Wednesday, May 30, 2012

Celaru


anak kecil itu celaru
siapa tuhan siapa makhluk
sumpah, laknat, hukum
jatuh semudah kata
dewasa ini dia lihat
tuhan semakin ramai
siapa yang harus disembah?

salah kau juga kalau anak kecil 
itu akidahnya ke mana-mana

Thursday, May 17, 2012

Mak Cik Cyborg dan Sepinggan Nasi Berlauk Ikan Kerisi


Pagi itu, awal betul aku dah lapar nasi. Mungkin sebab semalam aku tertidur depan komputer riba masa tengah layan Sail ToThe Moon, tak sempat jamah apa-apa. Tapi aku pelik, kenapa ada batang betik masa aku bangun tidur tadi? Malas aku nak fikir lebih-lebih, perut pun dah mula merusuh. Lepas mandi ala kadar, aku bergegas keluar rumah. Gerai nasi campur depan trafik light jadi sasaran. Dia punya lauk boleh tahan sedap, tak adalah rasa macam masak guna kaki sangat. Harga pun berpatutan.

Dari seberang jalan aku nampak orang beratur ambil nasi, agak ramai juga. Kenapa orang ramai pun pagi-pagi dah lapar nasi? Aku ingat, aku lah satu-satunya makhluk yang lapar nasi awal pagi begini. Ah, aku silap dan aku juga sudah tersalah anggap. Manusia memang selalu begitu, dia ingat cuma dia seorang yang begini, orang lain begitu. Walhal, bukan dia seorang sahaja manusia di atas muka bumi ini. Kalau ada manusia lain yang juga begini bukan begitu dan begitu, dia tak boleh salahkan manusia yang lain itu. Manusia lain itu bukannya ada masa nak meniru dia sebenarnya, cuma hal begini memang sudah tindak balas kimia yang sempurna dan ini adalah lumbrah kehidupan. Ingat, bukan dia sahaja satu-satunya manusia di atas muka bumi yang luas ini. Ok, hal ini menyebabkan aku beranggapan bahawa; ini adalah normal. Aku lintas jalan tanpa toleh kiri-kanan. Kadang-kadang rasa lapar boleh mempengaruhi minda bawah sedar manusia. Entah masa bila aku tahan lori balak yang lalu dengan tapak tangan, tahu-tahu sudah tersadai dalam parit tepi jalan. Orang ramai mula mengerumuni lori balak yang terbabas itu. Aku cuma menjeling dan terus menuju ke arah abang tukang cedok nasi. Senang sikit kerja aku bila orang ramai mula mengalihkan perhatian mereka ke arah lori itu manakala aku tetap fokus pada nasi. Ah, kasihan betul orang Malaysia kan?

Aku ambil seekor ikan kerisi goreng, masak lemak pucuk paku dan sedikit kuah sambal. Air macam biasa, neskefe ‘O’ ais berbuih. Lepas sedut neskefe ‘O’ ais berbuih dua-tiga pam, suapan nasi pun bermula. Selepas membaca Bismillah tentunya. Ketika itu ada seorang makwe duduk makan berhadapan dengan aku. Makwe itu senyum-senyum dan aku tidak pasti apa yang dia senyumkan. Cantik, manis. Walaubagaimanapun, selera aku tidak punah dek kerana senyuman makwe tersebut. Aktiviti makan tetap konsisten, kadar suapan nasi dan lauk tetap stabil. Aku senyum kembali pada makwe tersebut, dan dia terus tersedak dan cepat-cepat minum air. Adakah senyuman aku terlalu mengancam? Aku kurang pasti. Aktiviti makan harus diteruskan.

Sudah masuk perenggan keempat, jadi di manakah keberadaan mak cik cyborg ? Tenang, scene mak cik cyborg baru sahaja nak bermula. Rupa-rupanya, di sebelah makwe tadi ada serobot mak cik cyborg yang tengah makan nasi. Nasi berlauk ikan kerisi juga. Dia senyum-senyum pada aku. Plastik betul senyuman dia, maklumlah robot. Bibir bukan main merah lagi dengan lipstik. Aku dah rasa kurang selesa. Mak cik cyborg itu asyik tenung aku. Masih dengan senyuman plastiknya. Selera makan aku mula menurun. Untuk sedapkan hati, aku senyum kembali. Berkelip-kelip mata mak cik cyborg itu, senyuman plastiknya makin lebar. Kali ini aku pula yang tersedak dan cepat-cepat minum air. Melihat keadaan aku begitu, kepala mak cik cyborg mula bergerak kiri-kanan sambil matanya berkelip-kelip. Astaga, berdecit-decit bunyi tengkuk mak cik cyborg itu masa kepalanya bergerak kiri-kanan. Mental aku jadi rabak.

Aku sudah hilang selera makan, juga kesabaran. Pinggan nasi dihempas, berderai. Nasi bersepah ke mana, ikan kerisi terpelanting ke mana. Tanpa membasuh tangan dan tanpa membaca doa selepas makan, aku bangun ke kaunter lantas membayar harga makan minum beserta harga pinggan. Aku meluru ke arah jalanraya dan tanpa menoleh kiri-kanan aku terus melintas. Malangnya, kali ini aku dilanggar oleh sebuah van yang kematian cukai jalan.


Friday, May 4, 2012

Gadis kecil, Coklat, V Mask, Tear Gas dan Sebelah Kasut yang Tertanggal


Hari itu, hari Sabtu. Sabtu yang lain dari Sabtu-Sabtu yang biasa. Seawal pagi lagi, seusai bersarapan aku dan mereka menapak ke sebuah dataran yang kini tidak lagi merdeka – dijajah pemerintah yang gila kuasa. Di sebuah jejantas, seorang tua yang semangatnya menggunung mengalahkan si muda sedang gagah berdiri dikelilingi boneka-boneka berseragam biru gelap. Wajahnya tampak tenang, namun aku tahu di dasar yang paling dasar dan di dalam yang paling dalam  hati sanubarinya telah digenggam pilu. Masakan seorang tua bisa dianggap penggugat takhta? Segala kata-katanya ibarat mesin pemusnah bagi mereka. Aku ketawa – dalam hati. Bertabahlah wahai pak tua, si muda ini tentu terasa bacul jika tidak meneruskan amanatmu, maka kami teruskan langkah dengan lapang dada.

Lautan manusia kini membanjiri kota. Aku tidak pandang pada warna, bagi aku rakyat itu punya hak yang sama. Sejak akhir-akhir ini, warna semacam menjadi suatu ancaman pada penguasa. Sekali lagi aku ketawa dalam hati. Keadaan ketika itu terkawal, semua orang nampaknya tenang dan gembira meraikan hari yang seakan pesta. Ada sekumpulan anak muda yang memalu gendang dan menari di hujung sana. Tak kurang juga ada yang menyanyi dan berpuisi. Ah, indahnya merai seni dalam ramai. Aku langsung tak peduli pada politikus-politikus yang melalak hingga tegang urat leher. Golongan ini cuma tahu mengambil kesempatan walaupun aku sedar bukan semuanya begitu. Namun kita harus lebih berhati-hati. Benar itu kawan, manusia ini rambut sama hitam tapi hatinya lain-lain. Orang ramai kini duduk santai melalukan aktiviti masing-masing. Duduk berborak tentang pelbagai isu. Yang menari terus menari, yang menyanyi terus menyanyi, yang bepuisi terus berpuisi. Matari yang tadinya berselindung kini mula keluar menunjukan diri menandakan telah tiba waktu tengahari. Perut terasa lapar dan minta diisi.

Seusai mengisi perut ala kadar, aku dan mereka masuk semula ke dalam lautan manusia yang masih duduk menunggu dataran ‘dibuka’. Ramai yang kecewa, dataran itu dipagari kawat berduri laksana sebuah tanah yang diharamkan untuk rakyat. Mana hilang merdekanya? Aku semakin tidak mengerti. Di suatu sudut, aku lihat seorang gadis kecil berlari-lari mengelilingi bapanya. Dia tampak gembira dengan sekeping coklat di tangan. Aku tersenyum melihat telatahnya – comel. Aku tarik nafas dalam-dalam lantas membakar sebatang nikotin. Hak yang dituntut hari ini semuanya untuk kau anak kecil, supaya kelak kau hidup dalam sebuah demokrasi yang lebih bersih. Agar tanah ini masih selamat untuk kau terus berlari-lari. Aku merenung gadis kecil itu yang terus menjilat-jilat kepingan coklatnya.

Kemudian, aku dikejutkan oleh dentingan loceng beberapa kali. Di barisan paling hadapan, aku lihat orang ramai sedang kecoh dan bertempeliaran lari. Sebuah jentera sedang bergerak sambil melancarkan pancutan water canon menuju ke arah orang ramai yang sedang duduk membantah.  Aku, mereka dan orang ramai mula berundur. Di sebalik bangunan menjadi teduhan. Keadaan agak terkawal sehinggalah aku nampak segerombolan robot kawalan jauh dengan sut biru gelap berkawat mara ke hadapan. Robot-robot tanpa perasaan itu mula menembak tear gas ke arah lautan manusia yang ketika itu bertangan kosong tanpa sebarang senjata. Huru-hara tercetus. Teduhan di sebalik bangunan tidak lagi selamat. Belakangnya jalan mati. Orang ramai mula berasak-asak keluar, lari menyelamatkan diri. Seorang sahabat lantas menarik tangan aku lalu memanjat besi penghadang dengan harapan bisa lepas dari cengkaman kejam asap yang mula memenuhi ruang. Kelongsong tear gas tidak henti-henti melayang di atas kepala. Orang ramai berpusu-pusu melalui sebuah laluan yang agak sempit, masing-masing mahu lari dari asap dan serangan robot kawalan jauh berseragam biru gelap tersebut. Saat degupan jantung makin melaju, aku rasa sebelah kasutku telah tertanggal. Sahabat yang dari tadi berlari sambil menggenggam tanganku menarik aku pergi. Aku sempat menoleh ke belakang seraya terpandang gadis kecil yang gembira menjilat coklatnya tadi kini menangis histeria. Dia meronta-ronta dalam pelukan bapanya. Gadis kecil itu menunjuk-nunjuk ke arah sesuatu. Si bapa tidak menghiraukan rengekan si anak, berusaha sedaya-upaya untuk lari.

Asap di belakang makin menebal. Aku dan sahabat terus berlari sehinggalah sebiji kelongsong aluminium mendarat betul-betul di hadapan kami. Asap putih berkepul-kepul keluar laksana jin yang keluar dari lampu ajaib si Aladdin. Mulut dan hidung yang diikat-tutup dengan kain kini tidak lagi mampu menghalang azab serangan asap yang menyelinap penuh serakah. Mata, hidung, dan seluruh badan mula terasa pedih yang perit. Antara zahir dan batin terasa siksanya  akibat dari efek asap kejam itu. Aku dan sahabat kini sudah tidak kuat untuk berdiri apatah lagi berlari, jatuh melutut di pinggir laluan. Air melimpah ruah dari kolam mata yang pedih. Hingus dan air liur meleleh keluar, berlenja. Kami muntah. Dalam pada itu, terlintas di hatiku untuk berpatah balik mencari sebelah kasut yang tertanggal tadi. Aku merangkak dalam tebal asap yang mula menipis. Akhirnya aku sampai pada titik di mana sebelah kasut itu tertanggal.

Di hadapanku kini ada sebelah kasut dan di kiri pula terlentang sebuah V Mask. Aku rasa mahu capai keduanya. Namun dalam miliseken momen antara jatuhnya air mata dan tanganku mencapai kedua-dua objek tersebut, tiba-tiba aku terpandang sekeping coklat. Wajah gadis kecil tadi terus memenuhi ruang kotak fikiran. Aku toleh ke belakang dan nampak gadis kecil itu dalam pelukan bapanya, berjurai air mata. Air matanya yang deras mengalir itu berkemungkinan atas sebab coklatnya yang terjatuh. Dan yang paling pasti, itu adalah efek si asap celaka. Tear gas yang menyiksa. Tanganku kini beralih ke arah coklat itu. Belum sempat aku capai coklat tersebut, tiba-tiba terasa suatu objek keras menghentam kepalaku.  Cecair panas mula mengalir turun ke muka – merah. Aku sempat menoleh ke belakang, kelibat gadis kecil dan bapanya sudah tidak kelihatan. Yang ada kini cuma robot-robot kawalan jauh berseragam biru gelap. Dalam keadaan yang seakan mimpi berbaur pedih, kepalaku mula terasa berat. Maafkan aku gadis kecil, coklatmu tak bisa aku kembalikan. Pandangan mula kabur. Putih, kelabu, putih, kelabu…hitam.