Friday, November 16, 2012

Punk Cinta Damai



Punk Rock. Entah apa yang berlegar dalam kepala setiap orang apabila mendengar perkataan atau ‘terma’ ini. Aku tidak tahu apa yang mereka fikirkan tentang punk rock dan agak sukar bagi aku untuk menjelaskan kepada semua apa itu punk rock mengikut kefahaman aku. Bagi aku, punk rock itu sendiri terlalu abstrak. Terlahir ia dari suatu sudut yang paling jauh dalam ruang hati manusia. Aku anggap, setiap manusia yang ada rasa cinta dan menolak segala jenis diskriminasi serta menentang ketidakadilan, dia bisa jadi punk rock. Aku sendiri tidak mahu meletakan suatu label khusus terhadap diri sendiri bahawa aku adalah punk rocker atau apa. Punk rock itu tidak bersifat eksklusif, ia milik semua. Yang pastinya, ia bukan sekadar muzik atau fesyen semata. Dan aku sangat menyintai punk rock.

Setiap orang ada sejarah dan kisah percintaan masing-masing. Begitu juga aku, bagaimana aku jatuh cinta dengan punk rock itu, ada kisahnya. Sejak kecil, sewaktu zaman sekolah rendah lagi aku sudah terdedah dengan musik. Sekitar 90’an waktu itu, musik rock kapak terngiang-ngiang di telingaku. Ia datang dari bilik seorang sepupu lelaki sepuluh tahun lebih tua dari aku yang gilakan lagu-lagu dari kumpulan Sofea, Sweet Charity, Lefthanded, Search, Wings (sekadar menyebut beberapa nama).  Aku belum tahu apa-apa tentang musik ketika itu. Aku cuma mengagumi alunan gitar karan, ketukan drum dan vokal yang lantang penuh semangat. Bagi aku, ini sangat rock! Melihat poster-poster di bilik sepupu aku ketika itu sudah cukup buat aku melopong. Rock bukan main.

Selepas itu, aku mula didedahkan dengan kumpulan musik dari luar seperti Iron Maiden, Dio, ACDC, Led Zepplin, Gun ‘N’ Roses, Scorpian (sekadar menyebut beberapa nama). Ini sangat hebat, aku rasa. Hinggalah pada suatu hari, aku terdengar dia memasang lagu yang rentaknya agak laju dan keras berbanding biasa. Alunan gitar yang lebih berat manakala ketukan drum pula lebih pantas. Vokal juga kasar dan keras. Aku lihat kaver dalam kotak kaset yang dia pasang itu tertera tulisan ‘Kreator’.  Ah, ini band apa pula? Sepupu aku cakap, band Kreator main musik thrash metal. Aku cuma mengiakan saja, kerana aku tidak tahu apa-apa. Bagi aku, waktu itu semuanya rock. Rock bukan main.

Menjejak kaki ke sekolah menengah membuatkan aku bertemu dengan lebih ramai rakan yang punya sama minat iaitu ; musik. Ketika ini, aku mengenal musik alternative. Aku mula mendengar irama grunge. Kebanyakan budak sekolah menengah waktu itu ‘bermazhabkan’ Nirvana, sebuah band lagenda grunge yang boleh dianggap mainstream. Lama-kelamaan, aku mula sedar yang Nirvana bukanlah ‘dewa’ tetapi ia cuma salah satu serpihan dari berpuluh-puluh atau beratus-ratus atau mungkin beribu-ribu band grunge yang lain. Ok, tidak perlu bercerita panjang lebar tentang ini rasanya, kerana perjalanan cerita ini masih panjang. Cukup untuk mengetahui bahawa, grunge itu suatu musik yang kotor dan penuh dengan luahan hati terhadap dunia yang tidak selalunya indah.

Aku juga mula terdedah dengan musik metal. Sekitar tahun 2000, isu black metal telah hangat diperkatakan di media massa. Aku tidak ketinggalan untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut. Dan pada akhirnya, aku sedar bahawa tivi serta akhbar di Malaysia terlalu banyak berfiksyen dalam menyampaikan berita. Cerita orang membakar dan memijak Quran itu dongeng semata. Dari apa yang aku lihat, budak-budak yang mengaku diri mereka sebagai budak metal atau black metal ini sebenarnya sama saja dengan ‘manusia biasa’. Cuma pakaian serba hitam itu sudah menjadi trend dan kebiasaan. Tidak perlu menghukum orang dengan hanya memandang pada pakaian dan tidak perlu menyamakan keaadaan di barat dengan situasi di sini. Aku rasa, ‘gereja syaitan’ tidak wujud di sini (betulkan aku jika aku salah). Oh ya, dan aku kurang mengerti mengapa ada yang menganggap band Silkhannaz itu black metal? Bagi aku, mereka adalah band metal yang kreatif dan sentiasa bereksperimentasi dalam bermusik kerana kebanyakan lagu-lagu mereka selalu sahaja berubah dari segi konsep dan rentak. Maafkan aku jika aku salah, kerana aku kurang arif dalam scene dan perihal metal ini.

Hubungan aku dengan scene underground kian berputik dan semakin hari semakin mekar. Aku mula mengenal apa itu zine. Sejenis bahan bacaan yang dibuat sendiri-sendiri, difotokopi, dijual dengan harga yang sangat murah, atau diedarkan secara percuma. Aku cuma menumpang baca zine-zine kepunyaan rakan. Ada zine bertemakan grunge, metal, skinhead dan punk/hardcore. Aku mula tahu  tentang apa itu sub-budaya, apa tujuan bermusik dan kenapa terhasilnya sub-budaya ini. Ketika itu, aku sedar bahawa musik bukan untuk dilacurkan. Aku mula tertarik dengan idea-idea punk/hardcore yang tegas, berani dan lantang menyuarakan ketidakpuasan hati serta menolak segala jenis diskriminasi. Aku sudah lupa apakah zine yang aku mula-mula baca. Namun, ia seakan memberi suatu nafas baru dalam hidup aku. Aku terus meneroka tentang band-band underground dan D.I.Y (do it youself) tempatan dan sekali-sekala hadir ke gig. Aku juga sudah mula berjinak-jinak dengan skateboard. Bagi aku, papan selaju dan punk rock itu tidak dapat dipisahkan. Entah kenapa, tapi bagi aku bermain papan selaju dan mendengar musik laju adalah sangat ‘ngam’. Memang ada suatu perkaitan yang sangat istimewa di situ. Sayangnya, kebolehan aku dalam bermain papan selaju tidaklah begitu menyerlah. Mungkin kerana aku terlalu awal berhenti setelah tamat zaman persekolahan.

Walaubagaimanapun, hubungan antara aku dan punk rock semakin hari semakin erat. Semasa di IPTA, aku berjumpa dan bergaul dengan lebih ramai rakan yang punya sama minat walaupun kadang-kadang berbeza idologi. Namun kebanyakannya memperjuangkan idea-idea berani dan bebas dari segala bentuk diskriminasi. Jujurnya, jaringan internet juga banyak membantu aku dalam berhubung dan berkongsi idea dengan rakan-rakan lain secara dua hala. Kalau dengan membaca zine, ia cuma memberi info secara satu hala. Dengan kemudahan internet yang ada, aku kenal dengan rakan-rakan dari kalangan penulis dan editor zine, pemilik distro dan juga mereka-mereka yang punya band sendiri. Idea dan pendapat yang dikongsi bersama semakin luas. Aku sudah ada minat baru iaitu mengumpul zine dan stuff D.I.Y punk/hardcore yang terdiri daripada kaset, CD mahupun piring hitam. Bukan sekadar mengumpul tapi membaca, mendengar dan mengambil pakai idea-idea yang berguna daripadanya. Kebanyakan band-band punk/hardcore mengambil berat tentang lirik dan mesej yang hendak disampaikan, bukan sekadar bermain musik bising. Setiap rilisan akan disertakan lirik dan penerangan. Aku suka membaca lirik dan penerangan itu, pelbagai idea dan isu diketengahkan.

Antara distro atau label rekod yang aku sering dan masih berhubung hingga ke hari ini adalah ; Bullwhip Records, Bebal Mailoder, Green Peace Distro, Pissart Records, Nervous Records, Cactus Records (sekadar menyebut beberapa nama). Segala urusan memesan stuff kebanyakannya melalui pos. Jarang ada masalah sepanjang berurusan kerana dalam punk/hardcore, kami memegang prinsip ‘jujur’ dan mengamalkan semangat setiakawan yang tinggi. Tidak dinafikan, masih ada isu ‘rip-off’ yang timbul dalam scene punk/hardcore ini. Kita semua manusia biasa yang punya sifat mazmumah serta tidak dapat mengelak dari melakukan kesilapan. Tetapi yang punya kesedaran, belajar dan berubah. Antara zine-zine yang aku baca dan menjadi koleksi peribadi pula adalah seperti Mosh Zine, Bebal Zine, Masked Reader Zine, Nothing Else Zine, Altar! zine, TSAB, Adaptation, Small Man, Shock And Awe! zine (sekadar menyebut beberapa nama). Ada juga zine-zine dari luar negara yang dibawa masuk. Aku mengenali zine berasaskan sastera juga adalah melalui punk rock. Kesimpulannya; punk rock menjadikan aku seorang yang suka membaca.

Gig, sebuah acara yang dikelola secara D.I.Y tanpa kebergantungan terhadap penganjur yang berkiblatkan kapitalisma adalah suatu acara yang mengumpulkan sejumlah band tempatan atau band dari luar untuk membuat persembahan ; merupakan medium utama dalam menyampaikan idea-idea punk rock secara terus dari muka ke muka. Ia juga menjadi tempat untuk komrad bertemu empat mata atau lebih, berbincang dan beramah mesra. Selain untuk menonton band-band yang terdiri daripada pelbagai jenis genre beraksi, aku kerap ke acara ini untuk membeli stuff dan bertemu rakan-rakan lama ataupun baru. Hubungan yang terhasil dirasakan sangat bermakna tambahan pula baru pertama kali bertemu dengan rakan yang sudah bertahun-tahun kenal melalui telefon atau alamaya tetapi belum pernah bersua muka. Bagi aku, gig adalah suatu medium yang boleh mengeratkan silaturahim tanpa mengira idologi, fahaman agama mahupun bangsa. Dan sikap yang paling penting ketika di gig adalah menolak diskriminasi genre. Walaupun aku lebih cenderung ke arah musik grindcore, tetapi aku beranggapan bahawa; genre itu cuma membezakan ‘bunyi’ musik dan idea yang dibawa pula adalah menjadi tunjang utama. Aku dengar segala jenis musik selagi ia bebas dari unsur-unsur diskriminasi. Ya, musik bukan untuk dilacurkan.

Punk rock banyak mengajar aku erti hidup. Ia adalah suatu budaya yang mendisplinkan diri seseorang. Maksud aku, apabila kau sudah menerima dan mempraktikan idea-idea punk rock maka kau akan cuba seboleh-bolehnya untuk tidak menjadi hipokrit. Hipokrit adalah apabila, kau lantang berkata yang rasis itu bangang tapi dalam masa yang sama kau memandang rendah dan menafikan hak bangsa lain. Atau pun menjadi punk tetapi homofobik. Ini cuma beberapa contoh. Punk rock boleh diumpamakan sebagai suatu nilai murni jika kita betul-betul memahaminya. Bagi aku, punk rock itu releven untuk seorang muslim atau apa saja anutan agamanya. Punk rock tidak pernah membezakan sesiapa. Dan hal agama pula adalah menjadi tanggungjawab individu itu sendiri untuk menjaganya.

Dengan punk rock, aku mengenal erti kasih sayang. Kasih sayang yang lebih luas konsepnya. Punk rock mengajar aku untuk melayan manusia tanpa rasa prejudis  dan tidak mengira jantina. Punk rock menyarankan hak kesamarataan gender. Lelaki atau perempuan, kita semua manusia. Dan kita semua tahu, perempuan secara lahiriahnya lebih lemah berbanding lelaki maka kaum lelaki seharusnya lebih peka dan bertanggungjawab dalam membela nasib perempuan, bukannya menghina atau menindas mereka. Lelaki yang menindas perempuan adalah dayus dan keji. Begitu juga dengan perempuan, haruslah bertolak ansur kerana kita tahu setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Selain manusia, kita juga perlu menyayangi binatang dan alam sekitar. Semua yang berada di atas muka bumi ini sebenarnya saling bergantungan. Buang segala rasa prejudis dan hidupilah kehidupan dengan rasa aman.

Boleh saja aku katakan, punk rock itu sendiri adalah tentang kasih sayang. Peperangan adalah sia-sia. Pemerintah fasis dan zalim harus ditentang. Korupsi harus dihapuskan. Yang pastinya, semua ini berakarkan sistem kapitalis. Seharusnya, seluruh dunia perlu menolak kapitalisma. Memang diakui, dunia kini sudah dirantai oleh sistem kapitalis. Yang berkuasa makin bertambah kaya dan yang lemah ditindas dan makin melarat. Hidup kita seharian tidak bisa lepas dari bayang-bayang kapitalis, namun sekurang-kurangnya kita boleh meminimakan kebergantungan terhadap sistem ini. Mencintai punk rock sebenarnya menjadikan seseorang itu pencinta. Cinta yang lebih luas definisinya.

Cinta aku terhadap punk rock tidak pernah luput atau berkurang. Cara berpakaian mungkin akan berubah. Umur pula akan semakin tua namun idea dan prinsipnya akan terus mekar di dalam hati. Kepada bakal isteri, janganlah kamu risau tentang cinta yang akan aku berikan. Andai kata ada cinta lain di hati aku selain kamu, ia hanyalah punk rock. Punk cinta damai.




























*Artikal ini adalah ringkasan tentang bagaimana penulis jatuh cinta dengan musik dan into scene punk/hardcore. Ditulis secara santai sambil mengimbau kenangan lalu. Memori minda manusia kadang terbatas, andai terdapat kesalahan fakta dan percanggahan pendapat adalah tidak disengajakan. Selain itu, tulisan ini juga berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi penulis. Jangan terlalu mempercayainya, percayalah pada diri dan jadi diri sendiri.

16 comments:

  1. peh, aku macam baca fragmen Punk Rock: Disebalik Fesyen & Muzik Bising yang tercarik daripada bukunya..

    bravo Lang..

    ReplyDelete
  2. wauuuu ! seperti aku sedang membaca komen dari seorang pencinta muzik yang sangat-sangat mencintai muzik nya,punyai jiwa yang sungguh mendalam terhadap muzik itu .

    This is smart and awesome pak lang ! XD

    ReplyDelete
    Replies
    1. aku cuma ingin menyatakan kecintaan aku walaupun diri terasa nihil dalam soal muzik. aku bukan siapa², bukan pemuzik atau penyanyi...sekadar mencintai muzik dari sisi hidup aku :)

      Delete
  3. oh..begitu teruja membacanya lang...nak nangis pom ada..haha..seolah kita berkongsi jiwa yang sama. tapi mungkin kau yang mengenalinya terlebih dulu dari aku (mgkin disebabkan aku lebih muda dari kau kut..haha)..tapi nyata ia bagai mengembalikan memori2 aku dulu...aku tidak sedalam kau mengenali dunia bawah tanah.. mungkin medium aku yang sedikit terbatas membuat aku tidak begitu dalam menyelaminya..


    tengs lang sebab mengembalikan nostalgia aku bersama mimpi ingin menubuhkan sebuah band yang makin terbang jauh..haha..

    ReplyDelete
    Replies
    1. soal siapa yang kenal dahulu tidak menjadi masalah asalkan ada kesedaran. 'orang lama' atau 'orang baru' cuma pada umur dan masa penglibatan, hakikatnya kita bergerak atas landasan yang sama. pengalaman dan pengetahuan jadi tunjang. yang paling penting adalah saling menghormati dan bekongsi :)

      sama-sama, kawan...aku cuma mencoret kisah dan pengalaman secara ringkas. aku juga punya mimpi untuk tubuhkan sebuah band berkiblatkan d.i.y punk/hardcore dan ia masih kekal sebagai mimpi. haha walaubagaimanapun, sumbangan terhadap scene bukan sekadar menubuhkan band. masih banyak cara untuk kita menyumbang kepada scene, contohnya hadir ke gig membeli rilisan dan lain².

      Delete
  4. musnahkan punk! haha. oh silap, punk bukan kapitalis. so sesedih manapun perjalanan punk, ia tetap bukan kapitalis.

    ReplyDelete
    Replies
    1. punk tidak mati, yang mati itu hati

      ya...para penentang kapitalis, penentang diskriminasi atau manusia mana sekali pun, paling kurang sekali seumur hidupnya ia pernah terjatuh ke dalam kolam kesedihan

      Delete
  5. so tak salahlah kalau gadis gadis dengar lagu macam ni kan? musik itu universal. sebab member member suka kata aku pelik. puii.

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak salah...itu kan hak anda :)

      dengarlah musik apa pun selagi anda tidak menganggu kehidupan orang lain atau ia membuatkan kehidupan anda sendiri kucar-kacir.

      Delete
  6. aku pernah main skate masa tingkatan 3, ollie tak lepas2 makanya aku main basikal je

    ReplyDelete
    Replies
    1. wooo...mu main bmx ya aberun

      street atau flatland?

      Delete
    2. tajuk basikalnya memang bmx tapi bukan bmx dalam ertikata sebenar. aku hampir2 saja letak raga kat depan, senang nak letak sanita mak aku hahahah

      Delete
  7. ada sikit-sikit minat punk rock ni . dah macam baca artikel serius pulak gaya-gaya tulisan paklang ni hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha...maaf la kalau terlalu serius sampai menganggu kau membacanya...ada minat ya? teruskan! mahu apa² bantuan? haha

      Delete
  8. Aq pun jatuh hati dgn musik punk sbb punk menolak segala bentuk diskriminasi.. Tapi, sehinggalah covid muncul.. Gig punk tetiba bersyarat "fully vaxination".. Ehh?

    ReplyDelete