Punk
Rock. Entah apa yang berlegar dalam kepala setiap orang apabila mendengar
perkataan atau ‘terma’ ini. Aku tidak tahu apa yang mereka fikirkan tentang
punk rock dan agak sukar bagi aku untuk menjelaskan kepada semua apa itu punk
rock mengikut kefahaman aku. Bagi aku, punk rock itu sendiri terlalu abstrak.
Terlahir ia dari suatu sudut yang paling jauh dalam ruang hati manusia. Aku
anggap, setiap manusia yang ada rasa cinta dan menolak segala jenis
diskriminasi serta menentang ketidakadilan, dia bisa jadi punk rock. Aku
sendiri tidak mahu meletakan suatu label khusus terhadap diri sendiri bahawa
aku adalah punk rocker atau apa. Punk rock itu tidak bersifat eksklusif, ia
milik semua. Yang pastinya, ia bukan sekadar muzik atau fesyen semata. Dan aku
sangat menyintai punk rock.
Setiap
orang ada sejarah dan kisah percintaan masing-masing. Begitu juga aku,
bagaimana aku jatuh cinta dengan punk rock itu, ada kisahnya. Sejak kecil,
sewaktu zaman sekolah rendah lagi aku sudah terdedah dengan musik. Sekitar
90’an waktu itu, musik rock kapak terngiang-ngiang di telingaku. Ia datang dari
bilik seorang sepupu lelaki sepuluh tahun lebih tua dari aku yang gilakan
lagu-lagu dari kumpulan Sofea, Sweet Charity, Lefthanded, Search, Wings
(sekadar menyebut beberapa nama). Aku
belum tahu apa-apa tentang musik ketika itu. Aku cuma mengagumi alunan gitar
karan, ketukan drum dan vokal yang lantang penuh semangat. Bagi aku, ini sangat
rock! Melihat poster-poster di bilik sepupu aku ketika itu sudah cukup buat aku
melopong. Rock bukan main.
Selepas
itu, aku mula didedahkan dengan kumpulan musik dari luar seperti Iron Maiden, Dio,
ACDC, Led Zepplin, Gun ‘N’ Roses, Scorpian (sekadar menyebut beberapa nama).
Ini sangat hebat, aku rasa. Hinggalah pada suatu hari, aku terdengar dia
memasang lagu yang rentaknya agak laju dan keras berbanding biasa. Alunan gitar
yang lebih berat manakala ketukan drum pula lebih pantas. Vokal juga kasar dan
keras. Aku lihat kaver dalam kotak kaset yang dia pasang itu tertera tulisan ‘Kreator’. Ah, ini band apa pula? Sepupu aku cakap, band
Kreator main musik thrash metal. Aku cuma mengiakan saja, kerana aku
tidak tahu apa-apa. Bagi aku, waktu itu semuanya rock. Rock bukan main.
Menjejak
kaki ke sekolah menengah membuatkan aku bertemu dengan lebih ramai rakan yang
punya sama minat iaitu ; musik. Ketika ini, aku mengenal musik alternative. Aku
mula mendengar irama grunge. Kebanyakan budak sekolah menengah waktu itu
‘bermazhabkan’ Nirvana, sebuah band lagenda grunge yang boleh dianggap mainstream.
Lama-kelamaan, aku mula sedar yang Nirvana bukanlah ‘dewa’ tetapi ia cuma salah
satu serpihan dari berpuluh-puluh atau beratus-ratus atau mungkin beribu-ribu
band grunge yang lain. Ok, tidak perlu bercerita panjang lebar tentang
ini rasanya, kerana perjalanan cerita ini masih panjang. Cukup untuk mengetahui
bahawa, grunge itu suatu musik yang kotor dan penuh dengan luahan hati
terhadap dunia yang tidak selalunya indah.
Aku
juga mula terdedah dengan musik metal. Sekitar tahun 2000, isu black
metal telah hangat diperkatakan di media massa. Aku tidak ketinggalan untuk
mengetahuinya dengan lebih lanjut. Dan pada akhirnya, aku sedar bahawa tivi serta
akhbar di Malaysia terlalu banyak berfiksyen dalam menyampaikan berita. Cerita
orang membakar dan memijak Quran itu dongeng semata. Dari apa yang aku lihat,
budak-budak yang mengaku diri mereka sebagai budak metal atau black
metal ini sebenarnya sama saja dengan ‘manusia biasa’. Cuma pakaian serba
hitam itu sudah menjadi trend dan kebiasaan. Tidak perlu menghukum orang dengan
hanya memandang pada pakaian dan tidak perlu menyamakan keaadaan di barat
dengan situasi di sini. Aku rasa, ‘gereja syaitan’ tidak wujud di sini
(betulkan aku jika aku salah). Oh ya, dan aku kurang mengerti mengapa ada yang
menganggap band Silkhannaz itu black metal? Bagi aku, mereka adalah band
metal yang kreatif dan sentiasa bereksperimentasi dalam bermusik kerana
kebanyakan lagu-lagu mereka selalu sahaja berubah dari segi konsep dan rentak.
Maafkan aku jika aku salah, kerana aku kurang arif dalam scene dan
perihal metal ini.
Hubungan
aku dengan scene underground kian berputik dan semakin hari semakin
mekar. Aku mula mengenal apa itu zine. Sejenis bahan bacaan yang dibuat
sendiri-sendiri, difotokopi, dijual dengan harga yang sangat murah, atau
diedarkan secara percuma. Aku cuma menumpang baca zine-zine kepunyaan
rakan. Ada zine bertemakan grunge, metal, skinhead dan punk/hardcore. Aku
mula tahu tentang apa itu sub-budaya,
apa tujuan bermusik dan kenapa terhasilnya sub-budaya ini. Ketika itu, aku
sedar bahawa musik bukan untuk dilacurkan. Aku mula tertarik dengan idea-idea punk/hardcore
yang tegas, berani dan lantang menyuarakan ketidakpuasan hati serta menolak
segala jenis diskriminasi. Aku sudah lupa apakah zine yang aku mula-mula
baca. Namun, ia seakan memberi suatu nafas baru dalam hidup aku. Aku terus
meneroka tentang band-band underground dan D.I.Y (do it youself)
tempatan dan sekali-sekala hadir ke gig. Aku juga sudah mula berjinak-jinak
dengan skateboard. Bagi aku, papan selaju dan punk rock itu tidak dapat
dipisahkan. Entah kenapa, tapi bagi aku bermain papan selaju dan mendengar
musik laju adalah sangat ‘ngam’. Memang ada suatu perkaitan yang sangat
istimewa di situ. Sayangnya, kebolehan aku dalam bermain papan selaju tidaklah
begitu menyerlah. Mungkin kerana aku terlalu awal berhenti setelah tamat zaman
persekolahan.
Walaubagaimanapun,
hubungan antara aku dan punk rock semakin hari semakin erat. Semasa di IPTA,
aku berjumpa dan bergaul dengan lebih ramai rakan yang punya sama minat walaupun
kadang-kadang berbeza idologi. Namun kebanyakannya memperjuangkan idea-idea
berani dan bebas dari segala bentuk diskriminasi. Jujurnya, jaringan internet
juga banyak membantu aku dalam berhubung dan berkongsi idea dengan rakan-rakan
lain secara dua hala. Kalau dengan membaca zine, ia cuma memberi info secara
satu hala. Dengan kemudahan internet yang ada, aku kenal dengan rakan-rakan dari
kalangan penulis dan editor zine, pemilik distro dan juga mereka-mereka yang
punya band sendiri. Idea dan pendapat yang dikongsi bersama semakin luas. Aku
sudah ada minat baru iaitu mengumpul zine dan stuff D.I.Y punk/hardcore
yang terdiri daripada kaset, CD mahupun piring hitam. Bukan sekadar mengumpul
tapi membaca, mendengar dan mengambil pakai idea-idea yang berguna daripadanya.
Kebanyakan band-band punk/hardcore mengambil berat tentang lirik dan
mesej yang hendak disampaikan, bukan sekadar bermain musik bising. Setiap
rilisan akan disertakan lirik dan penerangan. Aku suka membaca lirik dan
penerangan itu, pelbagai idea dan isu diketengahkan.
Antara
distro atau label rekod yang aku sering dan masih berhubung hingga ke hari ini
adalah ; Bullwhip Records, Bebal Mailoder, Green Peace Distro, Pissart Records,
Nervous Records, Cactus Records (sekadar menyebut beberapa nama). Segala urusan
memesan stuff kebanyakannya melalui pos. Jarang ada masalah sepanjang berurusan
kerana dalam punk/hardcore, kami memegang prinsip ‘jujur’ dan
mengamalkan semangat setiakawan yang tinggi. Tidak dinafikan, masih ada isu
‘rip-off’ yang timbul dalam scene punk/hardcore ini. Kita semua manusia
biasa yang punya sifat mazmumah serta tidak dapat mengelak dari
melakukan kesilapan. Tetapi yang punya kesedaran, belajar dan berubah. Antara zine-zine
yang aku baca dan menjadi koleksi peribadi pula adalah seperti Mosh Zine, Bebal
Zine, Masked Reader Zine, Nothing Else Zine, Altar! zine, TSAB, Adaptation, Small
Man, Shock And Awe! zine (sekadar menyebut beberapa nama). Ada juga zine-zine
dari luar negara yang dibawa masuk. Aku mengenali zine berasaskan sastera juga
adalah melalui punk rock. Kesimpulannya; punk rock menjadikan aku seorang yang
suka membaca.
Gig,
sebuah acara yang dikelola secara D.I.Y tanpa kebergantungan terhadap penganjur
yang berkiblatkan kapitalisma adalah suatu acara yang mengumpulkan sejumlah
band tempatan atau band dari luar untuk membuat persembahan ; merupakan medium utama dalam menyampaikan idea-idea punk
rock secara terus dari muka ke muka. Ia juga menjadi tempat untuk komrad bertemu
empat mata atau lebih, berbincang dan beramah mesra. Selain untuk menonton
band-band yang terdiri daripada pelbagai jenis genre beraksi, aku kerap ke
acara ini untuk membeli stuff dan bertemu rakan-rakan lama ataupun baru.
Hubungan yang terhasil dirasakan sangat bermakna tambahan pula baru pertama
kali bertemu dengan rakan yang sudah bertahun-tahun kenal melalui telefon atau
alamaya tetapi belum pernah bersua muka. Bagi aku, gig adalah suatu medium yang
boleh mengeratkan silaturahim tanpa mengira idologi, fahaman agama mahupun
bangsa. Dan sikap yang paling penting ketika di gig adalah menolak diskriminasi
genre. Walaupun aku lebih cenderung ke arah musik grindcore, tetapi aku
beranggapan bahawa; genre itu cuma membezakan ‘bunyi’ musik dan idea yang
dibawa pula adalah menjadi tunjang utama. Aku dengar segala jenis musik selagi
ia bebas dari unsur-unsur diskriminasi. Ya, musik bukan untuk dilacurkan.
Punk
rock banyak mengajar aku erti hidup. Ia adalah suatu budaya yang mendisplinkan
diri seseorang. Maksud aku, apabila kau sudah menerima dan mempraktikan
idea-idea punk rock maka kau akan cuba seboleh-bolehnya untuk tidak menjadi
hipokrit. Hipokrit adalah apabila, kau lantang berkata yang rasis itu bangang
tapi dalam masa yang sama kau memandang rendah dan menafikan hak bangsa lain. Atau
pun menjadi punk tetapi homofobik. Ini cuma beberapa contoh. Punk rock
boleh diumpamakan sebagai suatu nilai murni jika kita betul-betul memahaminya.
Bagi aku, punk rock itu releven untuk seorang muslim atau apa saja anutan
agamanya. Punk rock tidak pernah membezakan sesiapa. Dan hal agama pula adalah
menjadi tanggungjawab individu itu sendiri untuk menjaganya.
Dengan
punk rock, aku mengenal erti kasih sayang. Kasih sayang yang lebih luas
konsepnya. Punk rock mengajar aku untuk melayan manusia tanpa rasa
prejudis dan tidak mengira jantina. Punk
rock menyarankan hak kesamarataan gender. Lelaki atau perempuan, kita semua
manusia. Dan kita semua tahu, perempuan secara lahiriahnya lebih lemah
berbanding lelaki maka kaum lelaki seharusnya lebih peka dan bertanggungjawab
dalam membela nasib perempuan, bukannya menghina atau menindas mereka. Lelaki
yang menindas perempuan adalah dayus dan keji. Begitu juga dengan perempuan,
haruslah bertolak ansur kerana kita tahu setiap masalah ada jalan
penyelesaiannya. Selain manusia, kita juga perlu menyayangi binatang dan alam
sekitar. Semua yang berada di atas muka bumi ini sebenarnya saling
bergantungan. Buang segala rasa prejudis dan hidupilah kehidupan dengan rasa
aman.
Boleh
saja aku katakan, punk rock itu sendiri adalah tentang kasih sayang. Peperangan
adalah sia-sia. Pemerintah fasis dan zalim harus ditentang. Korupsi harus
dihapuskan. Yang pastinya, semua ini berakarkan sistem kapitalis. Seharusnya,
seluruh dunia perlu menolak kapitalisma. Memang diakui, dunia kini sudah
dirantai oleh sistem kapitalis. Yang berkuasa makin bertambah kaya dan yang
lemah ditindas dan makin melarat. Hidup kita seharian tidak bisa lepas dari bayang-bayang
kapitalis, namun sekurang-kurangnya kita boleh meminimakan kebergantungan
terhadap sistem ini. Mencintai punk rock sebenarnya menjadikan seseorang itu
pencinta. Cinta yang lebih luas definisinya.
Cinta
aku terhadap punk rock tidak pernah luput atau berkurang. Cara berpakaian mungkin
akan berubah. Umur pula akan semakin tua namun idea dan prinsipnya akan terus
mekar di dalam hati. Kepada bakal isteri, janganlah kamu risau tentang cinta
yang akan aku berikan. Andai kata ada cinta lain di hati aku selain kamu, ia hanyalah
punk rock. Punk cinta damai.
*Artikal ini adalah ringkasan tentang bagaimana penulis jatuh cinta dengan musik dan into scene punk/hardcore. Ditulis secara santai sambil mengimbau kenangan lalu. Memori minda manusia kadang terbatas, andai terdapat kesalahan fakta dan percanggahan pendapat adalah tidak disengajakan. Selain itu, tulisan ini juga berdasarkan pengalaman dan pendapat peribadi penulis. Jangan terlalu mempercayainya, percayalah pada diri dan jadi diri sendiri.