Tuesday, January 21, 2014

Catatan Untuk Generasi Hari Ini (Diri Sendiri)


"I can see the bright green strip of grass beneath the wall, and the clear blue sky above the wall, and sunlight everywhere. Life is beautiful. Let the future generations cleanse it of all evil, oppression, and violence and enjoy it to the full." ~ Leon Trotsky

Petikan di atas ditulis oleh Trotsky enam bulan sebelum beliau dibunuh iaitu sekitar tahun 1940. Lebih kurang 7 dekad yang lalu dan kita kini berada di tahun 2014. Saya suka untuk mengaitkan 'the future generations' atau generasi akan datang yang dinyatakan Trotsky itu dengan kita (baca:generasi hari ini). Ya, kita semua! Tanpa mengira bangsa, agama ataupun kedudukan geografi.

Generasi Malaysia

Sebagai seorang rakyat Malaysia, sudah tentulah saya ingin fokuskan pada 'the future generations' yang ada di negara kita pada hari ini. Apakah yang generasi kita buat hari ini? Adakah generasi kita hari ini benar-benar bertindak membersihkan segala kejahatan, penindasan dan keganasan? Adakan kita benar-benar menikmati 'keindahan' hidup dengan sepenuhnya?

Baiklah, negara kita Malaysia pada pandangan kasarnya memanglah sebuah negara yang aman, damai, makmur dan harmoni. Namun di sebalik tirai keindahan itu, negara kita masih saja bergelumang dengan pelbagai kes seperti pembunuhan, rogol, rompakan, ragut, mengemis, merempat dan (mungkin) kebuluran. Kenapa hal seperti ini boleh berlaku di sebuah negara 'aman'? Jawapannya adalah, kerana kestabilan politik, sosial serta ekonomi (malah kemanusiaan mungkin) berada di tahap yang boleh dikira sebagai menyedihkan. Sebab itu masih ada rakyat yang merempat di negara sendiri. Sebab itu kes jenayah makin meningkat. Semuanya kerana desakan ekonomi serta dihimpit oleh kos sara hidup yang semakin membebankan.

Pemerintah terus-terusan menabur 'gula-gula' pada rakyat dan menggesa agar kita semua sentiasa bersyukur. Apakah kita semua benar-benar faham dengan konsep syukur? Atau kita semua telah dimanipulasikan oleh pemerintah dengan konsep syukur itu sendiri? Sedarlah wahai generasiku, jangan terlalu pentingkan diri. Mungkin kehidupan kita agak selesa dan tidak pernah berlapar namun bagaimana dengan nasib saudara-saudara yang lain yang merempat dan terpuruk di suatu sudut dalam negara kita sendiri? Jadi, apakah yang generasi kita buat hari ini?

Akademia 'Ignorance'

Negara kita hari ini mempunyai ramai cerdik pandai. Kita ada ramai profesor dan doktor. Kita ada lebih kurang 227,000 mahasiswa IPTA dan IPTS di seluruh negara. Namun adakah para ahli akademi di negara kita benar-benar berfungsi selayaknya? Atau sejumlah besar daripadanya cumalah akademia 'ignorance'?

Pada akhirnya, masalah ini berbalik pada dasar pendidikan negara yang kurang (mungkin tidak) efektif. Mahasiswa yang mempunyai sikap dan pendirian sendiri dan cuba mencari jawapan akan dituduh sebagai tidak mengenang budi, anti-nasionalis serta pelbagai lagi tuduhan liar. Contohnya seperti yang dialami oleh mahasiswa Adam Adli yang sehingga kini masih tidak dapat menyambung pengajiannya di UPSI kerana tindakan AUKU keatasnya. Saya tidak melihat dari segi aksi apa yang dia lakukan (menurunkan bendera muka PM) tetapi saya lebih suka melihat dari segi pemberontakan jiwa mudanya sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai sikap dan pendirian sendiri (dalam lingkungan pemikirannya) dan cuba mencari jawapan. Isu 'turun bendera muka PM' cuma disensasikan oleh media kawalan pemerintah untuk menutup isu sebenar dan pelbagai lagi isu serta permasalahan rakyat.

Di mana sekian banyak profesor dan akademia kita apabila masyarakat memerlukan jawapan seperti ketirisan wang perbelanjaan negara ataupun masalah ekonomi di mana rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan kos sara hidup? Pensyarah tidak dibenarkan memberi pandangan. Pelajar lebih sadis, tidak dibenarkan bertanya. Ilmu hanya boleh didapati sehingga pagar kampus dan fakulti sahaja. Masyarakat ditinggalkan terkial-kial mencari jawapan dengan sekian banyak masalah negara, masalah ekonomi, masalah perkhidmatan, masalah kebajikan dan lain-lain. Hal kangkung? Tak perlulah kita terus memperbodohkan diri dengan isu yang sedia bodoh yang dicetuskan oleh kebodohan orang bijak yang berselindung di sebalik pangkat serta kedudukannya.

Akademia atau mahasiswa, jika ilmu penuh di dada sekalipun tetapi tidak mampu turun serta menyelinap ke dalam masyarakat untuk menyelesaikan masalah, berpartisipasi secara aktif serta tegas dengan sikap dan pendirian adalah akademia 'ignorance' menurut saya.

Kesedaran Golongan Muda

Terpaling sadis dalam segala hal adalah kurangnya kesedaran politik dikalangan golongan muda di negara kita hari ini. Kesedaran politik yang dimaksudkan bukanlah merujuk kepada keterlibatan dalam parti politik tetapi kepekaan terhadap isu serta permasalahan masyarakat. Apa gunanya berdemo dan memekik-mekik menghina kerajaan pemerintah tetapi isu dan masalah sebenar tidak dapat diselesaikan. Pada pendapat saya, golongan muda tidak seharusnya dikawal oleh mana-mana parti politik samada pemerintah ataupun pembangkang. Golongan muda atau generasi hari ini bertanggungjawab untuk memperbetulkan kembali kekusutun politik, sosial dan ekonomi di negara kita. Demokrasi yang tulen perlu dikembalikan 100%. Demokrasi yang sebenar bukan hanya soal pemilihan parti A atau parti B.

Sebagai golongan muda, kita harus menonjolkan sikap, kepercayaan dan pendirian yang tegas. Materialisasi sikap adalah perkara paling penting dalam fasa pertumbuhan sebagai seorang anak muda. Kita boleh ada sehingga 5 juta golongan muda, tetapi jika 5 juta tersebut semuanya tidak bersikap, tidak berani menyatakan pendapat, tidak mempunyai pandangan terhadap negara, tidak peduli dengan isu semasa serta masalah yang menjalar pada bangsa dan negaranya, maka apalah ertinya bercakap soal masa depan negara?

Pada saya, kita memerlukan ideologi aktif untuk memperbaharui dan mengubah nasib masyarakat bawahan yang sentiasa menderita. Golongan muda seharusnya punya kesedaran ini. Tidak perlu dibahaskan tentang ideologi apakah yang paling sesuai, tetapi ia seharusnya bebas dari belengu sistem, politik mahupun ekonomi yang menekan rakyat. Kita perlu berani untuk meninggalkan zon selesa serta meyelusuri perjuangan rakyat dan mengembalikan 'keindahan' hidup pada setiap golongan masyarakat hari ini mahupun generasi selepas kita. Revolusikan minda seterusnya masyarakat dan negara.

Jika ia tidak dicetuskan oleh generasi hari ini, jadi seharusnya siapa dan bila?



5 comments:

  1. couldn't agree more. we must stop blaming each other and find a solution.

    ReplyDelete
    Replies
    1. masalah utama masyarakat kita adalah cuma tahu menunding jari kemudian mensensasikan isu yang entah apa-apa tanpa berusaha berfikir dan mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan masyarakat itu sendiri. bila mahu selesai?

      Delete
  2. aman..? mungkin hanya luaran bukan sebaliknya. Bertopengkan probaganda semata....

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak akan ada damai jika kita tak berusaha ke arahnya. kerana keamanan harus direbut, bukan cuma dilaungkan.

      Delete