Thursday, August 9, 2012

Setem?

aku tak tahu macam mana aku boleh sukakan dia.kau tahu bukan, rasa begitu memang misteri. bukan misteri nusantara saja yang misteri. sesungguhnya soal hati itu lebih misteri berbanding hal-hal yang lain. contohnya, kau sangat suka mengumpul setem dan  kau jadikannya sebagai hobi utama kau. kau kumpul pelbagai jenis setem, kau simpan banyak album setem. tanpa kau sedar, orang lain fikir kau ini pelik sebab suka pada secebis kertas kecil bergambar dengan nilai-nilai tertentu tertera di atasnya. jilat, lekat dan pos sudah lah, buat apa mahu simpan. tapi orang tak faham, rasa suka itu lahir dari hati sanubari kau. kau menyukainya dengan cara kau sendiri, bukan perasaan yang dibuat-buat. itulah misteri hati yang sukar difahami. kalau dah suka, tiada apa lagi yang perlu dipertikaikan. begitu juga aku.

dia mungkin sukakan aku, tapi dia cakap dia takut untuk meraikan kebahagiaan itu. katanya, kebahagiaan dan cinta bersifat sementara. aku setuju. tapi aku cakap, dalam hidup ini memang tiada apa yang kekal kecuali tuhan. sedangkan hidup juga sementara maka tidak adillah jika kita takut untuk hidup. saat tuhan tiupkan roh ke dalam jasad kita, bermakna kita sudah bersedia menghadapi apa jua risiko untuk melangkah dalam hidup. bagi aku, merai rasa bahagia itu perlu selagi kita punya peluang untuk merasakannya. apa yang terjadi di hadapan itu kerja tuhan. rayakan hidup seadanya asalkan kita tidak lupa diri. aku ini bukanlah seorang pujangga agung yang handal bermain kata, apa yang tersurat sama saja dengan yang tersirat walaupun yang tersirat itu kadang-kadang agak sukar difahami.

makanya, hadap saja kehidupan ini seperti kita menarik nafas. selagi jantung berdenyut, bernafaslah dengan cara apa pun. soal udara yang tercemar itu salah manusia sendiri. tarik nafas dalam-dalam, buka mata dan senyum. redah saja apa yang ada di hadapan. masa depan itu sesuatu yang belum jelas, biarkan tuhan dengan kerjanya. sekarang aku mahu bakar sebatang nikotin.

“ kita semua adalah punk rock.”

Tuesday, July 31, 2012

Julai : bulan yang menggaulkan segala rasa

hari ini adalah hari yang ke tiga puluh satu
hari yang terakhir dalam bulan julai
bulan yang diwakili angka tujuh
juga mewakili angka kegemaranku
kurasakan bulan ini suatu bulan yang panjang
penuh dengan mozaik yang saling bercantum
di atas setiap satunya punya memori yang tertancap
penuh momen di dalamnya
julai buat aku mengingati tuhan
serta kenal diri sendiri
julai mempertemukan aku dengan persahabatan
serta menyuburkan lagi erti setiakawan
julai yang berselirat dengan kasih sayang

ada cinta di dalam julai
julai telah menggaulkan segala rasa yang ada
sebati di dalam suatu bekas kehidupan


aku hirup perlahan-lahan aromanya hingga penuh ruang dadaku

Monday, July 30, 2012

Erti Bahagia

dua hari satu malam di ipoh gua rasakan penuh makna. dikelilingi kawan-kawan memang buat kita rasa bahagia. berbuka puasa sama-sama, makan kek di rumah tok ketua, merewang di gerbang malam, penjaga kunci bilik yang buat magik lesapkan kunci lepas tu ada semula, usyar kupu-kupu malam, jari tengah dari mat rempit, bermuzakarah sambil makan satay di padang polo, main bunga api, bersahur di mekdi, janji ke loken yang tidak dapat dipenuhi gara-gara dipukau oleh penjaga kaunter hotel yang tak puas hati dengan hal kunci, pertama kali menjejak kaki ke ipoh parade, membeli buku murah di novel hut hinggalah dihantar ke stesen bas medan gopeng; semuanya terakam sebagai momen-momen yang indah. 

sedih juga mahu berpisah di stesen bas, tapi memandangkan gua memang rock sejak kecil lagi maka tak ada lah drama-drama yang mengalirkan air mata terjadi. namun jauh di sudut hati sanubari rocker gua, ada secalit rasa terharu dan sedih mahu meninggalkan kawan-kawan. gua tarik nafas dalam-dalam saja, nak tarik asap rokok tak boleh, tengah berpuasa di bulan ramadhan.

kalau orang tanya apa yang gua dapat dua hari di ipoh maka dengan konfiden gua akan jawab; "kebahagiaan dan juga plywood."

Wednesday, July 11, 2012

Aku Makhluk Kecil

5:45 pagi ini aku berdiri, di kaki lima
Puduraya yang telah banyak berubah kini.

Ramai manusia lalu lalang,
melintas umpama angin subuh pagi itu.

Aku yang terpacak di depan Anuja,
menghayati subuh kota lumpur yang mulai digasak karbon monoksida.

Dalam ramai itu aku rasakan diriku bukan
siapa-siapa, kerdil dan terasing ; aku makhluk kecil.

Bagaimana bisa ada manusia yang sanggup berkata;
dunia ini mereka yang punya?

Waktu ini cuma sama yang ternampakan;
tiada bedanya aku, kau atau dia.

Masih sama berdiri di atas ibunda alam yang sama,
menghirup udaranya yang sama walaupun berbeda.

Kita manusia memang selalu lupa;
lupa akan Sang Pencipta.

Subuh ini, aku masih berdiri di kaki lima Puduraya,
melupai Dia yang tak pernah meninggalkan aku.

Seruan suci berkumandang
memanggil manusia menghadapNya.

Mungkin segelas teh tarik dahulu,
bersama melodi ‘sweet child o mind’ dari tiga pemuda.

Nanti aku ke sana, Tuhan.


Puduraya
7 Julai, 2012

Monday, June 11, 2012

Stimulasi atau Metamorfosis

panas betul tengahari ni. tekak rasa kering, perut rasa lapar benar. kelopak mata pula rasa berat semacam ada beban yang menekannya turun. menunggang motosikal dalam kondisi ini boleh mengundang kecelakaan. aku buat brek kecemasan apabila melintas di depan kedai mamak. kurang dari tiga puluh seken, aku sudah berada dalam kedai mamak tersebut.

tanpa berlengah, aku menuju ke bahagian nasi dan lauk. astaga! ramai sangat pelanggan sedang beratur. barisan yang terhasil melimpah keluar dari dalam kedai sampai ke blok bangunan bersebelahan dan kini aku berada paling belakang dalam barisan. benar kata orang, penantian adalah suatu penyiksaan. aku sempat tumbuk dinding tanda protes sebelum pandangan jadi gelap secara total.

sedar-sedar, aku nampak kedai mamak itu lengang. ah, ini situasi yang jarang terjadi di sebuah kedai mamak. mana pergi semua pelanggan? keadaan kedai juga nampak berselerak dan agak huru-hara. seorang mamak datang memberi penjelasan. dia cakap, tadi aku pengsan sebelum berstimulasi menjadi makhluk yang besar berwarna biru turkois. seorang lagi mamak datang mencelah dan cuba membetulkan penjelasan kawannya. dia cakap, tadi aku bermetamorfosis menjadi hulk versi biru turkois dan makan semua pelanggan yang sedang beratur. yasmeen arau jadi kecoh gara-gara aku, katanya.

aku tarik nafas dalam-dalam sebelum menampar kedua-dua orang mamak tersebut. kenapa syirik sangat penjelasan mereka? hulk versi biru turkois? mengarut betul. lagi pun, mana ada hulk makan orang. pekan arau terasa sunyi sekali. selepas mengalihkan kerusi dan meja yang berselerak, aku melangkah keluar dari kedai mamak itu. oh ya, sebelum itu aku sempat pekena nasi kandar beserta teh o ais dengan harga lapan ringgit dua puluh sen. tengahari yang aneh, kata mereka. kata aku, biasa lah tu harga kedai mamak. 

dua orang mamak tadi sengaja bikin aku panas. aku masuk ke pasaraya c-mart bagi meredakan kepanasan. sedap juga pekena udara sejuk pendingin hawa dengan perut kenyang begini.


[ versi yang sama di zsm ]