[untuk zsm kocek]
Dia
seluk kocek jeans biru gelapnya yang sudah lusuh. Warna sudah pudar serta rabak
di sekitar paha dan lutut. Puas diseluknya kocek sebelah kanan dan kiri
beberapa kali - kosong. Cuma bau hapak yang menerewang naik, menusuk rongga pernafasan.
Mana pergi telefon bimbit skrin lampu biru dengan nada dering monofonik? Tak
lama selepas itu dia tersenyum. Rupanya sudah beberapa bulan telefon bimbit itu
terabai di atas meja dalam bilik, tidak terusik – sepi.
Sejak
perempuan yang dicintainya memutuskan hubungan kasih antara mereka, telefon
bimbitnya sudah jarang berbunyi. Dia pernah baling telefon bimbit itu ke
dinding tetapi langsung tidak terjejas. Baiklah, mugkin sedikit retak pada
penutupnya namun masih berfungsi seperti biasa. Dia malas untuk menjawab
panggilan atau membalas SMS dari rakan-rakan. Rata-ratanya nampak berminat dan
sering menyoal perihal kisah cintanya yang kecundang. Dia tak sanggup untuk
melontarkan kata-kata kesat, lebih baik berdiam diri.
Tak,
dia bukan mencari telefon bimbit skrin lampu biru dengan nada dering monofonik.
Ada sesuatu yang lain di dalam kocek jeans lusuh yang dia cari. Diraba, diseluk
berkali-kali namun masih tidak bertemu apa yang dicari. Kiri-kanan,
depan-belakang semua dia sudah periksa namun cuma habuk dan benang-benang kecil
yang diperoleh. Oh ya, juga bau hapak. Macam mana boleh tak ada? Kemudian dia
mencapai gitar yang tersandar di dinding lalu duduk di atas sebuah kerusi. Riak
wajahnya menunjukan bahawa dia kehilangan mood untuk bermain gitar. Ternyata,
gitar itu cuma dipegangnya sahaja.
Aku
menyeluruhinya kemudian menyoal, apa yang dia cari? Dia menatapku dengan
pandangan mata yang nanar. Beberapa detik kemudian, dia membalas bicara.
Katanya; THC lebih baik untuk kesihatan berbanding cinta. Kecanduan cinta jika
tidak dikawal bisa mengundang padah. Secara asasnya, manusia wujud atas dasar
cinta namun kegagalan atau ketidakseimbangan dalam cinta bisa melunturkan
seluruh warna jiwa. Katanya lagi; THC berupaya mewarnai jiwa-jiwa yang kehilangan
warna. Manusia tidak akan kecanduan THC jika sedar akan fisiologi serta pandai
mengadaptasi. Dia suruh ‘google’ jika tak tahu apa itu THC. Sekarang dia perlu
menambah kandungan THC ke dalam jiwanya. Tapi di mana? Dia masih mencari.
Aku
menghampirinya kemudian melemparkan sebuah senyuman. Aku suruh dia periksa di
celah telinga kiri. Pantas dia menarik balutan kertas putih yang terselit di
celah telinga kirinya lalu tersenyum. Celaka, terlupa, dia cakap. Dia minta
pemetik api dari aku. Katanya; dia dah berhenti merokok. Jadi dia tak ada
pemetik api. Kadang-kadang dia cuma guna mancis. Oh ya, dia berhenti merokok
bukan sebab kekasih. Bukan. Dia cakap, rokok memang membahayakan kesihatan dan
mungkin menyebabkan penyakit yang menjurus ke arah kematian. Hampir lima belas
tahun dia merokok dan berkali-kali dia sakit tapi dia belum rasa mahu mati. Dan
dia baru dua kali putus cinta tapi rasa macam mahu mati berkali-kali. Nasib
baik dia ada agama, ada Tuhan.
Dia
capai pemetik api yang aku hulurkan. Balutan kertas putih hampir sebesar ibu
jari terselip kemas di bibir. Dia kenyitkan mata padaku kemudian menyulut
balutan tersebut dengan pemetik api. Berkepul-kepul asap menerewang naik ke
ruang udara. Ada suatu bau yang memikat. Aku nampak dia masukan pemetik api aku
tadi ke dalam kocek jeans lusuhnya. Aku cakap, itu pemetik api aku. Alamak,
terlupa katanya sambil ketawa. Dia seluk semula kocek jeans lusuhnya. Beberapa
detik kemudian reaksi wajahnya sedikit berubah. Tak ada, dia cakap. Kiri-kanan,
depan-belakang tak ada. Dia cari celah telinga juga tak ada.
Dia
seluk semula kocek jeans lusuhnya. Kali ini melebihi pangkal lengan. Gila! dia
menjerit. Aku tanya dia, kenapa? Kocek jeans lusuhnya sudah berubah menjadi
suatu ruang interdimensi dan pemetik api kepunyaanku sudah hilang di dalam
ruang tersebut, dia jawab. Aku tak faham. Dia ketawa kemudian dia cakap, biar
dia habiskan balutan itu dahulu sebelum ianya terpadam. Berkepul-kepul asap
putih dihembuskan. Aku suka bau asap itu. Selepas habis menghisap balutan tersebut,
dia capai semula gitar dan pegang satu kod. Aku tak tahu kod apa. Katanya; dia
mahu mainkan aku sebuah lagu sebelum dia pergi. Mahu pergi mana? Dia cuma
tersenyum. Dia mula memetik gitar, menukar kod kemudian menyanyi.
I sail to the moon
I spoke too soon
And how much did it cost
I was dropped from
The moonbeam
And sailed on shooting stars
Maybe you'll
Be president
But know right from wrong
Or in the flood
You'll build an Ark
And sail us to the moon
Sail us to the moon
Sail us to the moon
Sail us to the moon
Suaranya
memang bagus. Kalau Thom Yorke mati awal, dia boleh jadi pengganti. Jonny,
Colin, Phil dan Ed pasti setuju menerimanya. Dah habis menyanyi dia cakap,
sekian terima kasih. Kemudian dia cakap lagi, dia mahu pergi. Belum sempat aku
tanya ke mana, aku lihat separuh badannya sudah berada di dalam kocek jeans
lusuh. Ya, kocek jeans lusuh yang dia pakai, yang warnanya sudah pudar serta
rabak di sekitar paha dan lutut. Juga berbau hapak. Aku jerit; nak ke mana!?
Sayup
kedengaran dia menjawab; mahu menuju euforia di dalam kocek jeans lusuh yang
sudah berubah menjadi ruang interdimensi. Dia pesan, jangan risau dan dia akan
kembali setelah menemui semula pemetik api aku yang hilang tadi. Kemudian
keadaan menjadi sepi. Di hadapanku kini cuma tinggal sehelai jeans lusuh dan
sebuah gitar. Oh ya, dan juga sisa-sisa bau asap yang menyenangkan. Aku
tersenyum sendirian.