Tuesday, January 7, 2014

Pemberontakan Cinta Gagal


Meninggalkan tahun 2013 adalah seperti membiarkan angin petang yang menyapa muka sekali lalu dalam hidup aku. Pun begitu, bukanlah aku bermaksud untuk mengatakan bahawa segala memori telah ditinggalkan terus tanpa belas. Jujurnya, aku ini adalah lelaki yang sering gagal dalam soal berlaku kejam — membunuh kenangan.

Dalam banyak hal jatuh bangun kehidupan, terdapat perkara yang harus dilupakan dan yang tak patut dilupakan. Bercakap tentang perkara yang harus dilupakan, ia berkait rapat dengan emosi dan soal hati. Contoh yang paling dekat adalah hal berkaitan cinta. Seperti yang telah aku katakan awal tadi, aku ini adalah seorang lelaki yang gagal membunuh kenangan. Seteruk mana pun cinta itu telah merenyuk dan membenam kau ke dalam lumpur yang busuk, pada akhirnya yang kau kenang cumalah keindahan, bau wangi serta kemanisan yang pernah kau hirup suatu ketika dahulu.

Romantika ini yang mendorong kita untuk cuba sedaya upaya menelan segala kepahitan setelah kemanisan yang diteguk telah habis di pertengahan jalan. Ia telah pun berada betul-betul di kerongkong kau, mahu atau tidak kau harus menelannya. Ini adalah harga yang harus kau bayar untuk mendapatkan cinta — antara berjaya atau gagal. Mungkin bahagia cuma datang untuk ingatkan kita tentang duka yang bakal menjelma.

Dan dari situ akan muncul sebuah kemaafan. Aku tak mahu terlalu mengejar bahagia selagi aku masih bisa meraih sedikit gembira. Jangan dengki dengan kebahagiaan orang lain sebaliknya cuba jadikan ia sebagai 'motivasi' untuk kau gembira (walaubagaimanapun, aku tak pernah bercadang untuk menyaksikan bekas kekasih bersanding pada hari perkahwinannya).

Namun, ada sesetengah hal yang tak patut kita lupa dan biarkan begitu saja. Apabila menyentuh soal hak dan kemanusian, jangan anggap ia seakan barang mainan yang boleh ditolak ke sana ke mari lalu apabila sudah bosan ditinggal bersepah di atas lantai. Sebagai rakyat, kau kena sedar dan celik akan hal ini. Jangan jadi barang mainan para politikus.

Tahun baru 2014 begitu sinonim dengan 'tahun kenaikan'. Cukai, tol, harga barang, caj perkhidmatan dan lain-lain semuanya naik harga. Bagaimana pula dengan maruah dan harga diri rakyat? Hak rakyat telah diperkosa dengan rakus oleh pihak pemerintah. Atau rakyat sendiri yang rela 'mengangkang' untuk pemerintah puaskan nafsu serakah? Mungkin jawapan itu ada pada diri setiap rakyat marhaen yang semakin dihimpit oleh kos sara hidup.

Budaya protes bukan lagi baru dalam masyarakat Malaysia. Demonstrasi jalanan telah lama digunakan sebagai suatu cara desakan terhadap kuasa politik di negara kita ini. Sejarah ada mencatatkan bahawa demonstrasi jalanan secara besar-besaran telah berlaku semenjak tahun 1945 lagi iaitu zaman pra kemerdekaan Tanah Melayu. Malah tidak dapat dinafikan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu diperolehi dengan cara demonstrasi jalanan menentang penjajahan British. Antara yang paling diingati adalah demonstrasi menentang Malayan Union dan juga hari Hartal. Walaubagaimanapun, pihak pemerintah hari ini dengan yakin menegaskan bahawa demonstrasi jalanan bukanlah budaya kita dan tidak sesuai dipraktikan di negara yang tinggi dengan nilai serta adat ketimuran ini.

Beberapa tahun kebelakangan ini, budaya protes dan turun ke jalan seakan sudah meresap ke dalam liang roma dan salur darah rakyat Malaysia (walaupun tidak secara menyeluruh). Dari perihal mempertahankan individu (politikus sanjungan), mempertikaikan ketelusan sistem pilihanraya, memperjuangankan hak mahasiswa sehinggalah membela harta/tanah/warisan dan isu-isu lain. Dan yang terbaru sebagai penutup tirai 2013, rakyat sekali lagi turun ke jalan membantah kenaikan harga dan kos sara hidup. Walaupun tidak semua, namun rakyat kini dilihat sudah punya kesedaran dan semakin peka dengan isu sosial dan politik semasa. Suatu perkembangan yang membanggakan.

Telah banyak demonstrasi jalanan yang dilakukan, juga di dalam stadium. Sebagai contoh; Bersih, Hari Kebangkitan Rakyat, Blackout 505, Turun dan lain-lain. Tetapi, apa hasilnya? Bagi rejim Barisan Nasional, mereka masih ditakuk kuasa. Mengapa di Mesir, di Greece, di Tunisia, di Syria dan sekarang di Turki, ianya berjaya mengubah sesuatu? Di Malaysia, pengaruh dan semangat dari Arab Spring (terutamanya) telah sampai ke sini. Tetapi mengapa ianya tidak berjaya dan gagal mengubah apa-apa?

Sesekali, desakan secara 'kasar' harus digunakan terhadap pemerintah yang cuma tersenyum sinis melihat rakyat berteriak di jalanan. Para kapitalis langsung tidak merasa tergugat selagi mana komoditi-komoditi mereka masih terjaga dan tidak terjejas. Ini bukan hasutan ke arah keganasan tetapi, kezaliman yang berpanjangan harus ditentang dengan kekerasan. Setelah sekian lama hak rakyat diperkosa dan disepak-terajang apakah kita masih perlu 'bersopan'?

Mungkin revolusi sejati akan hanya tercetus apabila seorang demi seorang ahli keluarga kita mati kebuluran. Kita tidak betul-betul peduli akan perubahan kerana rata-rata di kalangan kita masih mendukung akan mentaliti 'asalkan boleh makan'. Mungkin ramai juga yang terdorong untuk patuh dengan konsep 'syukur' yang telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan.

Pilihanraya atas dasar demokrasi dilihat tidak lagi berfungsi secara telus. Perjuangan sebenar rakyat adalah bukan sekadar menentukan jatuh bangun kerajaan A atau kerajaan B tetapi perlu mengenepikan seluruh kekuasaan politik (kepartian) yang ada. Kekuasaan total perlu kembali pada rakyat secara menyeluruh. Yang harus berubah bukan kuasa pemerintahan tetapi keseluruhan sistem yang ada. Apa gunanya wujud sebuah negara jika rakyat masih sengsara?

Mungkin 'protes sopan' sudah tidak lagi berkesan. Hentikan sikap meminta-minta yang seakan tiada pengakhiran. Daripada terus meminta mengapa tidak merampas? Merampas kembali hak yang telah dirompak. Pun begitu, perlu diingat bahawa revolusi harus bermula dalam diri dan mentaliti kemudian merebak dari hati ke hati. Mungkin juga kita harus belajar dari cinta-cinta yang telah gagal.

"Jangan impikan hasil tuaian jika tiada benih cambahan."




notakaki :
*keamanan perlu direbut bukan sekadar dilaungkan.
*mungkin kita perlu 'berkeras' dalam sesetengah hal.
*2014 dan aku masih belum cukup romantik untuk berjaya dalam cinta (manusia). oh ya, dan juga masih belum memiliki lesen kereta.



7 comments:

  1. sudahlah kita ini fizikalnya katik, ada pula yang mahu memperkotak katikkan kehidupan. jika dibantah, gusar. takut dihalau. cantik cantik tempat orang, tempat sendiri tetap dihati.

    ReplyDelete
    Replies
    1. bak kata pepatah lama;

      "sayang isteri tinggal-tingalkan
      sayang anak tangan-tangankan"

      kerana sayangkan negara, rakyat bergerila mengangkat senjata. para pejuang terdahulu korbankan darah dan harta demi kemerdekaan. kerana kemerdekaan bukan sekadar rundingan dan perjanjian di atas kertas.

      ubah mentaliti dan cara berfikir, sudah tentu dapat mengubah nasib rakyat yang tertindas. in syaa allah.

      Delete
  2. ayuh 2014 kita lebih semangat pak lang,cinta mesti ada tunggu di belakang,kamu tak sedar mungkin kahkah

    ReplyDelete
    Replies
    1. itu cerita lama. cintaku sekarang condong pada kehijauan alam. heh.

      Delete
  3. Fokuskan cinta pada makanan, senyumlah pada kenangan. Siapa ntah mampu senyum pada kenangan. Menangislah, menangis sampai habis air mata tapi bukan dapat ubah apa apa.

    Makan aiskrim!

    ReplyDelete
  4. "Jangan impikan hasil tuaian jika tiada benih cambahan." ----sentap!
    hehehe

    ReplyDelete
  5. pak lang,dah macam esei bahasa melayu ni,hihihi.... btw, thumbs up for this!

    ReplyDelete