Sunday, December 29, 2013

Melepaskan Disember


dan saat kau hulurkan tangan kecilmu memohon sebuah kemaafan
ketahuilah bahawa hati ini tidak pernah memeram dendam
ia cuma sebuah rajuk yang panjang atau rasa terkilan kerna ditinggalkan
ingin kubelai mesra kepalamu namun kupendam saja perasaan
seperti seorang brahmana yang terpaksa memakan daging  
aku gagahkan diri untuk menelan sebuah realiti

sepertimana aku menerimamu dahulu kerna cinta;
aku melepaskanmu hari ini juga kerna cinta

terbang sayang terbang



Thursday, December 26, 2013

Ucapan


terkadang, kita perlu leraikan rantai ego yang melingkari diri hanya untuk mengucap selamat pada seseorang. ketahuilah, apa yang terucap itu adalah sesuatu yang benar-benar ia maksudkan. mungkin rasa cinta itu menjelma dalam pelbagai bentuk yang tak terbayangkan. ia tak minta diingati atau dirindui. cukup sekadar dihargai. berbahagialah wahai sayangku.



Friday, December 20, 2013

Rusuh Rasa


politik itu ibarat lumpur yang kotor dan busuk. para politikus adalah kerbau-kerbau yang sentiasa berkubang dan bergelumang dengan lumpur itu. kemanusian semakin lenyap dari peradaban. apakah cinta juga telah kehilangan nilai?



Wednesday, December 18, 2013

Ghosts


Late December, storm
I remember ghosts
Let me know, when go to heaven
I’ll let go when god lets me forget her
Heaven my heart hold it’s time I let it

Late December, storm
I remember ghosts
Let me know, when go to heaven
I’ll let go when god lets me forget her
Heaven my heart hold it’s time I let it
But I’m not old but I’m not young
I’m not a mother, a father
And I got a lot of years to forget
Oh but I’m not old but I’m not young
I’m not a mother
And I got a lot of years to forget



















Monday, December 9, 2013

Lemas


disember datang menjengah bersama dingin dan tengkujuh yang berpanjangan. beberapa kawasan di pantai timur dan selatan telah pun ditenggelami air. seorang lelaki ditemui mati kerana lemas. tak. dia bukan mati lemas akibat bencana banjir yang melanda. dia lemas di dalam air matanya sendiri. barangkali kerana terlalu kerap menangis mengenangkan bekas kekasihnya yang sudah hampir melangsungkan perkahwinan. mungkin ada yang keliru tentang tragis atau ironisnya hal ini.

walaubagaimanapun, kejadian yang berlaku dipercayai berpunca dari sistem saliran yang berada di tahap sangat-tidak-memuaskan.



Thursday, November 21, 2013

Masih


kekecewaan adalah hujan yang turun di waktu pagi
yang menyebarkan kesejukan hingga ke tengahari

dan hati ini masih lagi dingin



Monday, November 18, 2013

IDEOLOGI : Bayangan (A) di antara Penukul dan Sabit


Anarko-Komunisme

Anarko-Komunisme adalah suatu bentuk dari anarkisme yang mengajarkan penghapusan negara (atau institusi kenegaraan) dan faham kapitalisme, untuk sebuah jaringan kesatuan sukarela di mana semua orang bebas untuk memenuhi keperluannya.
Anarko-Komunisme juga dikenali dengan sebutan anarkis komunisme, komunis anarkisme, anarkisme-komunis ataupun komunisme libertarian. Walaupun semua anarkis komunis adalah komunis libertarian, tetapi tidak semua komunis libertarian adalah anarkis (menganut faham anarkisme), misalnya dewan komunis. Hal yang membezakan anarko-komunisme dari varian lain dari libertarian komunisme adalah bentuk penolakannya terhadap segala bentuk kekuasaan politik, hirarki dan dominasi. Komunisme boleh tumbuh subur di negara - negara miskin mahupun negara berkembang, namun dengan runtuhnya negara-negara komunis yang kuat menyebabkan faham-faham komunis ini juga tidak akan dapat berkembang menjadi besar.
Ia berbeza dengan anarkisme-kolektif yang masih mempertahankan upah buruh berdasarkan kontribusi mereka terhadap produksi, anarkisme-komunis memandang bahawa setiap individu seharusnya bebas memperoleh bahagian dari suatu hak milik dalam proses produksi berdasarkan keperluan mereka.

Perbahasan Falsafah

i. Motivasi

Anarkis komunisme menganggap bahawa tenaga kerja bergaji adalah tidak perlu kerana secara 'semulajadinya' manusia mempunyai sifat malas dan mementingkan diri. Mereka menunjukkan bahawa walaupun apa-yang-dipanggil 'idle rich' kadang-kadang menemukan perkara-perkara yang berguna untuk dilakukan walaupun semua keperluan mereka dipenuhi oleh tenaga kerja orang lain.
Anarko-komunis secara umumnya tidak bersetuju dengan kepercayaan pra-set 'sifat manusia' dengan alasan bahawa budaya dan perilaku manusia sebahagian besarnya ditentukan oleh sosialisasi. Ramai, seperti Peter Kropotkin, juga percaya bahawa kecenderungan evolusi manusia adalah untuk manusia bagi bekerjasama antara satu sama lain untuk saling menguntungkan serta kelansungan hidup bukannya sebagai pesaing tunggal.

ii. Kebebasan, kerja dan waktu terluang

Anarkis komunis menyokong komunisme sebagai satu cara untuk memastikan kebebasan terbesar dan kesejahteraan untuk semua orang, bukan hanya untuk mereka yang kaya dan berkuasa. Dalam pengertian ini, anarkis komunisme adalah sebuah falsafah egalitarian yang mendalam.
Anarkis komunisme sebagai falsafah anarkis menentang hierarki dalam semua bentuk.  Anarkis komunis berpendapat bahawa seseorang itu tidak berhak untuk berkuasa ke atas orang lain atau menjadi 'ketua' kerana ia merupakan suatu konsep kapitalisme dan kenegaraan serta mewujudkan kongkongan pihak berkuasa ke atas individu.
Peter Kropotkin berkata bahawa, kesilapan utama autoritarian dalam eksperimen komunis masa lalu adalah mereka terlalu berpaksikan pada 'semangat agama' dan keinginan untuk hidup 'sebagai sebuah keluarga' di mana individu itu terpaksa "patuh kepada telunjuk moral serta terlalu berhati-hati." Baginya anarko-komunisme harus didasarkan pada hak asosiasi bebas serta pemisahan bagi individu dan kelompok dan secara signifikan mengurangkan jumlah jam yang didekasikan oleh setiap individu terhadap tenaga kerja yang diperlukan.

iii. Individualisme dan kolektivisme

Sesetengah anarko-komunis (dan anarkis kolektiv juga) menolak 'individualisme' dan 'kolektivisme' sebagai konsep ilusi . Mereka berpendapat bahawa seseorang mengorbankan diri untuk 'lebih baik' atau diperintah oleh 'komuniti' atau 'masyarakat' adalah tidak mungkin kerana masyarakat terdiri daripada individu-individu dan bukan sebagai suatu unit padu yang berasingan daripada individu serta bersetuju bahawa kawalan kolektif ke atas individu itu adalah zalim dan tak-anarki.
Mereka yang lain seperti Lucien van der Walt dan Michael Schmidt berhujah bahawa "anarkis tidak...mengidentifikasikan kebebasan dengan hak setiap orang untuk melakukan apa saja dengan sewenang-wenangnya tetapi harus seiring dengan suatu susunan sosial di mana usaha kolektif serta tanggungjawab - iaitu kewajipan memberikan dasar material dan perhubungan sosial di mana kebebasan individu boleh wujud." Mereka juga berhujah bahawa "kebebasan yang sejati dan individualiti hanya boleh wujud dalam masyarakat yang bebas, berbeza dengan individualisme borjuis pembenci."

iv. Harta atau pemilikan

Anarkis komunis melawan konsep kapitalis - pemilikan komunal hanya dapat dipertahankan dengan kekuasaan dan kedudukan seperti itu tidak sesuai dengan alam semulajadi serta tidak berubah di dalam perlaksanaan. Komunis anarkis menuntut pemansuhan harta swasta di samping mengekalkan rasa hormat terhadap harta peribadi.

Teori Ekonomi

Anarko-komunisme menekankan pada egalitarianisme (persamaan) dan penghapusan hierarki sosial serta perbezaan kelas yang timbul daripada pengagihan kekayaan yang tidak sama rata, juga pemansuhan pemilikan wang dan harta swasta (tetapi masih kekal menghormati harta peribadi). Penghapusan perbezaan kelas, distribusi kesejahteraan yang saksama, penghilangan kapitalisme serta produksi kolektif berdasarkan kesukarelaan. Negara serta pemilikan peribadi adalah perkara-perkara tidak seharusnya wujud di dalam anarko-komunisme. 
Salah satu hal yang membezakan antara anarkisme-kolektif dan anarkisme-komunis adalah pandangan mengenai gaji serta upah pekerja. Anarkisme-komunis berpendapat bahawa, tidak ada satu cara pun yang dapat mengukur kontribusi seseorang terhadap proses produksi dan ekonomi kerana kesejahteraan adalah hasil dari produksi bersama. Sistem ekonomi yang berdasarkan gaji/upah pekerja dan hak milik adalah bentuk penyiksaan negara. 
Selain itu, anarkisme-komunis menolak sistem gaji/upah pekerja dengan dasar filosofi bahawa pada hakikatnya manusia itu 'malas' dan 'egois'. Anarkisme-komunis juga menyokong komunisme (dalam sistem pemikiran Marxisme) dengan penekanan pada penjaminan kebebasan dan juga kesejahteraan bagi setiap orang, tetapi tidak menyokong komunisme dalam hal yang berhubungan dengan kekuasaan. Hal inilah yang membuat anarkisme-komunis sering disamakan dengan falsafah egalitarian.





*Sebuah penerangan ringkas tentang anarko-komunisme. Terjemahan, susunan dan suntingan dari wikipedia serta pengetahuan am penulis.





Wednesday, November 13, 2013

Not Done Yet






It's hard for me when I
Think about the things that never been
They keep coming back again 
Like they've got something to prove
It's like I'm not done yet




Wednesday, October 30, 2013

Gagal


untuk apa kau merindui seseorang yang ternyata sudah semakin jauh? tak. ini bukan soal jauh atau dekat. segalanya tentang rasa. kau fikir dia juga berkongsi rasa yang sama? aku tak fikir begitu. sebenarnya, ia bukan perihal rindu melainkan tentang aku; manusia yang gagal membunuh kenangan.


Tuesday, October 22, 2013

Kembali Sedar


kejutkan aku ketika cinta diseru tuhan
kejutkan aku ketika dunia telah aman
kejutkan aku ketika tiada lagi manusia
bergelar raja atau hamba ─ yang ada
cuma manusia setara



Wednesday, September 25, 2013

Pencarian


seorang manusia yang berperasaan pada seorang manusia yang lain. sesama jantina mahupun berlainan jantina. ada yang meniti kebahagian dan tak kurang juga yang meredah kedukaan. kadangkala; ini semua membosankan. ya, ini semua bukanlah erti sebenar kehidupan. kerana kehidupan ini terlalu luas wilayahnya untuk diterokai. dalam cermin ada kau ~ dalam kau ada aku ~ dalam aku ada diri ~ dalam diri ada ruh ~ dalam ruh ada jalan — menuju tuhan. 


Thursday, September 19, 2013

paranoid


pahlawan berjuang menentang penjajah
darah dan keringat mereka curahkan
segerombolan manusia tega mendera sejarah
pada 'abu mayat' timbul ketakutan



[R.I.P Chin Pheng (1924-2013)]






































Wednesday, September 4, 2013

IKLAN : Novel Eksperimental




baru terbit! novel eksperimental, sebuah novel terbitan rabak-lit yang mencampur-adukan tulisan serta idea dari sepuluh orang penulis yang berlainan cara serta gaya penulisannya. aku syak, novel ini memang rabak sesuai dengan nama penerbitnya. melihat dari gaya sampul atau kulit, sudah tentu anda dapat mengagak sejauh mana psychedelic-nya isi dalam novel ini. cubalah beli dan baca. mana tahu kalau-kalau anda suka.

oh ya, aku adalah salah seorang penulis yang terlibat. sokonglah karya-karya penulis tempatan. paling kurang pun, sokonglah aku. peace!



Wednesday, July 31, 2013

Tuesday, July 23, 2013

Rindu


rindu adalah peluru-peluru sesat yang menembusi kulit serta tulang-temulang, terbenam dalam daging merah darah lalu tubuh ini jadi parah. andai kau adalah guru, barangkali aku jadi murid yang derhaka kerana sering ingin menyumpahmu atas sebab mengajarkan aku tentang rindu yang menyakitkan.




Wednesday, July 10, 2013

Catatan Ramadhan


hari ini adalah ramadhan pertama dalam tahun dua ribu tiga belas dan aku masih berseorangan. bezanya hari ini aku dipeluk erat oleh kesepian. tanpa sebarang ucapan, tanpa teman, tanpa cinta, tanpa kasih — yang ada cuma tuhan yang selalu ada. dengan senyum yang tawar aku menunggu waktu berbuka ditemani andrew jackson jihad yang beralun menusuk koklea telinga. namun aku tetap bersyukur, sekurang-kurangnya aku masih mampu menjamah tiga biji kuih serta meneguk segelas air jagung. 




bandar darulaman
10 julai, 2013
[1 ramadhan, 1434]


Monday, June 17, 2013

prosais


anjing 
     unggas
lelaki
     perempuan
cengkerik
        mati bunyi
mana pergi keterujaan?




tilam kusam
16 jun, 2013
11:15 pm

Thursday, June 13, 2013

Tersungkur Di Dalam Maya


tersungkur tanpa lengan
wajahnya mencium lantai maya
yang senantiasa berpura-pura
punggung tertonggeng menengadah
langit-langit muram mencengkam
ada sosok kecil bersandar murung
pada suatu sudut yang terpuruk
dalam kotak kepala yang luas terbuka
gelombang maya kian mengasak 
dari segenap ruang nan kontang
sehinggakan muncul seruan
yang menyuruhnya menghindar




Kebun Rupa, USM
12 Jun, 2013
4:55 AM

Friday, June 7, 2013

Monday, June 3, 2013

pe-rasa-an


embun menangis kerinduan
jaka merinding keresahan
dan
anjing ini berputus kasih
bercerai harapan





Kebun Rupa, USM
2 Jun, 2013
2:20 AM


Tuesday, May 28, 2013

Resah



kau buat aku terapung kemudian kau biarkan aku tergantung. antara langit dan bumi — aku tersekat di situ. mendongak kabur, menunduk luntur. aku lesu. ada rasa yang menyiksa, ada kelam yang tersulam. terawang-awang dalam kesepian. atau ini cuma permainan tuhan?





28 Januari, 2013
1:33 AM





Monday, May 13, 2013

Demokrasi



mereka bilang, semalam adalah hari kematian demokrasi
aku bilang, demokrasi telah lama mati
bahkan terlalu lama;
bangkainya sudah hancur mereput
bersemadi di bawah kaki-kaki manusia jalang
yang melacurkan kebenaran demi kuasa duniawi

yang tersisa kini cuma artifak yang hapak
atau tulang-temulang yang malang
dan rakyat terus-terusan diatur
dari atas podium, para politikus mengerah
manakala yang di bawah bercempera hilang arah
─ roh demokrasi terus bergentayangan tersiksa tanpa aman




bandar darulaman
6 may, 2013



Wednesday, May 1, 2013

May Day




"Bekerja bukanlah semata-mata untuk wang, tetapi bekerjalah untuk mewajarkan kehidupan."





Monday, April 22, 2013

Lelaki dan Peluang dari Tuhan


saat mata terbuka dalam dingin samar subuh
umur bertambah dengan nyawa masih melekat di tubuh
betapa tuhan itu maha pemurah
membiarkan lelaki ini terus menghirup udara dari setiap arah
hidup atau mati   suatu pilihan
selebihnya adalah takdir dan ketentuan

dari tuhan cinta datang
kepada tuhan cinta dikembalikan

syukur -- untuk peluang-peluang
yang terkadang dipersiakan



22 April, 2013
ultah ke-26


Friday, April 12, 2013

Angin Perubahan?




Revolusi — adalah perubahan sosial dan budaya yang berlaku dengan cepat serta melibatkan perkara asas atau utama dalam kehidupan masyarakat. Dalam revolusi, perubahan boleh dirancang atau tanpa pemikiran sebelumnya dan boleh berjalan tanpa kekerasan atau melalui keganasan. Ukuran kelajuan  suatu perubahan sebenarnya relatif kerana revolusi juga boleh mengambil masa yang lama. Revolusi biasanya dikaitkan dengan dialektik, logik, cinta serta meruntuh dan membina.

Dialektik revolusi mengatakan bahawa revolusi adalah suatu usaha perubahan ke arah menuju kemaslahatan rakyat yang disokong oleh pelbagai faktor, tidak hanya figur pemimpin tetapi melibatkan  semua unsur-unsur perjuangan beserta sarananya.

Logik revolusi adalah bagaimana revolusi boleh dilaksanakan berdasarkan pengiraan yang stabil dan mantap, bahawa revolusi tidak bisa dipercepat atau diperlambat - ia akan datang pada waktunya. Kader-kader revolusi harus diwujudkan dalam apa-apa cara dengan kesedaran kelas dan keadaan sebenar di sekelilingnya. 

Romantika revolusi merupakan nilai-nilai dari revolusi, kenangan dan kebesaran di mana ia dibina. Romantika ini menyangkut pemahaman historis dan bagaimana ia disandingkan dengan pencapaian terbesar revolusi, iaitu kemaslahatan rakyat. Telah terdapat banyak tugu peringatan dan muzium menggambarkan kekuatan serta kemasyhuran revolusi di banyak negara yang telah melaksanakan revolusi seperti yang terdapat di Vietnam, Rusia, China, Indonesia dan negara-negara lain.

Meruntuh dan membina merupakan sebahagian daripada bukti fizikal revolusi. Pemerintahan cara lama yang yang membawa kesengsaraan kepada rakyat diubah kepada pemerintahan baru yang lebih menjurus kepada keadilan dan kesamarataan serta menjadi peranan yang besar untuk rakyat. Seperti di Bolivia; setelah Hugo Chavez menjadi presiden, beliau segera merombak struktur pertanian di mana mengutamakan tanah untuk rakyat serta menyingkirkan dominasi tuan tanah di banyak daerah di negara itu.

Dalam pengertian umum, revolusi mencakup semua jenis perubahan yang memenuhi syarat-syarat tersebut. Misalnya Revolusi Industri yang mengubah wajah dunia menjadi modern. Dalam definisi yang lebih sempit, revolusi umumnya difahami sebagai perubahan politik.

Sebuah revolusi yang baik adalah revolusi yang berterusan serta tidak pernah mati. Sentiasa memperbaiki sesuatu untuk kebaikan bersama merupakan suatu nilai murni yang tidak  seharusnya berhenti di pertengahan jalan. Dari mana dan ke mana arah angin revolusi akan betiup jika kita hanya terkial-kial memangkah sekeping kertas yang tertera simbol-simbol parti politik yang kononnya menjadi wakil untuk rakyat atas nama demokrasi? Apakah yang dipilih benar-benar mewakili para pemilihnya? Dan apakah demokrasi hari ini benar-benat berjalan secara telus di atas namanya? Cuba bayangkan, dunia tanpa angin.

Mungkin, manusia perlu lebih banyak belajar dari cinta-cinta yang telah gagal. Kerana hidup adalah tentang menghargai, bukan cuma dihargai.











Thursday, April 4, 2013

Kocek Jeans Lusuh


[untuk zsm kocek]


Dia seluk kocek jeans biru gelapnya yang sudah lusuh. Warna sudah pudar serta rabak di sekitar paha dan lutut. Puas diseluknya kocek sebelah kanan dan kiri beberapa kali - kosong. Cuma bau hapak yang menerewang naik, menusuk rongga pernafasan. Mana pergi telefon bimbit skrin lampu biru dengan nada dering monofonik? Tak lama selepas itu dia tersenyum. Rupanya sudah beberapa bulan telefon bimbit itu terabai di atas meja dalam bilik, tidak terusik – sepi.

Sejak perempuan yang dicintainya memutuskan hubungan kasih antara mereka, telefon bimbitnya sudah jarang berbunyi. Dia pernah baling telefon bimbit itu ke dinding tetapi langsung tidak terjejas. Baiklah, mugkin sedikit retak pada penutupnya namun masih berfungsi seperti biasa. Dia malas untuk menjawab panggilan atau membalas SMS dari rakan-rakan. Rata-ratanya nampak berminat dan sering menyoal perihal kisah cintanya yang kecundang. Dia tak sanggup untuk melontarkan kata-kata kesat, lebih baik berdiam diri.

Tak, dia bukan mencari telefon bimbit skrin lampu biru dengan nada dering monofonik. Ada sesuatu yang lain di dalam kocek jeans lusuh yang dia cari. Diraba, diseluk berkali-kali namun masih tidak bertemu apa yang dicari. Kiri-kanan, depan-belakang semua dia sudah periksa namun cuma habuk dan benang-benang kecil yang diperoleh. Oh ya, juga bau hapak. Macam mana boleh tak ada? Kemudian dia mencapai gitar yang tersandar di dinding lalu duduk di atas sebuah kerusi. Riak wajahnya menunjukan bahawa dia kehilangan mood untuk bermain gitar. Ternyata, gitar itu cuma dipegangnya sahaja.

Aku menyeluruhinya kemudian menyoal, apa yang dia cari? Dia menatapku dengan pandangan mata yang nanar. Beberapa detik kemudian, dia membalas bicara. Katanya; THC lebih baik untuk kesihatan berbanding cinta. Kecanduan cinta jika tidak dikawal bisa mengundang padah. Secara asasnya, manusia wujud atas dasar cinta namun kegagalan atau ketidakseimbangan dalam cinta bisa melunturkan seluruh warna jiwa. Katanya lagi; THC berupaya mewarnai jiwa-jiwa yang kehilangan warna. Manusia tidak akan kecanduan THC jika sedar akan fisiologi serta pandai mengadaptasi. Dia suruh ‘google’ jika tak tahu apa itu THC. Sekarang dia perlu menambah kandungan THC ke dalam jiwanya. Tapi di mana? Dia masih mencari.

Aku menghampirinya kemudian melemparkan sebuah senyuman. Aku suruh dia periksa di celah telinga kiri. Pantas dia menarik balutan kertas putih yang terselit di celah telinga kirinya lalu tersenyum. Celaka, terlupa, dia cakap. Dia minta pemetik api dari aku. Katanya; dia dah berhenti merokok. Jadi dia tak ada pemetik api. Kadang-kadang dia cuma guna mancis. Oh ya, dia berhenti merokok bukan sebab kekasih. Bukan. Dia cakap, rokok memang membahayakan kesihatan dan mungkin menyebabkan penyakit yang menjurus ke arah kematian. Hampir lima belas tahun dia merokok dan berkali-kali dia sakit tapi dia belum rasa mahu mati. Dan dia baru dua kali putus cinta tapi rasa macam mahu mati berkali-kali. Nasib baik dia ada agama, ada Tuhan.

Dia capai pemetik api yang aku hulurkan. Balutan kertas putih hampir sebesar ibu jari terselip kemas di bibir. Dia kenyitkan mata padaku kemudian menyulut balutan tersebut dengan pemetik api. Berkepul-kepul asap menerewang naik ke ruang udara. Ada suatu bau yang memikat. Aku nampak dia masukan pemetik api aku tadi ke dalam kocek jeans lusuhnya. Aku cakap, itu pemetik api aku. Alamak, terlupa katanya sambil ketawa. Dia seluk semula kocek jeans lusuhnya. Beberapa detik kemudian reaksi wajahnya sedikit berubah. Tak ada, dia cakap. Kiri-kanan, depan-belakang tak ada. Dia cari celah telinga juga tak ada.

Dia seluk semula kocek jeans lusuhnya. Kali ini melebihi pangkal lengan. Gila! dia menjerit. Aku tanya dia, kenapa? Kocek jeans lusuhnya sudah berubah menjadi suatu ruang interdimensi dan pemetik api kepunyaanku sudah hilang di dalam ruang tersebut, dia jawab. Aku tak faham. Dia ketawa kemudian dia cakap, biar dia habiskan balutan itu dahulu sebelum ianya terpadam. Berkepul-kepul asap putih dihembuskan. Aku suka bau asap itu. Selepas habis menghisap balutan tersebut, dia capai semula gitar dan pegang satu kod. Aku tak tahu kod apa. Katanya; dia mahu mainkan aku sebuah lagu sebelum dia pergi. Mahu pergi mana? Dia cuma tersenyum. Dia mula memetik gitar, menukar kod kemudian menyanyi.

I sail to the moon
I spoke too soon
And how much did it cost
I was dropped from
The moonbeam
And sailed on shooting stars

Maybe you'll
Be president
But know right from wrong
Or in the flood
You'll build an Ark

And sail us to the moon
Sail us to the moon
Sail us to the moon
Sail us to the moon

Suaranya memang bagus. Kalau Thom Yorke mati awal, dia boleh jadi pengganti. Jonny, Colin, Phil dan Ed pasti setuju menerimanya. Dah habis menyanyi dia cakap, sekian terima kasih. Kemudian dia cakap lagi, dia mahu pergi. Belum sempat aku tanya ke mana, aku lihat separuh badannya sudah berada di dalam kocek jeans lusuh. Ya, kocek jeans lusuh yang dia pakai, yang warnanya sudah pudar serta rabak di sekitar paha dan lutut. Juga berbau hapak. Aku jerit; nak ke mana!?

Sayup kedengaran dia menjawab; mahu menuju euforia di dalam kocek jeans lusuh yang sudah berubah menjadi ruang interdimensi. Dia pesan, jangan risau dan dia akan kembali setelah menemui semula pemetik api aku yang hilang tadi. Kemudian keadaan menjadi sepi. Di hadapanku kini cuma tinggal sehelai jeans lusuh dan sebuah gitar. Oh ya, dan juga sisa-sisa bau asap yang menyenangkan. Aku tersenyum sendirian.








Friday, March 29, 2013

Respek


respek merujuk kepada rasa hormat; kehormatan: menaruh -- atas perbuatan yang mulia. dan harus diingat, respek itu dua hala.



Thursday, March 7, 2013

Bangkai


andai hati persis makhluk bernyawa
seperti hidupan yang melata
aku kira ia sudah busuk mereput
jadi bangkai dalam dada
  hati mati



Wednesday, February 27, 2013

Sepatumu dan Dunia yang Akan Datang


melihat ketakutan yang melampaui
empat ribu lima ratus juta tahun

kuku terkopak
rambut berguguran dari kulit kepala
penglihatan menyempit perlahan-lahan
pada siapa kita serahkan tanggungjawab

keadilan terkadang
menjadi dosa yang belum langsai
yang terkesan dan tertinggal cuma
kebahagiaan juga penyesalan
  dengan senjata mereka menuntut dan membina

lengan-lengan yang terhunus mula kelelahan
mengoles kuas bertinta hitam ke dinding putih
mahu hasil mural yang mempersona
sejenak menghela nafas lalu fikiranku runtuh
  terbakar panas rasa tertipu

luntur...luntur...luntur
dan di antara yang melutut berkata;

andai punya kesalahan lantas menjadi laki-laki terbuang, ke mana perginya ilham dan harapan masa lalu? tanggungjawab menerawang di sekitar kemudian karam dalam kelalaian, bergeser tatapan nan lembut. didedikasikan untuk sepatumu dan dunia yang akan datang.

Wednesday, February 6, 2013

Kola


kami mahukan perubahan serta demokrasi yang sebenar
bukan cuma memilih di antara pepsi dan coke!

begitu susunan aksara yang membentuk sepotong ayat, dioles dengan berus dan cat di atas sekeping papan lapis menjadikannya sebuah sepanduk; kini dipegang oleh seorang pemuda. pemuda yang potongan rambutnya beralun ke paras pangkal leher itu berdiri tegak di celah-celah ribuan demonstran yang turun ke jalan. dan ketika yang lain sibuk melaungkan kata protes serta menyuarakan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada kemudian menggantikan dengan kerajaan baru, pemuda tadi masih berdiri di situ. berdiri dengan sepanduk di tangannya.

tiba-tiba, kelihatan seorang lelaki separuh abad datang menghampiri pemuda itu kemudian menyeluruhinya dari atas ke bawah beberapa kali. si pemuda cuma tersenyum dan masih berdiri, memegang sepanduk.

--apa yang kau sedang lakukan ini anak muda? dan apa maksud kata-kata di sepandukmu itu?

--saya sedang berdiri sambil memegang sepanduk. oh ya, mari ikut saya kita ke kedai serbaneka di hujung sana.

lelaki separuh abad itu mengangguk lantas mengekori si pemuda dari belakang. sampai di kedai serbaneka, si pemuda menyuruh lelaki separuh abad tadi menunggunya di luar sementara dia masuk ke dalam. beberapa waktu kemudian, si pemuda keluar dari kedai serbaneka dengan membawa dua tin minuman; pepsi dan coke. dihulurkan kedua-duanya pada lelaki separuh abad yang sedang menunggu.

--buka dan minum kedua-duanya sekarang, kemudian beritahu saya tentang rasa. maksud saya, rasa asas kedua-dua air dari tin pepsi dan juga tin coke.

lelaki separuh abad itu merenung si pemuda sejenak, sebelum minum beberapa teguk pepsi dan coke. kepalanya masih ditujah dengan seribu tanda tanya.

--tiada apa yang luar biasa, cuma rasa kola yang sama.

--sepanjang hidup, adakah anda pernah mempersoalkan keseluruhan sistem perwakilan politik? siapa yang mewakili anda? yang mewakili komuniti anda? bolehkah kita benar-benar mempercayai ahli politik sebagai wakil? adakah anda benar-benar diwakili?

lelaki separuh abad itu tersentak apabila mendengar persoalan yang ditimbulkan oleh si pemuda. bertalu-talu menghentam koklea telinganya. tanpa menunggu jawaban, si pemuda menyambung bicara;

--yang cuba saya sampaikan adalah, kita bukan mahu memperbanyakan pilihan yang sedia ada tapi mahu hak dan kuasa rakyat turut serta dalam proses membuat keputusan serta menentukan apa yang diperlukan, bukan hanya memilih wakil dan parti yang memerintah. ini demokrasi sebenar, menurut saya.

si pemuda menghulurkan dua keping not kertas seringgit buat beli sebotol air mineral katanya, kemudian mencapai kedua-dua tin minuman yang berada di tangan lelaki separuh abad itu lantas membuangnya ke dalam tong sampah. dia mula menapak meninggalkan lelaki separuh abad itu yang kelihatanya seolah-olah baru terkena renjatan elektrik.

--oh ya, minuman berkarbonat tidak bagus untuk kesihatan.






Thursday, January 31, 2013

Maaf


terbangku ke sana
dengan hati yang telah hilang ke mana mana
maaf
tiada senyum mahupun puisi indah buatmu, miri



miri
25 - 28 januari, 2013