Saturday, February 11, 2012

Rasa Sebuah Valentain (pra-valentain)

saat bulan sudah ditarik pergi oleh pendamba dunlop gp bekas kuning di bawah jambatan malam semalam, maka tahu lah aku apa rasanya valentain itu. malam tanpa bulan adalah celaka bagi  mereka yang sedang bercinta pada velentain ini kerana sudah tiada benda untuk dimadah. mana mungkin mereka bermadahkan pungguk cuma atau pakcik jaga yang mengawal di tesco dikala dinihari. setelah bertanya pada batman yang sedang memancarkan lampu limpahnya, aku dapat tahu bahawa rasa velentain itu lebih teruk daripada rasa masakan seorang vegetarian yang dipaksa makan daging anaknya sendiri. ah, menikmati malam terkutuk dendangan kelelawar malam bersama secangkir kafein dan sebatang nikotin adalah lebih sedap rasanya.



Friday, February 10, 2012

Hadiah papa untuk Ahmad Jazimin

Ahmad Jazimin adalah seorang calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Sebagai seorang anak saintis, sudah tentulah aliran sains tulen menjadi pilihannya. Papa janji, kalau Ahmad Jazimin dapat score semua A SPM nanti, papa akan hadiahkan sebuah mesin masa untuknya. Ahmad Jazimin tersenyum riang. Langsung saja dia membayangkan tentang pengembaraan masa lampau mahupun masa depan. Dia nak jumpa Kurt Donald Cobain. Dia juga nak jumpa anak cucunya sendiri. Beberapa bulan telah berlalu, result SPM sudah keluar. Ahmad Jazimin score A dalam semua subjek. Dia gembira, papa juga gembira. Seperti yang dijanjikan, papa pun menghadiahkan sebuah kotak sebesar penumbuk kepada Ahmad Jazimin. Ahmad Jazimin bukan main suka lagi tapi dia sedikit hairan, kenapa mesin masa begitu kecil? Dia membayangkan mesin masa tersebut seperti sebuah peti ais, ataupun seperti sebuah kereta. Dia buka kotak tersebut dan mendapati ada sebiji jam loceng di dalamnya. Papa cakap, ini lah mesin masa yakni sebuah jam. Samalah juga macam pemotong rumput, orang panggil mesin rumput. Papa hadiahkan jam loceng untuk Ahmad Jazimin supaya senang dia mahu bangun tidur ketika di asrama universitinya kelak. Ahmad Jazimin bukannya pernah duduk asrama.

Thursday, February 2, 2012

Untunglah Badang

Alkisah, pada suatu pagi yang cerah tatkala burung-burung mula berkicauan keluar mencari rezeki buat penerus hidup, Badang berjalan meredah belukar menuju ke sungai tempat dia menahan bubu. Badang ini kalau tuan-tuan nak tahu, dia adalah seorang lelaki yang baik hati, sopan-santun serta menghormati orang tua. Kerjanya menangkap ikan lalu dijual ke pasar. Akan tetapi si Badang ini tidaklah dia pandai melawan kata walaupun di maki-hamun oleh orang lain.

Maka sesampai dia di tebing sungai itu, teruslah dia mengangkat bubu yang ditahannya semalaman. Akan tetapi malanglah nasibnya kerana bubu itu kosong tanpa ikan. Begitu juga dengan dua lagi bubu yang lain, sama kosong. Badang pun melangkah pergi dengan perasaan kecewa lalu ditahannya bubu itu di kawasan lain pula. Dalam hatinya penuh berharap agar hari esok adalah ikan yang boleh dibawa naik.

Sepeti biasa, pada pagi yang cerah tatkala burung-burung mula berkicauan keluar mencari rezeki buat penerus hidup, Badang berjalan meredah belukar menuju ke sungai tempat dia menahan bubu. Dengan harapan yang menggunung, maka diangkat  bubu yang pertama…kosong. Badang masih belum putus harap lalu diangkatnya pula bubu yang ke-dua…juga kosong. Kemudian dia mengangkat pula bubu yang ke-tiga…KOSONG! Ya, kosong tanpa seekor ikan pun. Tapi nanti dahulu tuan-tuan, kerana sesungguhnya ada sesuatu di dalam bubu Badang yang ke-tiga itu. Setelah dibelek dan diamati betul-betul maka tahulah Badang akan benda itu adalah segulung kertas. Badang ambil kertas itu lalu dibawanya pulang.

Setelah disiasat dan bertanya pada Orang Kaya Deraman yang pandai membaca maka Badang pun dapat tahu apakah sebenarnya kertas tersebut. Dan janganlah ada di antara tuan-tuan sekalian yang menyangka kertas itu adalah ayat keramat, serapah ajaib mahupan mantera penguat badan.  Adapun kertas tersebut tidak lain tidak bukan adalah sijil PW4 iaitu sijil yang membolehkan seseorang itu melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik tiga fasa. Gembiralah Badang kerana dia merasakan sijil tersebuat amatlah berguna dan boleh membantunya mencari rezeki.

Berbekalkan modal yang dipinjam dari Orang Kaya Deraman, Badang pun mula melakukan kerja-kerja pendawaian elektrik. Makin hari makin maju dan kini Badang sudah pun memiliki sebuah syarikat pendawaian elektrik yang agak besar yang diberi nama Badang Electrical Sdn.Bhd dan mempunyai satu lagi cawangan lain bernama Bubu Elektrik Sdn.Bhd. Sekarang jangan tanyalah, macam-macam sijil Badang ada. Sijil Chargeman A4, Sijil Politeknik, Sijil Kelahiran dan lain-lain. Dengar khabar, Badang sedang buat PJJ untuk mendapatkan diploma dalam bidang elektronik pula. Untunglah Badang, tahan bubu dapat sijil PW4 lantas mengubah hidupnya kini.

Apa? Jin? Muntah jin? Cilaka apanya. Jangan harap lah. Yang dari tadi duk tunggu pasal muntah jin tu kenapa? Sah-sah jin tu bukannya baik sangat maka jangan lah tuan-tuan bersekongkol dengan mereka apatah lagi memakan muntah yang najis itu. Banyak lagi benda lain boleh dimakan. Tuan-tuan ingat Dr.Rozmey tu makan muntah jin kah sampai boleh berjaya dan jadi kaya macam sekarang? Tidak. Tapi sejak dia jadi kaya, entah jin apa yang merasuk sampai semua tempat nak tampal gambar muka dia. Please la, orang bukan dengki cuma kadang-kadang tu kesian lah pada orang awam yang tengah makan nasi di kedai-kedai makan tepi jalan tu. Tak pasal-pasal muntah bila van Skynet lalu dan ada juga muka dia di situ. Benda kalau hari-hari mengadap memang bosanlah. Ok, tamat.


notakaki : kenapa? tak lojik? habis tu makan muntah jin
jadi kuat tu logik sangat lah? pleasssse lah...kahkah

Wednesday, February 1, 2012

Redup

"menolak kerajaan itu bukan bererti harus menjadi pembangkang, tetapi membangkang segala bentuk diskriminasi demi kesejahteraan itu adalah 'pembebas' sejati..."