Friday, May 4, 2012

Gadis kecil, Coklat, V Mask, Tear Gas dan Sebelah Kasut yang Tertanggal


Hari itu, hari Sabtu. Sabtu yang lain dari Sabtu-Sabtu yang biasa. Seawal pagi lagi, seusai bersarapan aku dan mereka menapak ke sebuah dataran yang kini tidak lagi merdeka – dijajah pemerintah yang gila kuasa. Di sebuah jejantas, seorang tua yang semangatnya menggunung mengalahkan si muda sedang gagah berdiri dikelilingi boneka-boneka berseragam biru gelap. Wajahnya tampak tenang, namun aku tahu di dasar yang paling dasar dan di dalam yang paling dalam  hati sanubarinya telah digenggam pilu. Masakan seorang tua bisa dianggap penggugat takhta? Segala kata-katanya ibarat mesin pemusnah bagi mereka. Aku ketawa – dalam hati. Bertabahlah wahai pak tua, si muda ini tentu terasa bacul jika tidak meneruskan amanatmu, maka kami teruskan langkah dengan lapang dada.

Lautan manusia kini membanjiri kota. Aku tidak pandang pada warna, bagi aku rakyat itu punya hak yang sama. Sejak akhir-akhir ini, warna semacam menjadi suatu ancaman pada penguasa. Sekali lagi aku ketawa dalam hati. Keadaan ketika itu terkawal, semua orang nampaknya tenang dan gembira meraikan hari yang seakan pesta. Ada sekumpulan anak muda yang memalu gendang dan menari di hujung sana. Tak kurang juga ada yang menyanyi dan berpuisi. Ah, indahnya merai seni dalam ramai. Aku langsung tak peduli pada politikus-politikus yang melalak hingga tegang urat leher. Golongan ini cuma tahu mengambil kesempatan walaupun aku sedar bukan semuanya begitu. Namun kita harus lebih berhati-hati. Benar itu kawan, manusia ini rambut sama hitam tapi hatinya lain-lain. Orang ramai kini duduk santai melalukan aktiviti masing-masing. Duduk berborak tentang pelbagai isu. Yang menari terus menari, yang menyanyi terus menyanyi, yang bepuisi terus berpuisi. Matari yang tadinya berselindung kini mula keluar menunjukan diri menandakan telah tiba waktu tengahari. Perut terasa lapar dan minta diisi.

Seusai mengisi perut ala kadar, aku dan mereka masuk semula ke dalam lautan manusia yang masih duduk menunggu dataran ‘dibuka’. Ramai yang kecewa, dataran itu dipagari kawat berduri laksana sebuah tanah yang diharamkan untuk rakyat. Mana hilang merdekanya? Aku semakin tidak mengerti. Di suatu sudut, aku lihat seorang gadis kecil berlari-lari mengelilingi bapanya. Dia tampak gembira dengan sekeping coklat di tangan. Aku tersenyum melihat telatahnya – comel. Aku tarik nafas dalam-dalam lantas membakar sebatang nikotin. Hak yang dituntut hari ini semuanya untuk kau anak kecil, supaya kelak kau hidup dalam sebuah demokrasi yang lebih bersih. Agar tanah ini masih selamat untuk kau terus berlari-lari. Aku merenung gadis kecil itu yang terus menjilat-jilat kepingan coklatnya.

Kemudian, aku dikejutkan oleh dentingan loceng beberapa kali. Di barisan paling hadapan, aku lihat orang ramai sedang kecoh dan bertempeliaran lari. Sebuah jentera sedang bergerak sambil melancarkan pancutan water canon menuju ke arah orang ramai yang sedang duduk membantah.  Aku, mereka dan orang ramai mula berundur. Di sebalik bangunan menjadi teduhan. Keadaan agak terkawal sehinggalah aku nampak segerombolan robot kawalan jauh dengan sut biru gelap berkawat mara ke hadapan. Robot-robot tanpa perasaan itu mula menembak tear gas ke arah lautan manusia yang ketika itu bertangan kosong tanpa sebarang senjata. Huru-hara tercetus. Teduhan di sebalik bangunan tidak lagi selamat. Belakangnya jalan mati. Orang ramai mula berasak-asak keluar, lari menyelamatkan diri. Seorang sahabat lantas menarik tangan aku lalu memanjat besi penghadang dengan harapan bisa lepas dari cengkaman kejam asap yang mula memenuhi ruang. Kelongsong tear gas tidak henti-henti melayang di atas kepala. Orang ramai berpusu-pusu melalui sebuah laluan yang agak sempit, masing-masing mahu lari dari asap dan serangan robot kawalan jauh berseragam biru gelap tersebut. Saat degupan jantung makin melaju, aku rasa sebelah kasutku telah tertanggal. Sahabat yang dari tadi berlari sambil menggenggam tanganku menarik aku pergi. Aku sempat menoleh ke belakang seraya terpandang gadis kecil yang gembira menjilat coklatnya tadi kini menangis histeria. Dia meronta-ronta dalam pelukan bapanya. Gadis kecil itu menunjuk-nunjuk ke arah sesuatu. Si bapa tidak menghiraukan rengekan si anak, berusaha sedaya-upaya untuk lari.

Asap di belakang makin menebal. Aku dan sahabat terus berlari sehinggalah sebiji kelongsong aluminium mendarat betul-betul di hadapan kami. Asap putih berkepul-kepul keluar laksana jin yang keluar dari lampu ajaib si Aladdin. Mulut dan hidung yang diikat-tutup dengan kain kini tidak lagi mampu menghalang azab serangan asap yang menyelinap penuh serakah. Mata, hidung, dan seluruh badan mula terasa pedih yang perit. Antara zahir dan batin terasa siksanya  akibat dari efek asap kejam itu. Aku dan sahabat kini sudah tidak kuat untuk berdiri apatah lagi berlari, jatuh melutut di pinggir laluan. Air melimpah ruah dari kolam mata yang pedih. Hingus dan air liur meleleh keluar, berlenja. Kami muntah. Dalam pada itu, terlintas di hatiku untuk berpatah balik mencari sebelah kasut yang tertanggal tadi. Aku merangkak dalam tebal asap yang mula menipis. Akhirnya aku sampai pada titik di mana sebelah kasut itu tertanggal.

Di hadapanku kini ada sebelah kasut dan di kiri pula terlentang sebuah V Mask. Aku rasa mahu capai keduanya. Namun dalam miliseken momen antara jatuhnya air mata dan tanganku mencapai kedua-dua objek tersebut, tiba-tiba aku terpandang sekeping coklat. Wajah gadis kecil tadi terus memenuhi ruang kotak fikiran. Aku toleh ke belakang dan nampak gadis kecil itu dalam pelukan bapanya, berjurai air mata. Air matanya yang deras mengalir itu berkemungkinan atas sebab coklatnya yang terjatuh. Dan yang paling pasti, itu adalah efek si asap celaka. Tear gas yang menyiksa. Tanganku kini beralih ke arah coklat itu. Belum sempat aku capai coklat tersebut, tiba-tiba terasa suatu objek keras menghentam kepalaku.  Cecair panas mula mengalir turun ke muka – merah. Aku sempat menoleh ke belakang, kelibat gadis kecil dan bapanya sudah tidak kelihatan. Yang ada kini cuma robot-robot kawalan jauh berseragam biru gelap. Dalam keadaan yang seakan mimpi berbaur pedih, kepalaku mula terasa berat. Maafkan aku gadis kecil, coklatmu tak bisa aku kembalikan. Pandangan mula kabur. Putih, kelabu, putih, kelabu…hitam.


16 comments:

  1. pastu kau pengsan ke pak?..

    aku tak suka orang yang tak pergi bersih tapi bercakap bagai dia maha tahu. kutuk2..ahh...kalu stakat dengar dalam tv.pastu angguk.wtf.

    sori pak,emo ckt.haha

    ReplyDelete
  2. hahaha...ini adalah kisah benar yang telah difiksyenkan
    ya, aku malas nak peduli orang2 mcm tu...100% pecaya pada tivi kerajaan...datang sendiri lah baru boleh cakap...heh

    ReplyDelete
  3. pengalaman itu adalah sesuatu yang mahal harganya, jika hendak dibandingkan dengan hanya membaca atau menonton..
    ini general, tak kira apa pun.. =]



    realiti dan fiksi ini kalau disekalikan menjadi jenama apa pula ya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya, kau benar...kerna pengalaman itu tak bisa dibeli dari org lain melainkan kita sendiri yg menempuh pahit manisnya :)

      realiti + fiksi = realfiksinisme

      hahaha

      Delete
  4. pak lang la ni bukan main rajin berfiksyen ye..syabas betty, syabas

    ReplyDelete
    Replies
    1. nak bersajak tak berapa pandai
      jadi sy cuba2 berfiksyen saja lah...haha

      Delete
    2. hahahaha, sajak ke mana sekarang? tak into dah aku tengok, hehe

      Delete
    3. ikut mood beb, ikut mood...haha

      Delete
  5. Replies
    1. anggap saja ia sbg sebuah idea yg lahir dari sebuah pemikiran yang terbahagi kpd dua iaitu ; suatu bahagian diselaputi oleh pengalaman dan realiti kehidupan dan suatu bahagian yg lain dipenuhi dengan fiksi dan ilusi...ala, sebenarnya itu cuma istilah karut

      hahaha

      Delete
  6. aku cuma nak kabo, aku dah beli Dabel Date. kbai.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha...hang mmg power! tima kasih tau

      eh, jangan lupa ribiu nanti :)

      Delete
  7. cerita ini sangat menarik.
    sekarang baru aku tahu kau rupanya pedopilia, patutla kau buat tak layan bila makcik robot senyum plastik pada kau.

    ReplyDelete
  8. astaga, amalina dangdut...dan telan asap separuh nafas pedo kebendanya...haha

    ReplyDelete