Wednesday, February 6, 2013

Kola


kami mahukan perubahan serta demokrasi yang sebenar
bukan cuma memilih di antara pepsi dan coke!

begitu susunan aksara yang membentuk sepotong ayat, dioles dengan berus dan cat di atas sekeping papan lapis menjadikannya sebuah sepanduk; kini dipegang oleh seorang pemuda. pemuda yang potongan rambutnya beralun ke paras pangkal leher itu berdiri tegak di celah-celah ribuan demonstran yang turun ke jalan. dan ketika yang lain sibuk melaungkan kata protes serta menyuarakan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada kemudian menggantikan dengan kerajaan baru, pemuda tadi masih berdiri di situ. berdiri dengan sepanduk di tangannya.

tiba-tiba, kelihatan seorang lelaki separuh abad datang menghampiri pemuda itu kemudian menyeluruhinya dari atas ke bawah beberapa kali. si pemuda cuma tersenyum dan masih berdiri, memegang sepanduk.

--apa yang kau sedang lakukan ini anak muda? dan apa maksud kata-kata di sepandukmu itu?

--saya sedang berdiri sambil memegang sepanduk. oh ya, mari ikut saya kita ke kedai serbaneka di hujung sana.

lelaki separuh abad itu mengangguk lantas mengekori si pemuda dari belakang. sampai di kedai serbaneka, si pemuda menyuruh lelaki separuh abad tadi menunggunya di luar sementara dia masuk ke dalam. beberapa waktu kemudian, si pemuda keluar dari kedai serbaneka dengan membawa dua tin minuman; pepsi dan coke. dihulurkan kedua-duanya pada lelaki separuh abad yang sedang menunggu.

--buka dan minum kedua-duanya sekarang, kemudian beritahu saya tentang rasa. maksud saya, rasa asas kedua-dua air dari tin pepsi dan juga tin coke.

lelaki separuh abad itu merenung si pemuda sejenak, sebelum minum beberapa teguk pepsi dan coke. kepalanya masih ditujah dengan seribu tanda tanya.

--tiada apa yang luar biasa, cuma rasa kola yang sama.

--sepanjang hidup, adakah anda pernah mempersoalkan keseluruhan sistem perwakilan politik? siapa yang mewakili anda? yang mewakili komuniti anda? bolehkah kita benar-benar mempercayai ahli politik sebagai wakil? adakah anda benar-benar diwakili?

lelaki separuh abad itu tersentak apabila mendengar persoalan yang ditimbulkan oleh si pemuda. bertalu-talu menghentam koklea telinganya. tanpa menunggu jawaban, si pemuda menyambung bicara;

--yang cuba saya sampaikan adalah, kita bukan mahu memperbanyakan pilihan yang sedia ada tapi mahu hak dan kuasa rakyat turut serta dalam proses membuat keputusan serta menentukan apa yang diperlukan, bukan hanya memilih wakil dan parti yang memerintah. ini demokrasi sebenar, menurut saya.

si pemuda menghulurkan dua keping not kertas seringgit buat beli sebotol air mineral katanya, kemudian mencapai kedua-dua tin minuman yang berada di tangan lelaki separuh abad itu lantas membuangnya ke dalam tong sampah. dia mula menapak meninggalkan lelaki separuh abad itu yang kelihatanya seolah-olah baru terkena renjatan elektrik.

--oh ya, minuman berkarbonat tidak bagus untuk kesihatan.






6 comments:

  1. Idea yg kamu sampaikan boleh buka minda utk berfikir.

    ReplyDelete
  2. Ide yang bernas Lang..
    ini yang patut dibaca semua..

    ReplyDelete
  3. konspimaker & api :

    terinspirasi dengan seorang aktivis muda yang berani, maka terhasilnya tulisan ini

    ReplyDelete
  4. makin power tulisan hang paklang. makin penuh dengan isi.

    ReplyDelete
  5. perumpamaan yang sangat baik, terbaik dari apa yang pernah aku fikirkan. tak sangka rupanya para demonstran juga boleh menjadi ahli filsuf. dan air mineral adalah rakyat yang meneutralkan pemerintahan.

    ReplyDelete
  6. bukan semua demonstran yang turun ke jalan itu jadi alat politikus, tapi masih ramai yang faham akan fisiologi diri dalam dunia komunal serta sedar akan peran dalam masyarakat. oh ya, bagi aku setiap ahli filsuf itu sendiri adalah demonstran di jalan pemikirannya.

    ReplyDelete