Wednesday, February 27, 2013

Sepatumu dan Dunia yang Akan Datang


melihat ketakutan yang melampaui
empat ribu lima ratus juta tahun

kuku terkopak
rambut berguguran dari kulit kepala
penglihatan menyempit perlahan-lahan
pada siapa kita serahkan tanggungjawab

keadilan terkadang
menjadi dosa yang belum langsai
yang terkesan dan tertinggal cuma
kebahagiaan juga penyesalan
  dengan senjata mereka menuntut dan membina

lengan-lengan yang terhunus mula kelelahan
mengoles kuas bertinta hitam ke dinding putih
mahu hasil mural yang mempersona
sejenak menghela nafas lalu fikiranku runtuh
  terbakar panas rasa tertipu

luntur...luntur...luntur
dan di antara yang melutut berkata;

andai punya kesalahan lantas menjadi laki-laki terbuang, ke mana perginya ilham dan harapan masa lalu? tanggungjawab menerawang di sekitar kemudian karam dalam kelalaian, bergeser tatapan nan lembut. didedikasikan untuk sepatumu dan dunia yang akan datang.

Wednesday, February 6, 2013

Kola


kami mahukan perubahan serta demokrasi yang sebenar
bukan cuma memilih di antara pepsi dan coke!

begitu susunan aksara yang membentuk sepotong ayat, dioles dengan berus dan cat di atas sekeping papan lapis menjadikannya sebuah sepanduk; kini dipegang oleh seorang pemuda. pemuda yang potongan rambutnya beralun ke paras pangkal leher itu berdiri tegak di celah-celah ribuan demonstran yang turun ke jalan. dan ketika yang lain sibuk melaungkan kata protes serta menyuarakan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada kemudian menggantikan dengan kerajaan baru, pemuda tadi masih berdiri di situ. berdiri dengan sepanduk di tangannya.

tiba-tiba, kelihatan seorang lelaki separuh abad datang menghampiri pemuda itu kemudian menyeluruhinya dari atas ke bawah beberapa kali. si pemuda cuma tersenyum dan masih berdiri, memegang sepanduk.

--apa yang kau sedang lakukan ini anak muda? dan apa maksud kata-kata di sepandukmu itu?

--saya sedang berdiri sambil memegang sepanduk. oh ya, mari ikut saya kita ke kedai serbaneka di hujung sana.

lelaki separuh abad itu mengangguk lantas mengekori si pemuda dari belakang. sampai di kedai serbaneka, si pemuda menyuruh lelaki separuh abad tadi menunggunya di luar sementara dia masuk ke dalam. beberapa waktu kemudian, si pemuda keluar dari kedai serbaneka dengan membawa dua tin minuman; pepsi dan coke. dihulurkan kedua-duanya pada lelaki separuh abad yang sedang menunggu.

--buka dan minum kedua-duanya sekarang, kemudian beritahu saya tentang rasa. maksud saya, rasa asas kedua-dua air dari tin pepsi dan juga tin coke.

lelaki separuh abad itu merenung si pemuda sejenak, sebelum minum beberapa teguk pepsi dan coke. kepalanya masih ditujah dengan seribu tanda tanya.

--tiada apa yang luar biasa, cuma rasa kola yang sama.

--sepanjang hidup, adakah anda pernah mempersoalkan keseluruhan sistem perwakilan politik? siapa yang mewakili anda? yang mewakili komuniti anda? bolehkah kita benar-benar mempercayai ahli politik sebagai wakil? adakah anda benar-benar diwakili?

lelaki separuh abad itu tersentak apabila mendengar persoalan yang ditimbulkan oleh si pemuda. bertalu-talu menghentam koklea telinganya. tanpa menunggu jawaban, si pemuda menyambung bicara;

--yang cuba saya sampaikan adalah, kita bukan mahu memperbanyakan pilihan yang sedia ada tapi mahu hak dan kuasa rakyat turut serta dalam proses membuat keputusan serta menentukan apa yang diperlukan, bukan hanya memilih wakil dan parti yang memerintah. ini demokrasi sebenar, menurut saya.

si pemuda menghulurkan dua keping not kertas seringgit buat beli sebotol air mineral katanya, kemudian mencapai kedua-dua tin minuman yang berada di tangan lelaki separuh abad itu lantas membuangnya ke dalam tong sampah. dia mula menapak meninggalkan lelaki separuh abad itu yang kelihatanya seolah-olah baru terkena renjatan elektrik.

--oh ya, minuman berkarbonat tidak bagus untuk kesihatan.






Thursday, January 31, 2013

Maaf


terbangku ke sana
dengan hati yang telah hilang ke mana mana
maaf
tiada senyum mahupun puisi indah buatmu, miri



miri
25 - 28 januari, 2013


Friday, January 18, 2013

Renounce Me


I’m all black and white inside
Monotonous from  left to right
Finding  tranquility  in chaos
                              
Define love in denial
Breathe  in  death 
Hypocrisy is ourself



Thursday, January 10, 2013

Demonstran Dari Langit



Awak tak perlu berlari begini Jack.” Laung Ricardo kepada Jack yang sedang berlari melintasinya. Laungan yang berbaur nasihat itu telah menghentikan larian Jack dan dia menoleh ke belakang memandang Ricardo. Dilihatnya lelaki berkumis dan berjanggut lebat itu memakai pakaian serba hitam siap dengan hooded. Jack membatu di situ, menunggu Ricardo menghampirinya.
Ricardo nampak tenang walaupun seratus meter di belakangnya terdapat pasukan anti-rusuhan yang sedang mara sambil melepaskan gas pemedih mata. “Kita tidak akan menang dan tetap akan ditindas jika terus berlari begini. Face it, and we bring back the power of the people!” Ricardo bersuara tegas. Jack nampak gelisah antara mahu berlari atau tidak. “Tapi aku harus berlari terus untuk mendapatkan kemenangan. Aku sedang…..” Jack cuba memberi penjelasan tetapi dihentikan oleh Ricardo yang lantas memeluknya erat.
Ricardo cuba menenangkan Jack dengan mengisahkan suatu rahsia yang telah membangkitkan seluruh keberanian dalam dirinya. Katanya, beberapa detik lagi terdapat segerombolan demonstran dari langit akan turun membantu rakyat menyekat kemaraan pasukan anti-rusuhan. Gerombolan itu lengkap berkuda dan membawa panji-panji hitam. Dan gerombolan itulah bertanggungjawab untuk memimpin para demonstran yang kental di jalanan melawan kuasa pemerintah korup. Ketika itu, kuasa akan kembali ke tangan rakyat secara total. Langit kelihatan mendung dan suram. Sesekali ada dentuman guruh kedengaran. Ricardo mendongak ke langit seolah-olah memberi petunjuk bahawa sebentar lagi akan muncul gerombolan demonstran di sebalik awan mendung itu. Demonstran dari langit!
Awak ada rokok?” Tanya Jack sambil menghulurkan tangan. Ricardo menyeluk saku mengeluarkan kotak rokok lalu menghulurkan kepada Jack. Jack ambil sebatang dan selipkan ke bibir. Ricardo bantu menyulutkan api. Asap berkepul-kepul naik, bersatu dengan gas pemedih mata. Selepas tiga sedutan, Jack padamkan puntung rokok itu. Ke dahi Ricardo.
Ricardo cuma memandang nombor 133 yang tertera pada cebisan kain yang melekat di tengah belakang singlet Jack. Sementara Jack pula semakin jauh meninggalkan Ricardo di belakang. Dia harus selesaikan lariannya. Menyesal juga dia berhenti kencing tadi. Pelari marathon yang lain entah sudah sampai ke mana. Dia pula tersesat jalan dan terperangkap dalam rusuhan. Dan seorang bekas rakan sekelas.