Wednesday, December 31, 2014

The End of 2014


Top 10 local releases in 2014:
1. ANNIHILATION TURBO KIDS 'full of shit' cassette
2. VIRGINIA ON DUTY 'curse' cassette
3. ANGKARA 'violation' cassette 
4. KILLEUR CALCULATEUR 'book of flags' LP/ cassette 
5. PEREK KASI GEREK/JALAN SEHALA split cassette
6. KEBULUR 'kewujudan' cassette 
7. PUSHER / MILISI KECOA split 7"/ cassette
8. TOOLS OF THE TRADE 'proclamation' LP
9. WWHIRR 'modern hypocrisy' LP 
10. VAULT 'war fucking war' cassette

Best 5 show in 2014:

1. DOOM live at Black Box
2. KYLESA live at Bentley
3. MUNICIPAL WASTE live at Bentley
4. CHAOS IN RUMAH API 2
5. RVIVR live at Rumah Api




source: Man Beranak

Monday, November 24, 2014

Pasca Politik Kandang


Pemberontakan para binatang merampas kembali hak dan kebebasan mereka yang selama ini  berada   di bawah   kuasa   manusia telah berjaya, dan kini kuasa kembali kepada para binatang  secara total. Setiap inci tanah ladang, setiap butir bijirin,   setiap titik susu,   setiap biji telur,   setiap helai jerami mahupun setiap sedut-hembus     udara     yang mereka nikmati kini adalah milik mereka sendiri -- bersama. Ladang ini telah menjadi Ladang Binatang!

Namun, apakah kemenangan yang diraih serta perubahan yang dilakukan telah memandu hidup mereka agar lebih baik daripada hari yang sebelumnya? Lahirnya golongan elit (para babi) di kalangan binatang - yang pada mulanya bertindak sebagai pemikir dan penyusun strategi - menyebabkan terjadinya jurang antara binatang sedikit demi sedikit.

Para babi dilihat mengambil alih kuasa dalam tampuk pemerintahan. Saling berbalah sesama sendiri dalam mengajukan cadangan atau mengutarakan sesuatu isu. Binatang yang lain (yang lebih dungu dan kurang kebijaksanaan) cuma mampu mengangguk dan menyokong mana-mana cadangan atau pendapat yang didebatkan oleh para babi sahaja. Lama-kelamaan, perbalahan di kalangan babi yang bertanggungjawab menyelaras dan menentukan halatuju Ladang Binatang semakin serius sehingga ada pertengkaran. Pencabulan hak serta penyelewengan terhadap perjanjian yang telah dipersetujui oleh semua binatang di awal pemberontakan, mula berlaku. Korupsi berleluasa dalam pentadbiran, tentunya dipelopori oleh golongan elitis. Terjadilah pengkhianatan idealisme!

Apa bezanya manusia dan binatang jika idealisme serta jatidiri sanggup dilacurkan demi kuasa dan kemewahan? Apakah kewujudun golongan elitis yang kononnya 'memerah otak' untuk kelangsungan pentadbiran, releven? Bukankah semua binatang (dan tentunya semua manusia) adalah setara. Kenapa perlu wujud jurang kaya dan miskin, atasan dan bawahan, tuan dan hamba atau apa saja terma yang membawa maksud ke arah perbedaan antara satu sama lain?

Tak ada bezanya lagi antara manusia dan binatang jika perebutan kuasa demi kepentingan peribadi (atau kroni) terus berlaku. Babi (golongan elitis) yang gila kuasa dan manusia (yang lebih ramai gilakan kuasa) kini tiada beza. Politikus/pemerintah elitis dalam dunia manusia tetap memeras hasil rakyat demi 'kelangsungan pentadbiran' kononnya, sedangkan kita manusia adalah setara dan layak mentadbir kehidupan sendiri tanpa perlu diatur atau dipaksakan ke atas setiap individu itu untuk mengikut telunjuk yang lain. Tiada tuan, tiada hamba! Dan kitaran pembodohan umat ini terus berlangsung tanpa silu dari zaman ke zaman, yang mungkin hanya akan berakhir setelah alam ini musnah secara total.

Orwell telah menggarap sebuah satira yang cukup sempurna yang mana bila dipantulkan pada dunia realiti, ia tetap terpercik ke muka kita semua biar dari zaman mana pun atau di mana jua kedudukan geografi kita. Keadilan akan muncul dari kebenaran, dan kebenaran cuma datang dari langit manakala yang bertebaran di atas muka bumi ini cumalah sebuah kepura-puraan.

Pemerintah; manusia atau babi, kedua-duanya saling meyerupai.


Animal Farm, 1945 - George Orwell.

Wednesday, October 29, 2014

Oktober Songsang


anjing dipeluk
duduk berseloroh
gegak gempita satu negara
bagai nak runtuh langit malaysia

rumah diroboh
tanah diceroboh
ramai yang cuma membuta
penguasa rakus memperkosa

Monday, October 20, 2014

Hartal


Selamat Hari Hartal 20 Oktober 2014!

Tonton dan kongsi filem "10 Tahun Sebelum Merdeka" untuk mengetahui sejarah Hari Hartal, hari perjuangan demokrasi rakyat: 

https://www.youtube.com/watch?v=4Sn3C2QTeRs





Thursday, October 16, 2014

Dalam Tatapan Tuhan


pasrah dalam amarah
redha dalam dada
termangulah ia mencari 
makna ikhlas
dan tuhan yang maha melihat
terus menatapnya

Friday, October 10, 2014

Hantu


semalam, hantu itu datang lagi. mundar-mandir di ruang tamu rumahku. kelibatnya masih seperti dulu - tersenyum dalam dingin. tiap kali ia datang - seperti tahun dan musim yang sebelumnya - aku hanya mampu menatap dan terkadang membalas senyuman. aku tahu, ia terseru kembali menghantui ruang ini untuk kesekian kalinya.

Monday, September 15, 2014

Resah II


hujan lebat di luar sana
bikin hatiku jadi basah
dan resah

Tuesday, September 9, 2014

Ada


di mana tuhan di mana-mana.
oh.
di mana hati di dalam dada.

Wednesday, June 25, 2014

Ironi


ada yang anaknya ditinggalkan
ada yang rumahnya dirobohkan
kalau cinta sudah dibuang
jangan harap keadilan akan datang

Sunday, June 1, 2014

Sanubari


telah aku leburkan kesedihan
dalam gelegak senyum-tawa mereka 
yang bahagia

Wednesday, May 28, 2014

Unexpected Happiness


And that the soul is not me, 
it is the wholly other "whisper of consciousness".



Tuesday, April 22, 2014

ucapan//peringatan


manusia yang semakin kurang siuman
alam yang kian hilang keseimbangan
tugas yang sering diabaikan
dan nyawa yang masih melekat di badan
— terima kasih tuhan



22 April, 2013
ultah ke-27

Sunday, April 20, 2014

4:20


selamat hari raya para pejuang senyum,

berbahagialah dalam ketiadaanmu.



























Friday, April 18, 2014

Busuk


adapun pada manusia itu
jika yang lebih busuk dari tahi
tidak lain tidak bukan; hatinya sendiri.

Friday, April 4, 2014

Play a record and throw away the misery


I'm determined to have a record player. 
Yes, a vinyl player.
The world that full of shit, can go to hell.

Monday, March 31, 2014

Bukan Arab


jika benar dirimu ikhlas beragama
kenapa perlu bertuhankan budaya?


Wednesday, March 19, 2014

Tenggelam


tenggelam
tenggelamlah ke dasar
kerna terapung cuma bisa
membuatmu lupa diri


Tuesday, March 11, 2014

Wujud


lihatlah;
gunung yang megah berdiri
laut yang luas terhampar
dan langit biru terbentang

kebenaran apakah yang ingin kau dustakan?


Friday, February 7, 2014

Nota Pasca Demam


saya tak reti berborak tentang sastera-sastera tinggi apatah lagi menulis atau menggarap karya-karya agung. saya tak peduli tentang kemelut politik ciptaan politikus atau lawak hambar badut-badut parti. saya juga dah tak hiraukan hal-hal cinta yang remeh-temeh. saya makan apa yang saya suka makan dan saya minum apa yang saya suka minum. saya tak kisah kalau ada entah siapa-siapa yang tak puas hati dengan saya dan asyik tunding jari dari jauh. selagi jari dia tak sentuh batang hidung saya, selagi itu saya masih mampu bertenang dan hidup aman. tapi apa-apa pun, saya tetap bencikan tirani dan korupsi. tak ada maaf buat para penindas rakyat!


Tuesday, January 21, 2014

Catatan Untuk Generasi Hari Ini (Diri Sendiri)


"I can see the bright green strip of grass beneath the wall, and the clear blue sky above the wall, and sunlight everywhere. Life is beautiful. Let the future generations cleanse it of all evil, oppression, and violence and enjoy it to the full." ~ Leon Trotsky

Petikan di atas ditulis oleh Trotsky enam bulan sebelum beliau dibunuh iaitu sekitar tahun 1940. Lebih kurang 7 dekad yang lalu dan kita kini berada di tahun 2014. Saya suka untuk mengaitkan 'the future generations' atau generasi akan datang yang dinyatakan Trotsky itu dengan kita (baca:generasi hari ini). Ya, kita semua! Tanpa mengira bangsa, agama ataupun kedudukan geografi.

Generasi Malaysia

Sebagai seorang rakyat Malaysia, sudah tentulah saya ingin fokuskan pada 'the future generations' yang ada di negara kita pada hari ini. Apakah yang generasi kita buat hari ini? Adakah generasi kita hari ini benar-benar bertindak membersihkan segala kejahatan, penindasan dan keganasan? Adakan kita benar-benar menikmati 'keindahan' hidup dengan sepenuhnya?

Baiklah, negara kita Malaysia pada pandangan kasarnya memanglah sebuah negara yang aman, damai, makmur dan harmoni. Namun di sebalik tirai keindahan itu, negara kita masih saja bergelumang dengan pelbagai kes seperti pembunuhan, rogol, rompakan, ragut, mengemis, merempat dan (mungkin) kebuluran. Kenapa hal seperti ini boleh berlaku di sebuah negara 'aman'? Jawapannya adalah, kerana kestabilan politik, sosial serta ekonomi (malah kemanusiaan mungkin) berada di tahap yang boleh dikira sebagai menyedihkan. Sebab itu masih ada rakyat yang merempat di negara sendiri. Sebab itu kes jenayah makin meningkat. Semuanya kerana desakan ekonomi serta dihimpit oleh kos sara hidup yang semakin membebankan.

Pemerintah terus-terusan menabur 'gula-gula' pada rakyat dan menggesa agar kita semua sentiasa bersyukur. Apakah kita semua benar-benar faham dengan konsep syukur? Atau kita semua telah dimanipulasikan oleh pemerintah dengan konsep syukur itu sendiri? Sedarlah wahai generasiku, jangan terlalu pentingkan diri. Mungkin kehidupan kita agak selesa dan tidak pernah berlapar namun bagaimana dengan nasib saudara-saudara yang lain yang merempat dan terpuruk di suatu sudut dalam negara kita sendiri? Jadi, apakah yang generasi kita buat hari ini?

Akademia 'Ignorance'

Negara kita hari ini mempunyai ramai cerdik pandai. Kita ada ramai profesor dan doktor. Kita ada lebih kurang 227,000 mahasiswa IPTA dan IPTS di seluruh negara. Namun adakah para ahli akademi di negara kita benar-benar berfungsi selayaknya? Atau sejumlah besar daripadanya cumalah akademia 'ignorance'?

Pada akhirnya, masalah ini berbalik pada dasar pendidikan negara yang kurang (mungkin tidak) efektif. Mahasiswa yang mempunyai sikap dan pendirian sendiri dan cuba mencari jawapan akan dituduh sebagai tidak mengenang budi, anti-nasionalis serta pelbagai lagi tuduhan liar. Contohnya seperti yang dialami oleh mahasiswa Adam Adli yang sehingga kini masih tidak dapat menyambung pengajiannya di UPSI kerana tindakan AUKU keatasnya. Saya tidak melihat dari segi aksi apa yang dia lakukan (menurunkan bendera muka PM) tetapi saya lebih suka melihat dari segi pemberontakan jiwa mudanya sebagai seorang mahasiswa yang mempunyai sikap dan pendirian sendiri (dalam lingkungan pemikirannya) dan cuba mencari jawapan. Isu 'turun bendera muka PM' cuma disensasikan oleh media kawalan pemerintah untuk menutup isu sebenar dan pelbagai lagi isu serta permasalahan rakyat.

Di mana sekian banyak profesor dan akademia kita apabila masyarakat memerlukan jawapan seperti ketirisan wang perbelanjaan negara ataupun masalah ekonomi di mana rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan kos sara hidup? Pensyarah tidak dibenarkan memberi pandangan. Pelajar lebih sadis, tidak dibenarkan bertanya. Ilmu hanya boleh didapati sehingga pagar kampus dan fakulti sahaja. Masyarakat ditinggalkan terkial-kial mencari jawapan dengan sekian banyak masalah negara, masalah ekonomi, masalah perkhidmatan, masalah kebajikan dan lain-lain. Hal kangkung? Tak perlulah kita terus memperbodohkan diri dengan isu yang sedia bodoh yang dicetuskan oleh kebodohan orang bijak yang berselindung di sebalik pangkat serta kedudukannya.

Akademia atau mahasiswa, jika ilmu penuh di dada sekalipun tetapi tidak mampu turun serta menyelinap ke dalam masyarakat untuk menyelesaikan masalah, berpartisipasi secara aktif serta tegas dengan sikap dan pendirian adalah akademia 'ignorance' menurut saya.

Kesedaran Golongan Muda

Terpaling sadis dalam segala hal adalah kurangnya kesedaran politik dikalangan golongan muda di negara kita hari ini. Kesedaran politik yang dimaksudkan bukanlah merujuk kepada keterlibatan dalam parti politik tetapi kepekaan terhadap isu serta permasalahan masyarakat. Apa gunanya berdemo dan memekik-mekik menghina kerajaan pemerintah tetapi isu dan masalah sebenar tidak dapat diselesaikan. Pada pendapat saya, golongan muda tidak seharusnya dikawal oleh mana-mana parti politik samada pemerintah ataupun pembangkang. Golongan muda atau generasi hari ini bertanggungjawab untuk memperbetulkan kembali kekusutun politik, sosial dan ekonomi di negara kita. Demokrasi yang tulen perlu dikembalikan 100%. Demokrasi yang sebenar bukan hanya soal pemilihan parti A atau parti B.

Sebagai golongan muda, kita harus menonjolkan sikap, kepercayaan dan pendirian yang tegas. Materialisasi sikap adalah perkara paling penting dalam fasa pertumbuhan sebagai seorang anak muda. Kita boleh ada sehingga 5 juta golongan muda, tetapi jika 5 juta tersebut semuanya tidak bersikap, tidak berani menyatakan pendapat, tidak mempunyai pandangan terhadap negara, tidak peduli dengan isu semasa serta masalah yang menjalar pada bangsa dan negaranya, maka apalah ertinya bercakap soal masa depan negara?

Pada saya, kita memerlukan ideologi aktif untuk memperbaharui dan mengubah nasib masyarakat bawahan yang sentiasa menderita. Golongan muda seharusnya punya kesedaran ini. Tidak perlu dibahaskan tentang ideologi apakah yang paling sesuai, tetapi ia seharusnya bebas dari belengu sistem, politik mahupun ekonomi yang menekan rakyat. Kita perlu berani untuk meninggalkan zon selesa serta meyelusuri perjuangan rakyat dan mengembalikan 'keindahan' hidup pada setiap golongan masyarakat hari ini mahupun generasi selepas kita. Revolusikan minda seterusnya masyarakat dan negara.

Jika ia tidak dicetuskan oleh generasi hari ini, jadi seharusnya siapa dan bila?



Tuesday, January 7, 2014

Pemberontakan Cinta Gagal


Meninggalkan tahun 2013 adalah seperti membiarkan angin petang yang menyapa muka sekali lalu dalam hidup aku. Pun begitu, bukanlah aku bermaksud untuk mengatakan bahawa segala memori telah ditinggalkan terus tanpa belas. Jujurnya, aku ini adalah lelaki yang sering gagal dalam soal berlaku kejam — membunuh kenangan.

Dalam banyak hal jatuh bangun kehidupan, terdapat perkara yang harus dilupakan dan yang tak patut dilupakan. Bercakap tentang perkara yang harus dilupakan, ia berkait rapat dengan emosi dan soal hati. Contoh yang paling dekat adalah hal berkaitan cinta. Seperti yang telah aku katakan awal tadi, aku ini adalah seorang lelaki yang gagal membunuh kenangan. Seteruk mana pun cinta itu telah merenyuk dan membenam kau ke dalam lumpur yang busuk, pada akhirnya yang kau kenang cumalah keindahan, bau wangi serta kemanisan yang pernah kau hirup suatu ketika dahulu.

Romantika ini yang mendorong kita untuk cuba sedaya upaya menelan segala kepahitan setelah kemanisan yang diteguk telah habis di pertengahan jalan. Ia telah pun berada betul-betul di kerongkong kau, mahu atau tidak kau harus menelannya. Ini adalah harga yang harus kau bayar untuk mendapatkan cinta — antara berjaya atau gagal. Mungkin bahagia cuma datang untuk ingatkan kita tentang duka yang bakal menjelma.

Dan dari situ akan muncul sebuah kemaafan. Aku tak mahu terlalu mengejar bahagia selagi aku masih bisa meraih sedikit gembira. Jangan dengki dengan kebahagiaan orang lain sebaliknya cuba jadikan ia sebagai 'motivasi' untuk kau gembira (walaubagaimanapun, aku tak pernah bercadang untuk menyaksikan bekas kekasih bersanding pada hari perkahwinannya).

Namun, ada sesetengah hal yang tak patut kita lupa dan biarkan begitu saja. Apabila menyentuh soal hak dan kemanusian, jangan anggap ia seakan barang mainan yang boleh ditolak ke sana ke mari lalu apabila sudah bosan ditinggal bersepah di atas lantai. Sebagai rakyat, kau kena sedar dan celik akan hal ini. Jangan jadi barang mainan para politikus.

Tahun baru 2014 begitu sinonim dengan 'tahun kenaikan'. Cukai, tol, harga barang, caj perkhidmatan dan lain-lain semuanya naik harga. Bagaimana pula dengan maruah dan harga diri rakyat? Hak rakyat telah diperkosa dengan rakus oleh pihak pemerintah. Atau rakyat sendiri yang rela 'mengangkang' untuk pemerintah puaskan nafsu serakah? Mungkin jawapan itu ada pada diri setiap rakyat marhaen yang semakin dihimpit oleh kos sara hidup.

Budaya protes bukan lagi baru dalam masyarakat Malaysia. Demonstrasi jalanan telah lama digunakan sebagai suatu cara desakan terhadap kuasa politik di negara kita ini. Sejarah ada mencatatkan bahawa demonstrasi jalanan secara besar-besaran telah berlaku semenjak tahun 1945 lagi iaitu zaman pra kemerdekaan Tanah Melayu. Malah tidak dapat dinafikan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu diperolehi dengan cara demonstrasi jalanan menentang penjajahan British. Antara yang paling diingati adalah demonstrasi menentang Malayan Union dan juga hari Hartal. Walaubagaimanapun, pihak pemerintah hari ini dengan yakin menegaskan bahawa demonstrasi jalanan bukanlah budaya kita dan tidak sesuai dipraktikan di negara yang tinggi dengan nilai serta adat ketimuran ini.

Beberapa tahun kebelakangan ini, budaya protes dan turun ke jalan seakan sudah meresap ke dalam liang roma dan salur darah rakyat Malaysia (walaupun tidak secara menyeluruh). Dari perihal mempertahankan individu (politikus sanjungan), mempertikaikan ketelusan sistem pilihanraya, memperjuangankan hak mahasiswa sehinggalah membela harta/tanah/warisan dan isu-isu lain. Dan yang terbaru sebagai penutup tirai 2013, rakyat sekali lagi turun ke jalan membantah kenaikan harga dan kos sara hidup. Walaupun tidak semua, namun rakyat kini dilihat sudah punya kesedaran dan semakin peka dengan isu sosial dan politik semasa. Suatu perkembangan yang membanggakan.

Telah banyak demonstrasi jalanan yang dilakukan, juga di dalam stadium. Sebagai contoh; Bersih, Hari Kebangkitan Rakyat, Blackout 505, Turun dan lain-lain. Tetapi, apa hasilnya? Bagi rejim Barisan Nasional, mereka masih ditakuk kuasa. Mengapa di Mesir, di Greece, di Tunisia, di Syria dan sekarang di Turki, ianya berjaya mengubah sesuatu? Di Malaysia, pengaruh dan semangat dari Arab Spring (terutamanya) telah sampai ke sini. Tetapi mengapa ianya tidak berjaya dan gagal mengubah apa-apa?

Sesekali, desakan secara 'kasar' harus digunakan terhadap pemerintah yang cuma tersenyum sinis melihat rakyat berteriak di jalanan. Para kapitalis langsung tidak merasa tergugat selagi mana komoditi-komoditi mereka masih terjaga dan tidak terjejas. Ini bukan hasutan ke arah keganasan tetapi, kezaliman yang berpanjangan harus ditentang dengan kekerasan. Setelah sekian lama hak rakyat diperkosa dan disepak-terajang apakah kita masih perlu 'bersopan'?

Mungkin revolusi sejati akan hanya tercetus apabila seorang demi seorang ahli keluarga kita mati kebuluran. Kita tidak betul-betul peduli akan perubahan kerana rata-rata di kalangan kita masih mendukung akan mentaliti 'asalkan boleh makan'. Mungkin ramai juga yang terdorong untuk patuh dengan konsep 'syukur' yang telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan.

Pilihanraya atas dasar demokrasi dilihat tidak lagi berfungsi secara telus. Perjuangan sebenar rakyat adalah bukan sekadar menentukan jatuh bangun kerajaan A atau kerajaan B tetapi perlu mengenepikan seluruh kekuasaan politik (kepartian) yang ada. Kekuasaan total perlu kembali pada rakyat secara menyeluruh. Yang harus berubah bukan kuasa pemerintahan tetapi keseluruhan sistem yang ada. Apa gunanya wujud sebuah negara jika rakyat masih sengsara?

Mungkin 'protes sopan' sudah tidak lagi berkesan. Hentikan sikap meminta-minta yang seakan tiada pengakhiran. Daripada terus meminta mengapa tidak merampas? Merampas kembali hak yang telah dirompak. Pun begitu, perlu diingat bahawa revolusi harus bermula dalam diri dan mentaliti kemudian merebak dari hati ke hati. Mungkin juga kita harus belajar dari cinta-cinta yang telah gagal.

"Jangan impikan hasil tuaian jika tiada benih cambahan."




notakaki :
*keamanan perlu direbut bukan sekadar dilaungkan.
*mungkin kita perlu 'berkeras' dalam sesetengah hal.
*2014 dan aku masih belum cukup romantik untuk berjaya dalam cinta (manusia). oh ya, dan juga masih belum memiliki lesen kereta.