku makhluk kecil.

Bagaimana bisa ada manusia yang sanggup berkata;
dunia ini mereka yang punya?

Waktu ini cuma sama yang ternampakan;
tiada bedanya aku, kau atau dia.

Masih sama berdiri di atas ibunda alam yang sama,
menghirup udaranya yang sama walaupun berbeda.

Kita manusia memang selalu lupa;
lupa akan Sang Pencipta.

Subuh ini, aku masih berdiri di kaki lima Puduraya,
melupai Dia yang tak pernah meninggalkan aku.

Seruan suci berkumandang
memanggil manusia menghadapNya.

Mungkin segelas teh tarik dahulu,
bersama melodi ‘sweet child o mind’ dari tiga pemuda.

Nanti aku ke sana, Tuhan.


Puduraya
7 Julai, 2012

Monday, June 11, 2012

Stimulasi atau Metamorfosis

panas betul tengahari ni. tekak rasa kering, perut rasa lapar benar. kelopak mata pula rasa berat semacam ada beban yang menekannya turun. menunggang motosikal dalam kondisi ini boleh mengundang kecelakaan. aku buat brek kecemasan apabila melintas di depan kedai mamak. kurang dari tiga puluh seken, aku sudah berada dalam kedai mamak tersebut.

tanpa berlengah, aku menuju ke bahagian nasi dan lauk. astaga! ramai sangat pelanggan sedang beratur. barisan yang terhasil melimpah keluar dari dalam kedai sampai ke blok bangunan bersebelahan dan kini aku berada paling belakang dalam barisan. benar kata orang, penantian adalah suatu penyiksaan. aku sempat tumbuk dinding tanda protes sebelum pandangan jadi gelap secara total.

sedar-sedar, aku nampak kedai mamak itu lengang. ah, ini situasi yang jarang terjadi di sebuah kedai mamak. mana pergi semua pelanggan? keadaan kedai juga nampak berselerak dan agak huru-hara. seorang mamak datang memberi penjelasan. dia cakap, tadi aku pengsan sebelum berstimulasi menjadi makhluk yang besar berwarna biru turkois. seorang lagi mamak datang mencelah dan cuba membetulkan penjelasan kawannya. dia cakap, tadi aku bermetamorfosis menjadi hulk versi biru turkois dan makan semua pelanggan yang sedang beratur. yasmeen arau jadi kecoh gara-gara aku, katanya.

aku tarik nafas dalam-dalam sebelum menampar kedua-dua orang mamak tersebut. kenapa syirik sangat penjelasan mereka? hulk versi biru turkois? mengarut betul. lagi pun, mana ada hulk makan orang. pekan arau terasa sunyi sekali. selepas mengalihkan kerusi dan meja yang berselerak, aku melangkah keluar dari kedai mamak itu. oh ya, sebelum itu aku sempat pekena nasi kandar beserta teh o ais dengan harga lapan ringgit dua puluh sen. tengahari yang aneh, kata mereka. kata aku, biasa lah tu harga kedai mamak. 

dua orang mamak tadi sengaja bikin aku panas. aku masuk ke pasaraya c-mart bagi meredakan kepanasan. sedap juga pekena udara sejuk pendingin hawa dengan perut kenyang begini.


[ versi yang sama di zsm ]

Wednesday, May 30, 2012

Celaru


anak kecil itu celaru
siapa tuhan siapa makhluk
sumpah, laknat, hukum
jatuh semudah kata
dewasa ini dia lihat
tuhan semakin ramai
siapa yang harus disembah?

salah kau juga kalau anak kecil 
itu akidahnya ke mana-mana

Thursday, May 17, 2012

Mak Cik Cyborg dan Sepinggan Nasi Berlauk Ikan Kerisi


Pagi itu, awal betul aku dah lapar nasi. Mungkin sebab semalam aku tertidur depan komputer riba masa tengah layan Sail ToThe Moon, tak sempat jamah apa-apa. Tapi aku pelik, kenapa ada batang betik masa aku bangun tidur tadi? Malas aku nak fikir lebih-lebih, perut pun dah mula merusuh. Lepas mandi ala kadar, aku bergegas keluar rumah. Gerai nasi campur depan trafik light jadi sasaran. Dia punya lauk boleh tahan sedap, tak adalah rasa macam masak guna kaki sangat. Harga pun berpatutan.

Dari seberang jalan aku nampak orang beratur ambil nasi, agak ramai juga. Kenapa orang ramai pun pagi-pagi dah lapar nasi? Aku ingat, aku lah satu-satunya makhluk yang lapar nasi awal pagi begini. Ah, aku silap dan aku juga sudah tersalah anggap. Manusia memang selalu begitu, dia ingat cuma dia seorang yang begini, orang lain begitu. Walhal, bukan dia seorang sahaja manusia di atas muka bumi ini. Kalau ada manusia lain yang juga begini bukan begitu dan begitu, dia tak boleh salahkan manusia yang lain itu. Manusia lain itu bukannya ada masa nak meniru dia sebenarnya, cuma hal begini memang sudah tindak balas kimia yang sempurna dan ini adalah lumbrah kehidupan. Ingat, bukan dia sahaja satu-satunya manusia di atas muka bumi yang luas ini. Ok, hal ini menyebabkan aku beranggapan bahawa; ini adalah normal. Aku lintas jalan tanpa toleh kiri-kanan. Kadang-kadang rasa lapar boleh mempengaruhi minda bawah sedar manusia. Entah masa bila aku tahan lori balak yang lalu dengan tapak tangan, tahu-tahu sudah tersadai dalam parit tepi jalan. Orang ramai mula mengerumuni lori balak yang terbabas itu. Aku cuma menjeling dan terus menuju ke arah abang tukang cedok nasi. Senang sikit kerja aku bila orang ramai mula mengalihkan perhatian mereka ke arah lori itu manakala aku tetap fokus pada nasi. Ah, kasihan betul orang Malaysia kan?

Aku ambil seekor ikan kerisi goreng, masak lemak pucuk paku dan sedikit kuah sambal. Air macam biasa, neskefe ‘O’ ais berbuih. Lepas sedut neskefe ‘O’ ais berbuih dua-tiga pam, suapan nasi pun bermula. Selepas membaca Bismillah tentunya. Ketika itu ada seorang makwe duduk makan berhadapan dengan aku. Makwe itu senyum-senyum dan aku tidak pasti apa yang dia senyumkan. Cantik, manis. Walaubagaimanapun, selera aku tidak punah dek kerana senyuman makwe tersebut. Aktiviti makan tetap konsisten, kadar suapan nasi dan lauk tetap stabil. Aku senyum kembali pada makwe tersebut, dan dia terus tersedak dan cepat-cepat minum air. Adakah senyuman aku terlalu mengancam? Aku kurang pasti. Aktiviti makan harus diteruskan.

Sudah masuk perenggan keempat, jadi di manakah keberadaan mak cik cyborg ? Tenang, scene mak cik cyborg baru sahaja nak bermula. Rupa-rupanya, di sebelah makwe tadi ada serobot mak cik cyborg yang tengah makan nasi. Nasi berlauk ikan kerisi juga. Dia senyum-senyum pada aku. Plastik betul senyuman dia, maklumlah robot. Bibir bukan main merah lagi dengan lipstik. Aku dah rasa kurang selesa. Mak cik cyborg itu asyik tenung aku. Masih dengan senyuman plastiknya. Selera makan aku mula menurun. Untuk sedapkan hati, aku senyum kembali. Berkelip-kelip mata mak cik cyborg itu, senyuman plastiknya makin lebar. Kali ini aku pula yang tersedak dan cepat-cepat minum air. Melihat keadaan aku begitu, kepala mak cik cyborg mula bergerak kiri-kanan sambil matanya berkelip-kelip. Astaga, berdecit-decit bunyi tengkuk mak cik cyborg itu masa kepalanya bergerak kiri-kanan. Mental aku jadi rabak.

Aku sudah hilang selera makan, juga kesabaran. Pinggan nasi dihempas, berderai. Nasi bersepah ke mana, ikan kerisi terpelanting ke mana. Tanpa membasuh tangan dan tanpa membaca doa selepas makan, aku bangun ke kaunter lantas membayar harga makan minum beserta harga pinggan. Aku meluru ke arah jalanraya dan tanpa menoleh kiri-kanan aku terus melintas. Malangnya, kali ini aku dilanggar oleh sebuah van yang kematian cukai jalan.


Friday, May 4, 2012

Gadis kecil, Coklat, V Mask, Tear Gas dan Sebelah Kasut yang Tertanggal


Hari itu, hari Sabtu. Sabtu yang lain dari Sabtu-Sabtu yang biasa. Seawal pagi lagi, seusai bersarapan aku dan mereka menapak ke sebuah dataran yang kini tidak lagi merdeka – dijajah pemerintah yang gila kuasa. Di sebuah jejantas, seorang tua yang semangatnya menggunung mengalahkan si muda sedang gagah berdiri dikelilingi boneka-boneka berseragam biru gelap. Wajahnya tampak tenang, namun aku tahu di dasar yang paling dasar dan di dalam yang paling dalam  hati sanubarinya telah digenggam pilu. Masakan seorang tua bisa dianggap penggugat takhta? Segala kata-katanya ibarat mesin pemusnah bagi mereka. Aku ketawa – dalam hati. Bertabahlah wahai pak tua, si muda ini tentu terasa bacul jika tidak meneruskan amanatmu, maka kami teruskan langkah dengan lapang dada.

Lautan manusia kini membanjiri kota. Aku tidak pandang pada warna, bagi aku rakyat itu punya hak yang sama. Sejak akhir-akhir ini, warna semacam menjadi suatu ancaman pada penguasa. Sekali lagi aku ketawa dalam hati. Keadaan ketika itu terkawal, semua orang nampaknya tenang dan gembira meraikan hari yang seakan pesta. Ada sekumpulan anak muda yang memalu gendang dan menari di hujung sana. Tak kurang juga ada yang menyanyi dan berpuisi. Ah, indahnya merai seni dalam ramai. Aku langsung tak peduli pada politikus-politikus yang melalak hingga tegang urat leher. Golongan ini cuma tahu mengambil kesempatan walaupun aku sedar bukan semuanya begitu. Namun kita harus lebih berhati-hati. Benar itu kawan, manusia ini rambut sama hitam tapi hatinya lain-lain. Orang ramai kini duduk santai melalukan aktiviti masing-masing. Duduk berborak tentang pelbagai isu. Yang menari terus menari, yang menyanyi terus menyanyi, yang bepuisi terus berpuisi. Matari yang tadinya berselindung kini mula keluar menunjukan diri menandakan telah tiba waktu tengahari. Perut terasa lapar dan minta diisi.

Seusai mengisi perut ala kadar, aku dan mereka masuk semula ke dalam lautan manusia yang masih duduk menunggu dataran ‘dibuka’. Ramai yang kecewa, dataran itu dipagari kawat berduri laksana sebuah tanah yang diharamkan untuk rakyat. Mana hilang merdekanya? Aku semakin tidak mengerti. Di suatu sudut, aku lihat seorang gadis kecil berlari-lari mengelilingi bapanya. Dia tampak gembira dengan sekeping coklat di tangan. Aku tersenyum melihat telatahnya – comel. Aku tarik nafas dalam-dalam lantas membakar sebatang nikotin. Hak yang dituntut hari ini semuanya untuk kau anak kecil, supaya kelak kau hidup dalam sebuah demokrasi yang lebih bersih. Agar tanah ini masih selamat untuk kau terus berlari-lari. Aku merenung gadis kecil itu yang terus menjilat-jilat kepingan coklatnya.

Kemudian, aku dikejutkan oleh dentingan loceng beberapa kali. Di barisan paling hadapan, aku lihat orang ramai sedang kecoh dan bertempeliaran lari. Sebuah jentera sedang bergerak sambil melancarkan pancutan water canon menuju ke arah orang ramai yang sedang duduk membantah.  Aku, mereka dan orang ramai mula berundur. Di sebalik bangunan menjadi teduhan. Keadaan agak terkawal sehinggalah aku nampak segerombolan robot kawalan jauh dengan sut biru gelap berkawat mara ke hadapan. Robot-robot tanpa perasaan itu mula menembak tear gas ke arah lautan manusia yang ketika itu bertangan kosong tanpa sebarang senjata. Huru-hara tercetus. Teduhan di sebalik bangunan tidak lagi selamat. Belakangnya jalan mati. Orang ramai mula berasak-asak keluar, lari menyelamatkan diri. Seorang sahabat lantas menarik tangan aku lalu memanjat besi penghadang dengan harapan bisa lepas dari cengkaman kejam asap yang mula memenuhi ruang. Kelongsong tear gas tidak henti-henti melayang di atas kepala. Orang ramai berpusu-pusu melalui sebuah laluan yang agak sempit, masing-masing mahu lari dari asap dan serangan robot kawalan jauh berseragam biru gelap tersebut. Saat degupan jantung makin melaju, aku rasa sebelah kasutku telah tertanggal. Sahabat yang dari tadi berlari sambil menggenggam tanganku menarik aku pergi. Aku sempat menoleh ke belakang seraya terpandang gadis kecil yang gembira menjilat coklatnya tadi kini menangis histeria. Dia meronta-ronta dalam pelukan bapanya. Gadis kecil itu menunjuk-nunjuk ke arah sesuatu. Si bapa tidak menghiraukan rengekan si anak, berusaha sedaya-upaya untuk lari.

Asap di belakang makin menebal. Aku dan sahabat terus berlari sehinggalah sebiji kelongsong aluminium mendarat betul-betul di hadapan kami. Asap putih berkepul-kepul keluar laksana jin yang keluar dari lampu ajaib si Aladdin. Mulut dan hidung yang diikat-tutup dengan kain kini tidak lagi mampu menghalang azab serangan asap yang menyelinap penuh serakah. Mata, hidung, dan seluruh badan mula terasa pedih yang perit. Antara zahir dan batin terasa siksanya  akibat dari efek asap kejam itu. Aku dan sahabat kini sudah tidak kuat untuk berdiri apatah lagi berlari, jatuh melutut di pinggir laluan. Air melimpah ruah dari kolam mata yang pedih. Hingus dan air liur meleleh keluar, berlenja. Kami muntah. Dalam pada itu, terlintas di hatiku untuk berpatah balik mencari sebelah kasut yang tertanggal tadi. Aku merangkak dalam tebal asap yang mula menipis. Akhirnya aku sampai pada titik di mana sebelah kasut itu tertanggal.

Di hadapanku kini ada sebelah kasut dan di kiri pula terlentang sebuah V Mask. Aku rasa mahu capai keduanya. Namun dalam miliseken momen antara jatuhnya air mata dan tanganku mencapai kedua-dua objek tersebut, tiba-tiba aku terpandang sekeping coklat. Wajah gadis kecil tadi terus memenuhi ruang kotak fikiran. Aku toleh ke belakang dan nampak gadis kecil itu dalam pelukan bapanya, berjurai air mata. Air matanya yang deras mengalir itu berkemungkinan atas sebab coklatnya yang terjatuh. Dan yang paling pasti, itu adalah efek si asap celaka. Tear gas yang menyiksa. Tanganku kini beralih ke arah coklat itu. Belum sempat aku capai coklat tersebut, tiba-tiba terasa suatu objek keras menghentam kepalaku.  Cecair panas mula mengalir turun ke muka – merah. Aku sempat menoleh ke belakang, kelibat gadis kecil dan bapanya sudah tidak kelihatan. Yang ada kini cuma robot-robot kawalan jauh berseragam biru gelap. Dalam keadaan yang seakan mimpi berbaur pedih, kepalaku mula terasa berat. Maafkan aku gadis kecil, coklatmu tak bisa aku kembalikan. Pandangan mula kabur. Putih, kelabu, putih, kelabu…hitam.


Monday, April 16, 2012

Perempuan Yang Mencari Tuhan #2

Dan perempuan itu terduduk lemah di suatu sudut kegelapan, terpuruk di hujung kekejaman dunia yang semakin. Kegelapan yang dirasakan itu adalah kegelapan yang paling gelap di antara gelap-gelap yang pekat. Lantas dia memandang tanpa melihat, berkata tanpa bicara dan mendengar tanpa bunyi. Berat yang membebankan pundaknya terasa menekan-himpit, membuatkan dia seakan terbenam ke dasar bumi yang paling dalam. Dalam kegelapan yang gelita, dalam ruang tanpa sudut itu, dia terus merangkak dan meraba. Tiada apa selain bau celaka. Dan ketika celaka yang sedang merejamnya tanpa belas, meludah segala nista ke muka, dia ; perempuan itu menguntum sebuah senyuman. Dia nampak segaris cahaya dalam rekahan jiwa yang kontang. Silaunya mendamaikan. Dalam hatinya. Perempuan itu malah menghayati nikmat nafasnya. Dia tahu, dalam kegelapan yang paling gelap sekalipun, Tuhan itu ada. Kerna itu, keyakinan terus menggerakan langkahnya. Dia, perempuan yang mencari Tuhan.

Sunday, April 8, 2012

Merai Hujan Di Kantor Pos

sebuah sampul surat
...
sebatang pen
...
sekeping setem
...
senaskah zine
...
sebiji donat
...
segulung nikotin
...
indahnya jutuaan titisan yang jatuh ke aspal lantas menghasilkan irama menyelinap ruang pendengaran, membangkitkan aroma yang menerjah liang pernafasan...merai hujan di kantor pos

Friday, April 6, 2012

Perempuan Yang Mencari Tuhan

Saat dunia tak lagi aman, matari membakar dari atas kepala, para politikus sibuk bertelagah sambil kencing bercabang, pak lebai menghukum manusia masuk neraka, demonstrator dirodok lembing penguasa, adam-hawa sedang berbogel, anjing bersenggama dengan kambing, burung-burung jatuh kepatahan sayap, penyair menjual bontot di tepi jalan, lembu sedang memandu kereta, babi dituduh pelaku segala dosa...tatkala itu seorang perempuan berdiri di suatu hentian bas, memerhati, meninjau sambil mencari Tuhan dalam riuh-kalut. Dalam resah, dia tahu malaikat juga sedang memberontak ketika alam dinoda kejam. Ada limpahan kecil dari kolam matanya. Tapi dalam miliseken momen antara jatuhnya air mata, sosok perempuan itu meruap dari bawah ke atas, kabur, perlahan-lahan hilang dalam udara panas berdebu.



Friday, March 23, 2012

Sunyi

ia ada dalam jiwa
yang menyala
yang membakar
pandangan dalam setiap renungan
menabrak jatuh ke aspal yang mendatar
lantas terdampar hambar

sunyi

Wednesday, March 21, 2012

Mudah

"ma, esok amir tak mau pi sekolah sebab kena bawak kotak. ma, amir nak berhenti sekolah la. kat sekolah tu amir tak boleh nak jawab periksa...susah. amir nak masuk sekolah cina." - budak darjah satu

sementara itu, si ibu tak habis-habis mengomel tak puas hati dengan TNB.

Friday, March 16, 2012

Perempuan Tanpa Kasut Di Puncak Gunung Jerai

saat dia menjejakan kaki ke puncak, dia nampak perempuan itu tidak berkasut. ya, perempuan yang cantik. kulitnya tampak lembut putih mulus, matanya bundar, alisnya rapi, hidungnya mancung terletak, bibirnya mekar delima. cukup sempurna untuk dikategorikan sebagai perempuan cantik. rambutnya paras bahu beralun lembut dibuai angin lantas membawa suatu haruman yang amat menyenangkan atau mungkin menghairahkan bagi sesetengah lelaki. perempuan itu tidak berkasut tetapi lengkap berbaju kurung kain kapas dengan corak bunga-bunga kecil. dia dan peremuan itu saling berbalas senyuman. belum sempat dia menyapa, perempuan itu terlebih dahulu membuka mulut. "apa gunanya berkasut kalau hanya mahu nampak lebih sempurna dari yang lain. apa gunanya berkasut kalau hanya mahu memperlihatkan jurang martabat. apa gunanya berkasut kalau cuma mahu saling beza membezakan. manusia itu seharusnya sama dan yang dipakai di kaki itu seharusnya menjadi pengalas kaki serta tiada yang mulia atau hina." perempuan itu senyum lagi, cuma kali ini lebih manis dan menawan. dan pada ketika itu baru lah dia terperasan akan perempuan tidak berkasut itu sebenarnya tidak berkaki walaupun sedang berdiri. keadaan ketika itu menjadi terlalu epik untuk dikisahkan. mereka saling berbalas senyuman untuk yang ke sekian kalinya.

Tuesday, March 6, 2012

Hilang

beritahu aku, andaikata penghujung dunia ini punya penghujungnya lagi, maka aku akan pergi menghilangkan diri. lesap dalam debu-debu dengki yang berterbangan dalam ruang dunia komunal. biar aku ghaib  dalam kabus ego mereka yang kian menebal. jiwa-jiwa iri terus bersipongan dan mengelilingi kepala aku yang sudah mula terbuka. mungkin juga suatu kesakitan bagi mereka yang masih tergapai-gapai  sesuatu yang aku telah capai. keberadaan aku dipertikai lantas irama celaka terus berkumandang diikuti tarian kekecewaan. tapi dalam ketakterhinggaan jarak, aku masih mahu mengecap dan menghadam kelazatan ini. biar aku hilang.

Saturday, March 3, 2012

Travel

ada orang cakap, menulis itu suatu terapi. ada pula yang cakap menulis itu adalah luahan rasa dalam bentuk aksara. ada juga yang jadi pembunuh dengan membunuh aksara dalam penulisan mereka. walau banyak mana pun anggapan dan perspektif yang masing-masingnya berbeza tapi bagi aku menulis ini macam kau pergi travel. perlu cukup modal, cukup kekuatan fizikal serta mental dan yang paling penting menimba pengalaman serta mengaplikasikan ia secara bijak. kerna manfaat itu terhasil dari aksi dan riaksi yang unik serta kreatif. sebelum aku larut dan hilang dalam coretan sendiri baik aku berterus-terang. sebenarnya dalam 'travel' kali ini, aku sudah tersesat dan kehabisan modal lantas terperangkap dalam suatu ruang tanpa dimensi. ok, aku merapu. oleh kerana tidak dapat mencari jalan keluar serta meneruskan 'travel' ini, maka terhasillah tulisan ini...sekian.

Saturday, February 11, 2012

Rasa Sebuah Valentain (pra-valentain)

saat bulan sudah ditarik pergi oleh pendamba dunlop gp bekas kuning di bawah jambatan malam semalam, maka tahu lah aku apa rasanya valentain itu. malam tanpa bulan adalah celaka bagi  mereka yang sedang bercinta pada velentain ini kerana sudah tiada benda untuk dimadah. mana mungkin mereka bermadahkan pungguk cuma atau pakcik jaga yang mengawal di tesco dikala dinihari. setelah bertanya pada batman yang sedang memancarkan lampu limpahnya, aku dapat tahu bahawa rasa velentain itu lebih teruk daripada rasa masakan seorang vegetarian yang dipaksa makan daging anaknya sendiri. ah, menikmati malam terkutuk dendangan kelelawar malam bersama secangkir kafein dan sebatang nikotin adalah lebih sedap rasanya.



Friday, February 10, 2012

Hadiah papa untuk Ahmad Jazimin

Ahmad Jazimin adalah seorang calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Sebagai seorang anak saintis, sudah tentulah aliran sains tulen menjadi pilihannya. Papa janji, kalau Ahmad Jazimin dapat score semua A SPM nanti, papa akan hadiahkan sebuah mesin masa untuknya. Ahmad Jazimin tersenyum riang. Langsung saja dia membayangkan tentang pengembaraan masa lampau mahupun masa depan. Dia nak jumpa Kurt Donald Cobain. Dia juga nak jumpa anak cucunya sendiri. Beberapa bulan telah berlalu, result SPM sudah keluar. Ahmad Jazimin score A dalam semua subjek. Dia gembira, papa juga gembira. Seperti yang dijanjikan, papa pun menghadiahkan sebuah kotak sebesar penumbuk kepada Ahmad Jazimin. Ahmad Jazimin bukan main suka lagi tapi dia sedikit hairan, kenapa mesin masa begitu kecil? Dia membayangkan mesin masa tersebut seperti sebuah peti ais, ataupun seperti sebuah kereta. Dia buka kotak tersebut dan mendapati ada sebiji jam loceng di dalamnya. Papa cakap, ini lah mesin masa yakni sebuah jam. Samalah juga macam pemotong rumput, orang panggil mesin rumput. Papa hadiahkan jam loceng untuk Ahmad Jazimin supaya senang dia mahu bangun tidur ketika di asrama universitinya kelak. Ahmad Jazimin bukannya pernah duduk asrama.

Thursday, February 2, 2012

Untunglah Badang

Alkisah, pada suatu pagi yang cerah tatkala burung-burung mula berkicauan keluar mencari rezeki buat penerus hidup, Badang berjalan meredah belukar menuju ke sungai tempat dia menahan bubu. Badang ini kalau tuan-tuan nak tahu, dia adalah seorang lelaki yang baik hati, sopan-santun serta menghormati orang tua. Kerjanya menangkap ikan lalu dijual ke pasar. Akan tetapi si Badang ini tidaklah dia pandai melawan kata walaupun di maki-hamun oleh orang lain.

Maka sesampai dia di tebing sungai itu, teruslah dia mengangkat bubu yang ditahannya semalaman. Akan tetapi malanglah nasibnya kerana bubu itu kosong tanpa ikan. Begitu juga dengan dua lagi bubu yang lain, sama kosong. Badang pun melangkah pergi dengan perasaan kecewa lalu ditahannya bubu itu di kawasan lain pula. Dalam hatinya penuh berharap agar hari esok adalah ikan yang boleh dibawa naik.

Sepeti biasa, pada pagi yang cerah tatkala burung-burung mula berkicauan keluar mencari rezeki buat penerus hidup, Badang berjalan meredah belukar menuju ke sungai tempat dia menahan bubu. Dengan harapan yang menggunung, maka diangkat  bubu yang pertama…kosong. Badang masih belum putus harap lalu diangkatnya pula bubu yang ke-dua…juga kosong. Kemudian dia mengangkat pula bubu yang ke-tiga…KOSONG! Ya, kosong tanpa seekor ikan pun. Tapi nanti dahulu tuan-tuan, kerana sesungguhnya ada sesuatu di dalam bubu Badang yang ke-tiga itu. Setelah dibelek dan diamati betul-betul maka tahulah Badang akan benda itu adalah segulung kertas. Badang ambil kertas itu lalu dibawanya pulang.

Setelah disiasat dan bertanya pada Orang Kaya Deraman yang pandai membaca maka Badang pun dapat tahu apakah sebenarnya kertas tersebut. Dan janganlah ada di antara tuan-tuan sekalian yang menyangka kertas itu adalah ayat keramat, serapah ajaib mahupan mantera penguat badan.  Adapun kertas tersebut tidak lain tidak bukan adalah sijil PW4 iaitu sijil yang membolehkan seseorang itu melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik tiga fasa. Gembiralah Badang kerana dia merasakan sijil tersebuat amatlah berguna dan boleh membantunya mencari rezeki.

Berbekalkan modal yang dipinjam dari Orang Kaya Deraman, Badang pun mula melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik. Makin hari makin maju dan kini Badang sudah pun memiliki sebuah syarikat pendawaian elektrik yang agak besar yang diberi nama Badang Electrical Sdn.Bhd dan mempunyai satu lagi cawangan lain bernama Bubu Elektrik Sdn.Bhd. Sekarang jangan tanyalah, macam-macam sijil Badang ada. Sijil Chargeman A4, Sijil Politeknik, Sijil Kelahiran dan lain-lain. Dengar khabar, Badang sedang buat PJJ untuk mendapatkan diploma dalam bidang elektronik pula. Untunglah Badang, tahan bubu dapat sijil PW4 lantas mengubah hidupnya kini.

Apa? Jin? Muntah jin? Cilaka apanya. Jangan harap lah. Yang dari tadi duk tunggu pasal muntah jin tu kenapa? Sah-sah jin tu bukannya baik sangat maka jangan lah tuan-tuan bersekongkol dengan mereka apatah lagi memakan muntah yang najis itu. Banyak lagi benda lain boleh dimakan. Tuan-tuan ingat Dr.Rozmey tu makan muntah jin kah sampai boleh berjaya dan jadi kaya macam sekarang? Tidak. Tapi sejak dia jadi kaya, entah jin apa yang merasuk sampai semua tempat nak tampal gambar muka dia. Please la, orang bukan dengki cuma kadang-kadang tu kesian lah pada orang awam yang tengah makan nasi di kedai-kedai makan tepi jalan tu. Tak pasal-pasal muntah bila van Skynet lalu dan ada juga muka dia di situ. Benda kalau hari-hari mengadap memang bosanlah. Ok, tamat.


notakaki : kenapa? tak lojik? habis tu makan muntah jin
jadi kuat tu logik sangat lah? pleasssse lah...kahkah

Wednesday, February 1, 2012

Redup

"menolak kerajaan itu bukan bererti harus menjadi pembangkang, tetapi membangkang segala bentuk diskriminasi demi kesejahteraan itu adalah 'pembebas' sejati..."

Wednesday, January 25, 2012

Angriffe und Konsolidierung

Syafiq mengeleng-gelengkan kepala. Dia betul-betul tak faham dengan sikap Jali, rakan sekuliahnya itu. Baru kelmarin mereka sama-sama turun berdemo menentang AUKU, tapi hari ni boleh sedap-sedap dia hentam pakai baju gambar 'kati' sambil pasang bendera Barisan Nasional dan bendera UMNO kat tiang lampu tepi jalan sana. Jali cakap ada majlis pemimpin bersama rakyat. Entah menteri mana yang nak turun ke kampung mereka pun tak tahu lah. Syafiq tak puas hati dengan tindakan Jali. Maka Jali pun menjelaskan bahawa ini hal parti dan tak ada kena mengena dengan penentangan dia terhadap AUKU. Syafiq maki Jali. Syafiq cakap AUKU itu ciptaan kerajaan pemerintah. Kerajaan pemerintah adalah Barisan Nasioanal dan UMNO itu adalah salah satu parti komponennya. Makanya, mereka-mereka ini harus ditentang habis-habisan. Syafiq adalah pro pembangkang. Dia beranggapan turun berdemo dan melakukan penentangan boleh menggugat kedudukan kerajaan pemerintah seterusnya kerajaan pembangkang dapat mengambil alih pemerintahan.

Perbalahan antara Syafiq dan Jali berterusan sehinggalah Azam yang menaiki Vespa PX150 lintas di hadapan mereka dengan bunyi 'paip' yang membingitkan telinga. Azam berhenti betul-betul depan mereka berdua dan tanpa dipelawa dia terus menyampuk. "Kerajaan pemerintah atau kerajaan pembangkang masing-masing ada agenda dan kepentingan sendiri. Bagi aku politik itu kotor dan keadaan politik di negara kita sekarang ni macam vespa tak ada brek...hampir terjun gaung. Kenapa rakyat sendiri tak sama-sama bersatu dan jatuhkan politikus-politikus yang kerja mereka cuma menghisap darah rakyat? Rakyat kalau bersatu, kita mampu mentadbir negara dengan sendiri tanpa perlu pemerintahan mana-mana parti politik lah." Jelas Azam panjang lebar. Syafiq dan Jali terdiam, cuma saling memandang. Azam juga diam. Yang ada ketika itu cuma bunyi cengkerik. Mungkin lah. Benda-benda macam ni tak ada siapa yang pasti sangat.

Beberapa saat kemudian, mereka bertiga dikejutkan dengan bunyi letupan dan ledakan yang amat kuat. KEBABOOOM!!! Suasana segera berubah menjadi kecoh dan chaos. Rupa-rupanya kampung mereka sedang diserang oleh makhluk asing yang datangnya entah dari planet mana. Sebenarnya bukan kampung mereka sahaja, tetapi seluruh bumi telah diceroboh oleh makhluk asing atau orang putih panggil alien. Negara-negara besar macam Amerika, Russia, England, Jepun (sekadar menyebut beberapa nama) semuanya sudah ditawan. Jadi haramjadah apanya Amerika mengaku mereka 'polis dunia' sedangkan mereka sendiri telah ditawan? Malaysia adalah negara paling akhir ditawan. Entah kenapa, yang pastinya bukan kerana kekuatan sistem pertahanan negara ini. Masakan enjin jet pun boleh hilang masih mahu dianggap pertahanan yang kuat? Lagi pun dengar khabar, Malaysia banyak guna barang secondhand. Rupanya-rupanya alien-alien yang menyerang bumi telah terleka menyaksikan pergolakan politik di Malaysia ketika ini sehinggakan mereka terlupa untuk menyerang. Bagi alien-alien tersebut, hal ini adalah satu pertunjukan yang menggelikan hati sama seperti rancangan Raja Lawak ataupun Maharaja Lawak walaupun kadang-kadang peserta yang menang adalah disebabkan undian sms semata. Mungkin lah kan.

Kini, bumi secara totalnya telah ditawan oleh makhluk asing yang entah datangnya dari planet mana. Raja, presiden, perdana menteri, menteri pertahanan, wakil rakyat, JKKK, ketua kampung, guru besar hatta pemandu bas kilang sekali pun kini telah kehilangan kuasa dan pengaruh. Parti politik, lambang bendera, warna kulit serta darjat kini langsung tak bermakna apa-apa. Semuanya sama sahaja pada pandangan alien-alien tersebut. Semuanya adalah hamba dan tawanan yang perlu patuh pada arahan dan perintah mereka. Alien-alien itu juga berpendapat, manusia tidak layak mentadbir bumi yang kaya dengan pelbagai sumber dan bahan mentah ini. Manusia cuma tahu berkelahi dan berebut kuasa. Pembakaran terbuka, asap kilang, asap kereta dan lain-lain aktiviti tidak sihat telah menyebabkan lapisan ozon menipis dan akhirnya membuka suatu lubang yang diberi nama 'blackhole' yang membolehkan makhluk asing masuk dan menyerang bumi. Kini seluruh umat manusia berasa kesal dengan tindakan meraka sebelum ini. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga seluruh umat manusia termasuklah Syafiq, Jali dan Azam. Berbekalkan semangat yang tinggal sedikit tercalit di hati, Azam menyeru Syafiq dan Jali agar mereka bekerjasama kemudian menyatupadukan hati seluruh penduduk di peringkat kampung, negeri, negara seterusnya di peringkat antarabangsa (dunia). Semua manusia perlu bersatu-padu untuk menentang alien-alien yang telah menawan bumi ketika ini.

Dapatkah tiga orang anak muda yang kental itu menyatupadukan hati penduduk bumi? Apakah manusia benar-benar sedar dengan kesilapan mereka? Adakah perbezaan fahaman, idologi, agama, serta bangsa akan terus menjadi penghalang untuk umat manusia bersatu melawan makhluk asing tersebut? Di manakah letaknya nilai kemanusian ketika ini? Ah, tanya banyak-banyak pun tak guna jugak. Lagipun aku dah malas nak sambung cerita ni. Ending, pembaca sendiri yang tentukan. Aku berhenti tang ni ja...kahkahkah.

Friday, January 13, 2012

Selsema

Ada satu makhluk yang berwajah hijau. Tak, bukan toyol sebab dia bukan makluk kecil berkepala botak. Hulk? Bukan lah, dia bukan makhluk berbadan sasa dan berotot . Makhluk yang satu ini berwajah hijau, berambut panjang mengurai. Tangan dia mungkin warna hitam dan berkuku panjang. Tapi aku tak peduli semua tu.

Yang paling cilaka adalah, ketika dia duduk mencangkung atas kepala aku. Kuku-kuku tajam dia pulak tak habis-habis mencakar tempurung kepala aku sampai jadi satu lubang berongga tembus sampai ke otak. Aku ingat dia nak makan otak aku, tapi dia bukan zombi. Cilaka sekali lagi, makhluk berwajah hijau tu cucuk-cucuk otak aku dengan kuku tajam dia. Babi betul. Tak ada otak ke apa makhluk ni sampai boleh main-main otak aku macam tu?

Pelik, aku tak boleh buat apa-apa pada makhluk berwajah hijau tu. Aku hanya berdiri depan cermin sambil lihat apa yang dia buat atas kepala aku. Aku nampak  dia ambik straw dan cucuk ke otak aku . Ngilu jugak rasanya. Lepas tu, dia tiup kuat-kuat otak aku sampai mengelegak macam bunyi orang hisap shisha. Habis bersepah otak aku, cair dan mula meleleh turun ke hidung. Makin lama, makin banyak. Habis semua rongga hidung aku dipenuhi otak yang cair, tersumbat hinggakan aku susah nak bernafas. Aku hembus nafas kuat-kuat melalui hidung. Keluar lendir-lendir pekat kehijauan. Ada kalanya berketul-ketul kekuningan.

Makhluk berwajah hijau tu masih galak mencucuk dan meniup-niup otak aku dengan straw. Rongga hidung yang sedikit lapang kini kembali dipenuhi dengan cairan otak sendiri. Tak kurang juga, ada yang lepas masuk ke kerongkong. Mungkin kadang-kadang aku tertelan sedikit-sedikit. Berlendir-lendir rasanya.

Ah, aku dah tak tahan dengan perangai makhluk berwajah hijau tu yang tak reti-reti nak berhenti buat khianat kat otak aku. Aku larutkan dua bijik soluble dalam otak aku dan berharap semoga makhluk berwajah hijau itu pergi meninggalkan kepala aku yang sudah berlubang sedikit di tempurung. Aku malas mahu melayan kerenah makhluk itu lantas merebahkan badan ke atas tilam.

Keesokan paginya, aku bangun dalam keadaan kepala bertambah berat, Cilaka! Makhluk berwajah hijau tu bawak anak dia sekali. Hari tu aku mc, tak pegi kerja.