Friday, March 23, 2012

Sunyi

ia ada dalam jiwa
yang menyala
yang membakar
pandangan dalam setiap renungan
menabrak jatuh ke aspal yang mendatar
lantas terdampar hambar

sunyi

Wednesday, March 21, 2012

Mudah

"ma, esok amir tak mau pi sekolah sebab kena bawak kotak. ma, amir nak berhenti sekolah la. kat sekolah tu amir tak boleh nak jawab periksa...susah. amir nak masuk sekolah cina." - budak darjah satu

sementara itu, si ibu tak habis-habis mengomel tak puas hati dengan TNB.

Friday, March 16, 2012

Perempuan Tanpa Kasut Di Puncak Gunung Jerai

saat dia menjejakan kaki ke puncak, dia nampak perempuan itu tidak berkasut. ya, perempuan yang cantik. kulitnya tampak lembut putih mulus, matanya bundar, alisnya rapi, hidungnya mancung terletak, bibirnya mekar delima. cukup sempurna untuk dikategorikan sebagai perempuan cantik. rambutnya paras bahu beralun lembut dibuai angin lantas membawa suatu haruman yang amat menyenangkan atau mungkin menghairahkan bagi sesetengah lelaki. perempuan itu tidak berkasut tetapi lengkap berbaju kurung kain kapas dengan corak bunga-bunga kecil. dia dan peremuan itu saling berbalas senyuman. belum sempat dia menyapa, perempuan itu terlebih dahulu membuka mulut. "apa gunanya berkasut kalau hanya mahu nampak lebih sempurna dari yang lain. apa gunanya berkasut kalau hanya mahu memperlihatkan jurang martabat. apa gunanya berkasut kalau cuma mahu saling beza membezakan. manusia itu seharusnya sama dan yang dipakai di kaki itu seharusnya menjadi pengalas kaki serta tiada yang mulia atau hina." perempuan itu senyum lagi, cuma kali ini lebih manis dan menawan. dan pada ketika itu baru lah dia terperasan akan perempuan tidak berkasut itu sebenarnya tidak berkaki walaupun sedang berdiri. keadaan ketika itu menjadi terlalu epik untuk dikisahkan. mereka saling berbalas senyuman untuk yang ke sekian kalinya.

Tuesday, March 6, 2012

Hilang

beritahu aku, andaikata penghujung dunia ini punya penghujungnya lagi, maka aku akan pergi menghilangkan diri. lesap dalam debu-debu dengki yang berterbangan dalam ruang dunia komunal. biar aku ghaib  dalam kabus ego mereka yang kian menebal. jiwa-jiwa iri terus bersipongan dan mengelilingi kepala aku yang sudah mula terbuka. mungkin juga suatu kesakitan bagi mereka yang masih tergapai-gapai  sesuatu yang aku telah capai. keberadaan aku dipertikai lantas irama celaka terus berkumandang diikuti tarian kekecewaan. tapi dalam ketakterhinggaan jarak, aku masih mahu mengecap dan menghadam kelazatan ini. biar aku hilang.

Saturday, March 3, 2012

Travel

ada orang cakap, menulis itu suatu terapi. ada pula yang cakap menulis itu adalah luahan rasa dalam bentuk aksara. ada juga yang jadi pembunuh dengan membunuh aksara dalam penulisan mereka. walau banyak mana pun anggapan dan perspektif yang masing-masingnya berbeza tapi bagi aku menulis ini macam kau pergi travel. perlu cukup modal, cukup kekuatan fizikal serta mental dan yang paling penting menimba pengalaman serta mengaplikasikan ia secara bijak. kerna manfaat itu terhasil dari aksi dan riaksi yang unik serta kreatif. sebelum aku larut dan hilang dalam coretan sendiri baik aku berterus-terang. sebenarnya dalam 'travel' kali ini, aku sudah tersesat dan kehabisan modal lantas terperangkap dalam suatu ruang tanpa dimensi. ok, aku merapu. oleh kerana tidak dapat mencari jalan keluar serta meneruskan 'travel' ini, maka terhasillah tulisan ini...sekian.